Tuesday 19 August 2014

Pentingkan soal akidah



… sepertimana amalan dahulu hingga menguatkan akidah umat Islam/Melayu di negara ini.

APABILA MENTERI BESAR BERBICARA MENGENAI AKIDAH... 

DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyebut tentang baiknya nasib umat Islam/Melayu di negara ini ekoran penegasan soal akidah yang telah diajarkan kepada mereka sejak dahulu.

“Kita bernasib baik kerana orang Melayu, orang Islam di negara kita ini, dahulu terutamanya, mementingkan soal akidah.  Itu sebabnya, apabila kita pergi ke kelas ugama mengaji Quran, salah satu mata pelajaran asas yang diajar ialah ‘maqa’id’.

“Walaupun orang tak bersetuju dengan sifat 20 sebagainya, itu soal lain. Tapi sekurang-kurangnya dalam ‘maqa’id’ ini, kita diajar siapakah Allah sebenarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam ucapan luar teks 16-minitnya sempena merasmikan Wacana Antarabangsa Intelek Islam anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Pahang pada petang Selasa, 19 Ogos di sini.

Wacana ini bertemakan, ‘Aqidah Murni Pusaka Nabi Muhammad SAW: Isu Kecelaruan Aqidah Umat Islam Kini, Cabaran dan Penyelesaiannya’ yang menampilkan ulama Azhari, Sheikh Dr Usama El Sayyed Mahmoud Al Azhari dan Sheikh Saed Mahmoud Foudah selaku pembentang-pembentang kertas kerjanya.

SHEIKH SAED MAHMOUD FOUDAH... Sedang menyampaikan buah fikirannya sambil Dato' Syed Ibrahim memerhatikan. 


AKIDAH DICELARUKAN OLEH BUKAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, semasa beliau masih bersekolah juga lagi, betapa antara yang penting diajarkan kepadanya ialah untuk mengenal Allah SWT dengan mempelajari sifat-sifatNya.

“Saya bukan (bermaksud hendak) menunjuk saya pandai, bukan ujub, riak, takabbur. Tapi berkongsi pengalaman. Orang dahulu memang belajar… soal akidah ini memang diutamakan,” tegasnya.

Beliau seterusnya membandingkan dengan zaman sekarang apabila dikesani, pelbagai fahaman sudah menular ke dalam masyarakat.

“Saya tidak ingin menyebut mana-mana pihak tetapi hakikatnya, kita yang mendakwa sebagai ahli sunnah wal jamaah inipun dicelarukan oleh mereka yang bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari mazhab lain; tetapi mengakui mereka itu sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Itu sebabnya seminar hari ini sangat penting, sekurang-kurangnya kita mendapat fahaman yang jelas mengenai akidah itu sendiri. dan kita akan mengetahui apakah itu Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.   

CENDERAMATA BUAT KEDUA-DUA ULAMA'...


AKIDAH TERPESONG SEBABKAN KESESATAN

Akidah pula menurutnya, adalah penting yang jika terpesong atau terkeluar daripada  landasan yakni tidak mengikut apa yang telah ditentukan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah katanya, maka kita akan berada dalam kesesatan.  

“Untuk mendapatkan akidah yang sebenarnya, tak cukup dengan kita hanya setakat belajar di sekolah kemudian kita tinggal sdetakat itu sahaja. Bahkan, kita wajib belajar berterusan, mendengar termasuklah seperti menghadiri majlis kita pada hari ini,” katanya lagi.

Nabi Muhammad SAW katanya, ada bersabda yang mafhumnya, akidah umat Islam akan berpecah kepada 73 puak dan hanya satu yang diiktiraf iaitulah mereka yang berpegang kepada akidah Ahlil Sunnah Wal Jamaah.

“Oleh sebab itu kita kena mengetahui dengan jelas maksud akidah, juga maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Antara yang turut hadir pada wacana yang dikendalikan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad selaku moderator ialah;

Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad dan timbalannya, Dato’ Mohamad Jaafar; Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zul-kifly Osman; serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

HADIRIN SEKELIAN... Sebahagian daripada ketua jabatan yang hadir pada majlis ilmu petang Selasa ini. – Khabar