Tuesday 23 September 2014

Hutan Pahang terus terpelihara dan diiktiraf antarabangsa


… 2.07 juta hektar negeri Pahang masih berhutan, atau kira-kira saiz seluruh negeri Perak!

SIRAMAN KE POKOK... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melakukan gimik perasmian sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2013 yang diadakan pada 21 Mac 2013 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Induk di Kuala Pahang, Pekan. 

Selain Dato' Mohd Paiz (separuh terlindung di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan), yang turut kelihatan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Dato' Dr Abdul Rahim Nik; dan, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Prof Dr Abdul Rahman Abdul Rahim (kiri, bertopi). 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sukarkah untuk menerima hakikat bahawa – disebalik tanggapan negatif mengenai perhutanan di Pahang ekoran laporan tidak tepat oleh beberapa media tempatan; perhutanan di negeri ini masih dalam keadaan baik serta terpelihara?

Jawabnya; sukar bagi mereka yang tidak mahu memahami proses pengurusan perhutanan di negeri ini, tetapi tidak sukar bagi mereka yang sedar tentang aspek-aspek pengurusan termasuk penebangan secara sistematik, serta penjagaan dan pemeliharaannya.
  
Malah, menerusi penjagaan dan pemeliharaan yang sistematik dan tegas di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selama ini, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan sijil berkaitannya sentiasa diperbaharui selepas tamat tempohnya.

Bahawa hutan di negeri ini dijagai dan dipelihara dengan baik memang tidak dapat disangkal sebagaimana angka-angka dan fakta-fakta sahih yang diperolehi daripada sumber yang sah seperti JPNP.

Misalnya, adalah hakikat bahawa kira-kira tiga per lima atau 2.07 juta hektar daripada keluasan tanah Pahang kira-kira 3.6 juta hektar ini adalah masih berhutan. Keluasan ini hampir menyamai seluruh negeri Perak, yang seluas 2.1 juta hektar.

MARI KITA SAMA-SAMA MENANAM... Pengajaran yang berguna buat anak-anak muda dalam kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kita. 


HUTAN PERLINDUNGAN TAK BOLEH BALAK IALAH SELUAS 5X SAIZ PULAU PINANG

Daripada 2.07 juta hektar ini, 561,937 hektar daripadanya dikategorikan sebagai Hutan Perlindungan yang tidak dibenarkan kerja-kerja pembalakan secara komersil. Dan keluasan ini (561,937 hektar) ialah lebih lima (5) kali ganda keluasan seluruh Pulau Pinang (yang seluas 103,100 hektar)!

Dan daripada 561,937 hektar inilah, 270,000 hektar daripadanya diwartakan sebagai kawasan tadahan air – langsung tidak boleh berlaku aktiviti penebangan hutan atau balak di dalamnya.

Asalnya, keluasan ini cuma 44,000 hektar tetapi dicadang ditambahkan lagi 230,000 hektar oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob semasa tahun-tahun awal beliau mengambil-alih jawatan itu pada Mei, 1999.

“Sekarang ini kita tambah lagi 230,000 hektar… 230,000 hektar tidak boleh dibalak kerana telah diisytiharkan sebagai kawasan tadahan air. Jadi kawasan tadahan air kita sekarang kira-kira 270,000 hektar,” Dato’ Sri DiRaja Adnan mengumumkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 21 April 2006.    

“Ini adalah pengorbanan besar Kerajaan Negeri. Luas kawasan tadahan air ini ialah kira-kira dua kali ganda saiz Pulau Pinang. Bayangkan hasil yang boleh diperolehi daripada kerja pembalakan di dalamnya jika tidak diwartakan sedemikian.

PENGIKTIRAFAN OLEH BADAN BERIBU PEJABAT DI GENEVA

“Tapi, Kerajaan Negeri bersedia menghadapi semua itu demi memelihara hutan serta alam sekitar, yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada sumber air mentah yang banyak di negeri ini,” kata seorang pegawai yang rapat dengan kepimpinan Kerajaan Negeri.  

Maka tidak menghairankanlah apabila Pahang mampu menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi pembekalan air mentah hingga kira-kira 1.86 juta meter padu sehari di bawah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

Bahawa, perhutanan negeri ini terus-menerus mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memperolehi Sijil Pengurusan Hutan di bawah Piawaian MC&I (Malaysia Criteria and Indicator) sejak tahun 2002 - terbaharu untuk tempoh 2013 – 2016; membuktikan lagi akan cemerlangnya pengurusan hutan negeri ini.

Pengiktirafan ini bukanlah oleh calang-calang pihak. Ianya oleh ‘Programme for the Endorsement of Forest Certification’ (PEFC) – sebuah NGO antarabangsa yang tidak berunsurkan keuntungan dan beribu pejabat di Geneva, Switzerland.

PEFC berperanan mempromosikan pengurusan hutan secara berkekalan. Dengan 35 sistem persijilan hutan kebangsaan di seluruh dunia termasuk Piawaian MC&I, meliputi keluasan hutan yang disijilkan seluas 240 juta hektar; menjadikan PEFC sebagai penyelia sistem persijilan hutan yang terbesar dunia!

TANPA MC&I, HASIL HUTAN KITA TAK LAKU DI EROPAH

“Pengiktirafan ini menunjukkan produk-produk kayu dari negeri Pahang diperolehi dari kawasan hutan yang diurus secara berkekalan dan diterima pasaran antarabangsa,” demikian kata Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman.

Pentingnya pengiktirafan ini ialah dengannya, seperti yang dikatakan oleh Mohd Paiz, baharulah segala produk berkaitan hutan dari negara ini akan dibenarkan memasuki pasaran di negara-negara Eropah.

Ketiadaan atau pembatalan persijilan ini oleh PEFC hanya akan menyebabkan pasaran produk negara kita terbantut lalu menjejaskan seluruh industri berkaitan hutan di negara ini yang mengeluarkan kira-kira 2.5 juta meter padu kayu gergaji, 380,518 meter padu papan lapis, 92,016 meter padu venir, dan 76,672 meter padu kayu kumai (ENG : mouldings) pada tahun lepas sahaja.

Yang daripadanya, Pahang ialah pengeluar terbesar bagi kayu gergaji, 547,188 meter padu (atau, kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan), papan lapis, 129,395 meter padu (atau, 34 peratus daripada keseluruhan), dan, kayu kumai, 15,310 meter padu (atau, kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan). 

Perkara ini disedari oleh para pemain industri berkaitan hutan di negeri ini, yang kerana itulah mereka sentiasa berhati-hati untuk akur kepada segala peraturan yang telah ditetapkan dan digariskan di bawah Piawaian MC&I berkenaan.

‘BUFFER ZONE’ HINGGA 3X LEBAR SUNGAI

Peraturan-peraturan ini pula dipantau oleh PEFC sendiri, yang apabila hendak menilai semula untuk pelanjutan sijil Piawaian MC&I berkenaan, wakil-wakilnya akan berada lebih seminggu di negeri ini untuk menjalankan kaji-selidik mereka.

“Biasanya, bukan segala dokumen berkaitan hutan di negeri ini sahaja yang mereka rujuk, malah akan ke dalam kawasan hutan-hutan berkenaan untuk melihat sendiri apa yang telah dilakukan bagi mewajarkan pelanjutan sijil ini,” kata seorang pegawai di JPNP.

Antara peraturan-pertauran sedia ada serta ditetapkan oleh Piawaian MC&I ialah mengenai zon penampan antara kawasan hutan dengan kawasan-kawasan sensitif seperti sungai, yang mengalir berhampirannya.

Peraturannya ialah; bagi sungai yang lebarnya melebihi tujuh (7) meter, zon penampannya ialah tiga (3) kali ganda atau 21 meter di kiri dan kanan tebing sungai berkenaan, manakala bagi sungai yang lebarnya kurang tujuh (7) meter, zon itu ialah 20 meter di kiri dan kanan tebing. 

