Monday 29 December 2014

Menteri Besar sekali lagi ketuai misi penghantaran barangan keperluan 5 tan untuk mangsa banjir



KERJA-KERJA PENGHANTARAN SEDANG DISEMPURNAKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri sedang mengangkut barangan keperluan, diserahkan kepada mereka yang sedia menunggu di padang SSP SMK Seberang Temerloh ini. 
 

PANGKALAN TUDM, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, sekali lagi mengetuai misi penghantaran barangan keperluan harian untuk mangsa-mangsa banjir, kali ini melibatkan pusat pemindahan yang terputus hubungan darat, di Sekolah Sukan Pahang Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, Temerloh.

Misi petang Isnin, 29 Disember ini, masih menggunakan helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) EC725, berlepas dari sini pada kira-kira 2.40 petang dan menyempurnakan misi kira-kira dua (2) jam kemudian.

Yang turut mengiringi ialah Ketua Polis Negeri, Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani.    

Barangan keperluan yang dihantar seberat kira-kira lima (5) tan kesemuanya atau secara khusus – 4,529 kg, meliputi air mineral, 2,133 kg; beras, 857 kg; biskut, 485 kg; sardin, 480 kg;

Selain itu ialah minyak masak, 44 kg; gula pasir, 24 kg; garam halus, teh, lampin bayi dan lilin, masing-masing 23 kg (23 kg X 4); dan, susu bayi, 18 kg. Barangan ini diperolehi dari stor sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

SAYU DAN SEDIH, MELIHAT BENCANA YANG MENIMPA... Dari ruangan tingkap TUDM EC725 ini, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melihat kemusnahan yang menimpa di satu kawasan dalam daerah Temerloh ini. 

Yang hanya kelihatan ialah bumbung-bumbung bangunan-bangunan yang telah ditenggelami banjir. 
  

MASIH MAHU CARI KAEDAH LEBIH BAIK HANTAR BARANGAN KEPERLUAN

Ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan misi, Dato’ Sri DiRaja Adnan memberitahu Kerajaan Negeri akan mencari kaedah lebih baik bagi penghantaran barangan keperluan kepada mangsa banjir terutama di kawasan-kawasan yang terputus hubungan darat.  

Ini termasuk usaha mengguna-pakai keseluruhan aset pasukan keselamatan dan penyelamat seperti bot amfibia milik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang katanya, bagi memastikan kerja-kerja penghantaran barangan itu itu menjadi lebih berkesan.

Menurutnya, beliau sendiri terlibat dengan misi-misi penghantaran barangan keperluan menerusi udara dan mendapati faktor cuaca khususnya yang mendung dan hujan, telah sikit-sebanyak menggugat misi-misi tersebut.

“Kita berasa sangat sedih kerana ada satu-dua kampung kita cuba tembusi dengan pesawat, helikopter tapi cuaca tidak mengizinkan dan kita tidak mahu membahayakan sama ada juruterbang ataupun kru, (serta) penumpang.

“Bagaimanapun, In-sya-Allah, malam ini saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri dan ketua jabatan lain bagaimana kaedah terbaik untuk kita menghantar bekalan makanan ke tempat-tempat yang terkepung,” katanya.

BANTU-MEMBANTU, DAPAT MERINGANKAN SERTA MEMPERCEPATKAN KERJA... 
 

MOHON BANTUAN ASET DARI NEGERI LAIN
                      
Selain itu kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau juga akan berusaha meminta bantuan dari negeri-negeri yang tidak terlibat banjir, supaya dapat membantu menyalurkan bantuan aset-aset ke negeri ini.

Bagaimanapun beliau akur betapa cadangannya itu turut bergantung kepada keadaan semasa ekoran negeri Kelantan dan Terengganu yang sama-sama terjejas banjir – malah lebih buruk daripada negeri ini, turut mememlukan aset-aset itu. 

BARANGAN KEPERLUAN YANG AMAT DIPERLUKAN, AIR MINERAL... Dengan sumber bekalan air bersih yang sukar diperolehi ketika banjir, air mineral ialah barangan keperluan yang amat diperlukan. 

Maka, tidak hairanlah, daripada kira-kira 5 tan atau 4,529 kg barangan keperluan yang dihantar dalam satu misi ini, 2.1 tan atau 2,133 kg daripadanya merupakan barangan keperluan air mineral ini! – Khabar