Saturday 2 August 2014

Terlalu apologetikkah kita?




NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel di bawah tajuk ‘Mengapa tindakan berpilih-pilih? Takut usik merekakah...’ tulisan Sdr Zulkifli Jalil, yang tersiar pada halaman 9 akhbar harian Utusan Malaysia keluaran Sabtu, 2 Ogos bersamaan 6 Syawal 1435H.

Artikel ini sengaja dimuat-naikkan ke portal ini (dengan sedikit suntingan) memandangkan apa yang ditulis, sikit-sebanyak ada benarnya. Dan semuanya kepada penulis, mungkin bertunjang kepada sikap kita yang terlalu ‘apologetik’ hingga apa-apa tindakan kita dilihat terlalu memanjakan atau takut terhadap pihak lain, sambil menganak-tirikan pihak sendiri.

Wajarkah?            

RAKAMAN LIBATKAN CIK KIKI DAN SEORANG WARGAEMAS...     


JALAN UTUSAN OFF JALAN CHAN SOW LIN, KUALA LUMPUR – Pantas secepat kilat. Itu pandangan umum apabila pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang gadis, Kiki baru-baru ini yang mencemar etika terpapar dalam laman sosial.

Cuma yang peliknya, mengapa apabila orang Melayu menjadi pelakunya, cepat pula pihak berkuasa bertindak.

Dalam kes Kiki yang mengherdik seorang warga tua Cina, yang meskipun yang terkena tidak mahu melaporkan kepada pihak berkuasa, pihak berkuasa sendiri pula tetap berkehendakkan gadis itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Kalau itu rumusannya, mengapa apabila pelakunya daripada kaum Cina yang menghentam, mempersenda serta melempar tohmahan terhadap agama Islam, Raja-Raja Melayu serta orang Melayu, lambat atau tidak ada langsung tindakan dibuat.

Dan kalau dibuatpun, apabila tiba di balai, pelakunya akan mendakwa Facebook atau Twitter mereka diceroboh oleh anasir tidak bertanggungjawab. Siapa anasir itu? Bukankah si pemilik akaun Facebook itu sendiri?

‘DAMAGE HAS BEEN DONE’

Juga, apabila sudah dihambat ketakutan, tahu pula memohon maaf. Tetapi ‘damage has been done’.

Kita sendiri tidak faham mengapa kemungkinan ada ‘rasa bimbang atau terlalu hormat’ kepada kaum-kaum tertentu, sehinggakan terjadi tindakan berpilih-pilih ini.

Cuba pihak berkuasa terlibat termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pantau dan layari laman-laman sosial ketika ini. Anda akan temui 1,001 tohmahan pedih terhadap Kerajaan, Islam dan orang Melayu.

Apabila tiada tindakan diambil atas faktor ‘tindakan berpilih-pilih’ ini, maka pelakunya jadi mua. Apa lagi apabila melihat pelaku atau pentohmah ini diiringi peguam-peguam mereka ke balai-balai atau mahkamah.

Kerana itu, kita cukup maklum mengapa Pertubuhan SukaGuam Malaysia (SukaGuam) berasa bimbang terhadap isu tindakan berpilih-pilih ini.

HINA ISLAM KEMUDIAN DIBERI DANA BUAT FILEM

‘Trend’ pengguna laman sosial yang cukup berani memuat naik isu sensitif yang mengocak kesucian Islam dan membakar api perkauman perlu dihentikan.

Kalau kes Kiki kurang seminggu dia dihadapkan ke mahkamah, mengapa tidak individu-individu kaum lain.

Jangan apabila tiba untuk mendakwa individu-individu terbabit, akan muncul penyelamatnya daripada parti-parti politik tertentu, peguam atau pengkritik yang kemudian berjaya ‘meredakan’ ketegasan pihak berkuasa.

Apabila melihat pihak berkuasa bertindak ke atas sebilangan pengguna laman sosial yang biadab ini, sesekali terlintas di depan mata ‘ketirisan’ dalam menangani perbuatan seorang anak muda, Wee Meng Chee, 31, atau Namewee.

Pernah menggemparkan negara dengan mencipta klip video kontroversi lagu Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan, dia terus mencetus beberapa lagi isu, sebelum tiba-tiba diberi dana pula untuk membuat filem. Alahai!

TAK SIAPA BERANI NAK USIK

Kita tidak mahu nanti timbul tanggapan kalau satu kaum itu memaki orang lain, tidak ada siapa berani nak usik mereka, hatta undang-undang sekalipun.

Tetapi apabila kaum tertentu melakukannya, sepantas kilat pula tindakan diambil - kurang seminggu. – Utusan/Khabar