Bagi kerja-kerja pembalakan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah kategori Hutan Pengeluaran, peraturan menegaskan bahawa, wajib meninggalkan 32 pokok termasuk enam (6) pokok buah-buahan bagi setiap hektar kawasan yang dikerjakan.

PERATURAN KETAT BUKAN UNTUK ‘WINDOW DRESSING’

Dan pula, pokok balak yang ukur lilitnya tidak kurang daripada 55 sm tidak dibenarkan langsung ditebang. Kedua-dua peraturan ini diperuntukkan demi memastikan kelestarian hutan berkenaan.

Daripada segi perundangan berkaitan hutan pula, Pahang bukan setakat berbangga sebagai negeri pertama yang menerima-pakai Akta Perhutanan 1984 (Pindaan 1993) pada 23 Disember 1993 yang lebih keras hukumannya, tetapi turut memastikan penguatkuasaannya.

Ternyata, akta yang diterima-pakai ini – denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang daripada setahun tetapi tidak melebihi 20 tahun, daripada yang asal, denda cuma tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-dua denda dan penjara; bukanlah untuk ‘window-dressing’ semata-mata.

Selain menjadi faktor pencegahan lalu mengurangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk pembalakan haram, penguatkuasaan terhadap apa yang telah termaktub di dalamnya betul-betul dilaksanakan.

Maka tidak menghairankanlah, betapa ada dalam kalangan pembalak yang telah melakukan kesalahan hutan baru-baru ini kata pegawai JPNP berkenaan, telah dikesani dan dikompaun sehingga RM100,000 dan pembalak tersebut segera membuat pembayarannya.

KUTIPAN GANTIRUGI DAN PREMIUM CECAH RM32 JUTA

Menurut rekod pula, dalam tempoh lapan (8) bulan pertama tahun ini sahaja, kompaun yang dikutip daripada pesalah-pesalah pembalakan tanpa ‘mengira bulu’ di negeri ini ialah kira-kira RM173,000 selain kutipan sebagai gantirugi dan premium mencecah kira-kira  RM32 juta!

Oleh kerana ketegasan jugalah maka, daripada 13,610 hektar keluasan HSK yang dibenarkan ditebang di bawah Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk tempoh 2011 – 2015 ini sepertimana dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara untuk Pahang, angka itu tidak pernah dilampaui!

Menurut pegawai JPNP berkenaan lagi, yang turut memberikan tanggapan negatif terhadap perhutanan di Pahang ialah apabila berlakunya salah faham tentang istilah HSK, bahawa ia merupakan kawasan yang langsung tidak boleh berlaku penebangan kerana kononnya sifat kekalnya hutan tersebut.

Lalu, apa juga laporan yang diterima mengenai penebangan hutan di negeri ini pasti dikaitkan dengan kerja-kerja perhutanan atau pembalakan di dalam kawasan HSK yang semestinya langsung tidak dibenarkan sebarang kerja pembalakan.

Sedangkan katanya, di bawah HSK terdapat dua (2) kategori iaitu selain daripada Hutan Perlindungan seperti yang dinyatakan tadi, ialah Hutan Pengeluaran.

MEMAHAMI HAKIKAT TENTANG HUTAN PERLINDUNGAN DAN HUTAN PENGELUARAN

Dan beliau ada menjawab kegusaran wartawan sebuah akhbar Berbahasa Inggeris tempatan mengenai kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Lesong di Rompin, ekoran pertanyaan wartawan itu; 

‘Kenapa ada syarikat diberikan lesen untuk membalak di Lesong sungguhpun ia sebuah Hutan Simpan Kekal?’ yang dijawab secara bertulis dan die-melkan semula kepadanya oleh pegawai berkenaan;

“HSK boleh diklasifikasikan sama ada sebagai Hutan Pengeluaran atau Hutan Perlindungan yang sejajar dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). 

"Di bawah Hutan Pengeluaran, hutan boleh dibalak manakala Hutan Perlindungan, tidak boleh dibalak secara komersil maka tiada lesen pembalakan dikeluarkan untuknya”. -
Khabar