Tuesday 16 September 2014

Bersatu-padu dalam ertikata sebenar



“Dan kita tidak ada pilihan. Kita kena bersatu-padu.

“Kita dapat lihat Melayu, Cina, India – anak-anak semua, janganlah setakat di atas pentas sahaja. Kalau bolehnya, balik-balik ke zaman saya sekolah dahulu…,” kata Menteri Besar

BERSEMANGAT PATRIOTIK... Dato' Sri DiRaja Adnan berada di atas pentas bersama-sama Dato' Sri Muhammad Safian; Dato' Bakar dan Dato' Abdul Rahman sambil mengibarkan 'Jalur Gemilang' bersama-sama anak-anak kecil kita. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BANDAR DIRAJA PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang berucap pada Sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat negeri, menyarankan agar rakyat negara dan negeri ini terus bersatu-padu dalam ertikata yang sebenarnya.

Sambil meminta rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak katanya, dengan merujuk kepada persembahan pentomin sebelum itu, oleh para remaja dan kanak-kanak pelbagai kaum;

“Dan kita tidak ada pilihan. Kita kena bersatu-padu. Kita dapat lihat Melayu, Cina, India – anak-anak semua, janganlah setakat di atas pentas sahaja. Kalau bolehnya, balik-balik ke zaman saya sekolah dahulu”.

Semasa zaman awal persekolahannya lagi pada sekitar pertengahan dan akhir tahun 1950-an kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 26-minitnya pada pagi Selasa, 16 September di sini, persahabatan erat terjalin antara pelajar-pelajar Melayu, Cina dan India.   

Persahabatan erat itu terjalin bukan setakat kerana mereka belajar bersama-sama tetapi turut bermain bersama-sama, dan jika berlaku perselisihan katanya, dapat berbaik-baik kembali kemudiannya.

TANDA HORMAT MASYARAKAT ORANG ASLI KEPADA KETUA EKSEKUTIF NEGERI... 
 

KALAU PERPADUAN TIDAK DAPAT DIKEKALKAN…

Lalu beliau mengingatkan betapa, “Kalau perpaduan kaum ini kita tidak dapat kekalkan. Kalau berlaku pergaduhan kaum maka kita akan mengalami apa yang berlaku di luar negara sana.

“Apa yang berlaku di Afghanistan, di Pakistan, di India, di Mesir, Tunisia, Iraq, Syria – kesemuanya berbunuh antara satu sama lain, kadang-kadang bukan antara kaum (tetapi dalam) satu ugama, hanya beza mazhab sahaja.

“Jadi, kita perlu memikirkan ini semua. Cabaran masa depan banyak,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan betapa musuh utama negara sekarang ialah gejala fitnah yang banyak tersebar dalam media-media sosial yang jika Kerajaan tidak bertegas menanganinya, akan menimbulkan lebih banyak masalah.

Sejak akhir-akhir ini bagaimanapun katanya, pihak-pihak berkuasa berkenaan telahpun mengambil tindakan sewajarnya dengan semakin ramai mereka yang terbabit gejala itu, diheret ke muka pengadilan.

MENGHORMATI BUDAYA BERBILANG KAUM... Sebagai menghormati budaya kaum Cina, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melayani sumbangan anak gadis ini dalam perjalanannya menuju ke bahagian depan Dewan.   


PERPADUAN TIDAK DATANG BEGITU SAHAJA

“Saya hanya ingin mengingatkan di sini; Asas segala-galanya kita mesti bersatu-padu – Melayu, Cina, India, Orang Asli. Walaupun kita berlainan fahaman sebagainya, tetapi jangan kita timbulkan suasana yang boleh menyebabkan kita bergaduh antara satu sama lain.

“Kita kena sebut perkara ini. Kalau kita tidak sebut nanti orang ingat perpaduan ini datang begitu sahaja, tidak…,” tegasnya sambil turut menyentuh mengenai tragedi 13 Mei 1969 yang berkenaan pertelingkahan kaum.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menggalurkan sejarah penubuhan Malaysia, yang idea penubuhannya dicetuskan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam ucapan kepada wartawan-wartawan luar negeri pada 27 Mei 1961, di Hotel Adelphi, Singapura.

“Almarhum Tunku telah menyetakan pentingnya Tanah Melayu pada masa itu, negeri-negeri di Sabah, Sarawak, Brunei dan juga Singapura; bersatu dalam satu kesatuan politik untuk menjadi lebih besar dan boleh menghadapi persaingan pada masa itu.

“Idea ini nampaknya telah diterima oleh semua pemimpin-pemimpin politik di negeri-negeri berkenaan – di Singapura, di Brunei, di Sabah dan juga Sarawak.

HADIRIN YANG MEMENUHI DEWAN... 
 

KONFRANTASI

“Satu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan pada 27 Januari 1962 untuk pastikan sama ada rakyat di Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura; bersetuju ataupun tidak, masuk Malaysia.

“Dan di akhir tugas Suruhanjaya ini, Suruhanjaya Cobbold telah menytatakan bahawa rakyat Sabah, Sarawak memang suka menyertai Malaysia. Dan di Singapura, Lee Kuan Yew telah buat referendum sama ada rakyat Singapura setuju ataupun tidak, masuk Malaysia.

“Dan rakyat Singapura dalam referendum itu telah menunjukkan bahawa mereka bersetuju untuk bersama dengan Malaya dalam Malaysia,” katanya serta menyebut betapa idea tersebut bagaimanapun ditentang oleh Indonesia dan Filipina.

Penentangan oleh Indonesia menurutnya, disusuli dengan ‘konfrantasi’ oleh negara republik itu terhadap negara ini, termasuk penghantaran tentera mereka ke Labis dan Pontian di Johor, yang dapat ditumpaskan oleh angkatan tentera kita.

Konfrantasi ini berlarutan hinggalah tahun 1965, apabila kedua-dua negara kembali berdamai ekoran peranan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dengan Menteri Luar Indonesia, Adam Malek; serta oleh Tan Sri Ghazali Shafie dan Jeneral Ali Murtopo dari Indonesia.  

MENGINGATI LALU MENZIARAHI YANG TERLANTAR SAKIT... Dalam perjalanan pulang dari Bandar DiRaja Pekan ke Kuantan tengah hari Selasa ini, Dato' Sri DiRaja Adnan masih sempat meluangkan masa menziarahi Encik Bahuri Geran, bekas Ketua UMNO cawangan Bandar yang sedang menderitai barah paru-paru. 
 

BERI PELUANG ANAK KAMPUNG DAPAT PENDIDIKAN

Ke arah mengisi kemerdekaan menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, pelbagai usaha Kerajaan laksanakan termasuklah dalam bidang pendidikan, dengan amalan pendemokrasian pendidikan (democratization of education) demi katanya;

“… untuk beri peluang pendidikan kepada semua; (agar) anak-anak orang kampung, (anak-anak) petani (di kawasan-kawasan luar bandar), juga mendapat pendidikan (sepertimana mereka yang di kawasan bandar yang lebih maju”.

Dan dalam hubungan antarabangsa katanya, kepimpinan negara turut memainkan peranan aktif termasuk sebagai pelopor kepada amalan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN; Zone of Peace, Freedom and Neutrality) di rantau ini.

Antara yang turut hadir pada majlis sambutan yang gilang-gemilang ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Felda Negeri yang juga, Pengerusi, Jawatankuasa Pengelola, Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat negeri ini, Dato’ Bakar Harun; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahiruddin Ab. Moin dan Dato’ Norol Azali Sulaiman.

Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman; Ketua Hakim Syari’e, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali; dan, Pengarah, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar