Wednesday 5 November 2014

Dilemma tentang isu kebanjiran pendatang asing di Cameron Highlands



“… kita sedang menghadapi dilemma. Kalau misalannya Kerajaan khususnya jabatan kerajaan persekutuan yang mempunyai ‘jurisdiction’ (bidangkuasa) dalam perkara ini – Imigresen, Polis, ambil tindakan; kegiatan pertanian, ekonomi Cameron akan terjejas.

“Kalau kita tidak ambil tindakan, nampak seolah-olah – bukan Kerajaan Persekutuan (tapi) Kerajaan Negeri pula (dianggap) tidak menguatkuasakan, salah guna kuasa, rasuah; tidak ambil tindakan kepada pendatang-pendatang tanpa izin ini,” kata Menteri Besar.

PENDATANG ASING DI LADANG TEH CAMERON KITA... # Foto ini dimuat turun daripada sebuah blog dalam media sosial kita.


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membangkitkan tentang dilemma yang dihadapi Kerajaan berkaitan isu kebanjiran pendatang asing dari Bangladesh di Cameron Highlands, sepertimana dimainkan oleh sebuah akhbar tempatan.

Sambil menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap tajuk berita muka depan akhbar itu – Mingguan Malaysia keluaran Ahad, 2 November lepas, dengan penggunaan perkataan ‘ditawan’ yang menurutnya;

“… perkataan ‘ditawan’ ini adalah agak luar biasalah, terlebih sikitlah. Tak ada sebab kenapa orang Bangladesh akan menawan Cameron Highlands. Kita ada Kerajaan, kita ada Raja, kita ada Pejabat Daerah, ada Pejabat Tanah”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata; “… kita sedang menghadapi dilemma. Kalau misalannya Kerajaan khususnya jabatan kerajaan persekutuan yang mempunyai ‘jurisdiction’ (bidangkuasa) dalam perkara ini – Imigresen, Polis, ambil tindakan; kegiatan pertanian, ekonomi Cameron akan terjejas.

“Kalau kita tidak ambil tindakan, nampak seolah-olah – bukan Kerajaan Persekutuan (tapi) Kerajaan Negeri pula (dianggap) tidak menguatkuasakan, salah guna kuasa, rasuah; tidak ambil tindakan kepada pendatang-pendatang tanpa izin ini.”

DATO' SRI DIRAJA ADNAN... Sedang menjelaskan beberapa perkara berhubung dengan isu pendatang asing di Cameron Highlands pada persidangan media lewat petang Rabu, 5 November. 


CUMA 6,057 PENDATANG ASING PUNYAI PERMIT SAH  

Beliau berkata demikian pada persidangan media pasca-Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri lewat petang Rabu, 5 November di sini, sebagai reaksi kepada laporan berita akhbar berkenaan, yang turut disusuli dengan siri keduanya yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada Isnin, 3 November.   

Beliau tidak menafikan, terdapat pendatang asing ini yang mempunyai permit sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen tetapi ia melibatkan cuma 6,057 orang iaitu dalam sektor pertanian, 5,990 orang; perladangan, 13 orang; pembinaan, 27 orang; dan perkhidmatan, 27 orang.

Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pendatang asing di kawasan tanahtinggi itu bukan terdiri daripada orang Bangladesh semata-mata, bahkan dari negara-negara lain-lain seperti Nepal, Vietnam, China, termasuk pelarian Rohingya dari Myanmar yang ditempatkan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di Kuala Terla.

“Kita perlu kaji, kenapa mereka ada di situ? Kalau kita tangkap kesemuanya, yang pendatang tanpa izin ini, akhbar kata 30,000 mungkin 40,000pun; di mana kita hendak letak dia?

“Balai Polis Cameron Highlands boleh letak 40 orang sahaja. Kalau kita tangkap dia orang ni, mana kita nak letak? Dan yang kedua kita kena kaji isu; kanapa orang ini datang? Kenapa orang datang ke Cameron Highlands, kenapa ramai Bangladesh datang ke Cameron Highlands?” tanya Menteri Besar.  

KEPERLUAN TENAGA KERJA LEBIH 30,000 ORANG

“Kita tahu Cameron Highlands ini pusat menamam sayur (bunga-bungaan dan buah-buahan) – halal, haram kita cerita kemudian. Kalau kita tutup semua pusat ini, kita boleh tutup, tapi dari segi ‘foreign exchnage’nya, kita kerugian banyak juga, ‘billions’.

“Kenapa orang ini datang? Sebab kita – kita ini bukan saya ya. Kita ni ialah penanam-penanam sayur, penanam-penanam bunga; mereka perlukan orang ini. Bukan Kerajaan. Kerajaan tak pernahpun mengendalikan kedatangan mereka ini,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa menurut kajian Jabatan Pertanian, bagi setiap hektar tanah yang diusahakan untuk tanaman hasil-hasil pertanian berkenaan, memerlukan empat (4) tenaga kerja.

Dan di kawasan tanahtinggi tersebut menurutnya, luas kawasan tanaman ialah kira-kira 7,528 hektar iaitu 5,368 hektar bagi tanaman sayur-sayuran; 1,589 hektar bagi tanaman teh; 539 hektar bagi tanaman bunga; dan, 32 hektar bagi tanaman buah-buahan.

Didarabkan keluasan 7,528 hektar ini dengan keperluan tenaga kerja seramai empat (4) orang untuk sehektar menjadikan jumlah tenaga kerja yang diperlukan ialah seramai 30,112 orang!

TIDAK PERTAHANKAN SOAL BILANGAN BESAR ORANG BANGLADESH

“Mana nak cari orang Malaysia (untuk bekerja di ladang-ladang pertanian ini)? Ada orang Melayu, orang Cina, orang Asli boleh bekerja untuk mengeluarkan sayur, bunga, buah-buahan, teh di Cameron Highlands?

“Saya bukan mempertahankan soal Bangladesh ramai ini ya... Tapi saya nak mengatakan, kalau Kerajaan mengambil tindakan – bukan Kerajaan Negeri, ini luar bidang kuasa Kerajaan Negeri; soal Imigresen sebagainya.

“Katalah kita hantar mereka ini semua balik, apa akan jadi? Ada orang Melayu nak kerja? (Ada) orang Cina (nak) kerja, tak dak…,” katanya lagi.

Mengenai orang Bangladesh juga yang didapati berniaga di pasar-pasar malam di sana kata Menteri Besar, yang harus dipersalahkan ialah pemilik lesen sendiri – orang tempatan, yang kemudian menjualnya kepada pendatang asing tersebut.  

“Untuk itu, Kerajaan akan ambil tindakan ke atas pemegang-pemegang lesen, kita (akan) rampas. Orang Bangladesh tak boleh berniaga. Tak ada masalah, kita boleh buat,” tegasnya lagi.

“Jadi saya nak mengatakan, tak tepat kalau mengatakan Cameron Highlands itu ditawan oleh orang-orang luar. Tinggal lagi keadaan ini berlaku kerana keperluan kegiatan pertanian itu sendiri dan masalahnya peranan yang kosong itu (atau tenaga kerja) tidak dapat dimainkan oleh orang kita, diisi oleh orang Bangladesh,” katanya menyimpulkan. – Khabar