Tuesday 23 December 2014

KDYTM Tengku Mahkota Pahang serta anakanda-anakanda, perkenan lawati mangsa banjir


Menteri Besar juga lawati mangsa banjir daerah ini dan Maran

MENGAMBIL BERATNYA BAGINDA... KDYTM Tengku Mahkota yang diiringi kedua-dua anakanda lelaki Baginda, sedang melawati dan bertanya-khabar kepada seorang daripada mangsa banjir.
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah perkenan mencemar duli, ‘turun padang’ melawati mangsa-mangsa banjir pada malam tadi, Isnin, 22 Disember di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan dekat sini.

Semasa lawatan, pusat pemindahan ini menempatkan 545 orang daripada 149 keluarga. 

Sungguhpun bertongkat selepas menjalani rawatan di lutut, lawatan Baginda turut diiringi kedua-dua anakanda, YAM Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah dan YAM Tengku Muhammad Riayatuddin Shah.

Baginda tiba di sekolah ini kira-kira 10 malam dan meluangkan masa lebih 30 minit bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir dari kawasan-kawasan dinaiki air di Kampung Pandan, Chendering dan Lubuk Puyu yang berhampiran.   

Sambil itu, Baginda sempat menitah-nasihatkan mereka mahupun penduduk di kawasan yang berisiko mengalami banjir, agar segera berpindah ke pusat pemindahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

MESRA, BERTANYA-KHABAR DENGAN MANGSA-MANGSA BANJIR DI MARAN INI... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shahaniza Shamsuddin (memangku anak kecil); 

Ketua Polis Negeri, Dato' Sri Sharifuddin Abdul Ghani; wakil rakyat, Encik Mohamad Ariffin Awang Ismail (BN - Chenor) (berdiri, berbaju-track warna oren) serta, Pegawai Daerah Maran, Dato' Fadzillah Salleh (berdiri di belakang Dato' Shahaniza).  


“… JANGAN SUDAH TERDESAK, BARU NAK PINDAH”

“… Jangan sudah terdesak, baru nak pindah kerana ini boleh menyusahkan banyak pihak,” titah Baginda yang ditemui wartawan kemudian. 

Baginda turut menitah-nasihati mereka supaya bersabar dan menambah-titah betapa; “Saya percaya, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk memberi segala keperluan yang mencukupi dan melakukan pengurusan dengan lebih teratur. ” 

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, turut ‘turun padang’ melawati mangsa banjir di daerah Kuantan ini, kemudian daerah Maran pada tengah hari dan petang Selasa, 23 Disember. 

Pada lawatan ke daerah Maran, beliau terdahulu diberikan taklimat banjir di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran sebelum melawat mangsa-mangsa banjir di Masjid Kampung Luit berdekatan, yang menempatkan 600 orang.

Dalam lawatan serta pertemuannya dengan mangsa-mangsa banjir ini, beliau menasihati mereka supaya menjaga kebersihan termasuk soal pemakanan dan pakaian, terutama yang mempunyai anak kecil. 

BAWA BERBINCANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengadakan perbincangan bagi menyelaraskan secara lebih lancar lagi, kerja-kerja ke arah meringankan beban mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan dalam kawasan Masjid Kampung Luit ini. 

Selain Dato' Shahaniza dan Dato' Sri Sharifuddin, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah wakil rakyat di sini, Puan Nurhidayah Shahaimi (BN - Luit) (duduk, sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan).– BERNAMA/Khabar