Tuesday 2 December 2014

Agihan tugas secara 'zonal system'



… bagi memperkemaskan lagi kaedah menyelamat serta mengatasi masalah pertindihan tugas sesama agensi Kerajaan dalam hadapi bencana banjir kali ini, titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang 

BERKENAN MELAYANI MEDIA... Dengan diapit kanan dan kiri oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian, KDYTM Tengku Mahkota sedang melayani persembahan soalan daripada wartawan-wartawan tempatan kita. 
 

BILIK GERAKAN, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Ke arah memperkemaskan lagi usaha menyelamat serta mengatasi masalah pertindihan tugas sesama agensi Kerajaan dalam menghadapi bencana banjir, agihan tugas secara ‘zonal system’ akan diperkenal dan dilaksanakan kali ini.

Bagi daerah Kuantan, agihan tersebut ialah; Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bertanggungjawab di kawasan Perkampungan Sungai Isap; Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan Bukit Rangin; dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di kawasan Sungai Lembing.

Sebuah lagi agensi Kerajaan iaitu RELA, akan diletakkan di bawah kesiap-sagaan, demikian titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada persidangan media selepas berangkat pada persembahan taklimat persiapan menghadapi banjir pada pagi Selasa, 2 Disember di sini.

“Kita harap perancangan ini (agihan menurut ‘zonal system) dapat diturunkan ke daerah-daerah (lain) juga supaya… kita tidak mahunya ada ‘overlapping of duties’lah; Polis membuat peranan (Angkatan) Tentera atau sebaliknya.

“So kita nak kira ‘specific in one particular area’lah. Ini sikit-sebanyak dapat mengurangkan masalah ‘miscommunication’ ataupun salah arahan, dan seterusnya,” titah Baginda.

DALAM MAJLIS TAKLIMAT... 
 

PENGAJARAN DARIPADA PENGALAMAN TAHUN LEPAS

Menurut Baginda, kaedah ‘zonal system’ ini diperkenal untuk dilaksanakan kali ini ialah ekoran pengajaran yang telah diperolehi daripada pengalaman sukar menghadapi banjir besar yang melanda daerah Kuantan ini khususnya, tahun lepas.

Sambil mengucapkan terima kasih Baginda kepada Kerajaan Negeri kerana telah dipersembahkan dengan takilmat tersebut, Baginda juga mahu semua pihak terus bersiap-sedia bagi menghadapinya khususnya dalam tempoh dua bulan ini – Disember dan Januari tahun depan.

Dan Baginda turut menitah-sebut tentang kepuasan hati Baginda betapa segala bekalan makanan dan keperluan bagi menghadapi bencana banjir kali ini telahpun dihantar ke pengkalan hadapan-pengkalan hadapan yang telah ditetapkan.

Betapa kali ini juga, menurut Baginda, kira-kira 8,000 kakitangan Kerajaan daripada agensi-agensi berkaitan, yang telah dikerah untuk membantu dalam usaha-usaha menangani masalah bencan banjir ini.

“Dan dalam pada itu juga, walaupun kita nampak cuaca yang begitu baik pada hari ini, saya menyarankan kalau boleh semua peringkat – daripada peringkat Pegawai Daerah, JKKK, buat tinjauan di daerah-daerah kalau adapun longkang tersumbat, kalau adapun parit yang tersumbat;

MESRA... 


GOTONG-ROYONG ATASI LONGKANG TERSUMBAT

“Kita buat gotong-royong supaya dapat memudahkan air ini tidak bertakung dan saluran itu keluar ke sungai yang terdekat. ‘This is another step’ yang mungkin dapat sikit bantuan daripada orangramai untuk cuba main peranan.

“Jangan harap semata-mata bantuan dari Kerajaan. ‘So’ kita anggap bulan 12 ini sebagai bulan gotong-royong yang mana kita cuba bantukan dengan jentera Kerajaan, membuat tinjauan persekitaran rumah kita supaya tidak ada parit-parit atau longkang-longkang yang tersumbat,” titah Baginda lagi.

“Kita minta semua turun padang. Bukan Pegawai Daerah sahaja, pegawai di ‘local council’ sekalipun, wakil-wakil rakyat sekalipun. Usahakan sikitlah. Jangan kita tunggu hingga hujan baharu kita nak usaha.

“Kalau longkang, katalah longkang tersumbat di kawasan A, orang kawasan Alah juga bertanggungjawab, bukan sahaja masalah Kerajaan Negeri. Kawasan itu kena diawasi ‘collectively’lah,” Baginda menambah-titah.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; yang turut hadir pada majlis taklimat ia ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Pegawai-pegawai Daerah; serta, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Majlis taklimat ini dipersembahkan oleh Setiausaha, Bahagian Keselamatan Negeri, Encik Mohd Zaira Syahli Shah Zakaria yang turut menyatakan betapa 579 pusat pemindahan yang boleh menampung hingga lebih 127,000 mangsa banjir di seluruh negeri ini, telah disediakan. – Khabar