Friday 26 December 2014

Wujudkan stok makanan di pusat-pusat pemindahan banjir untuk tempoh 5 - 7 hari



… daripada amalan biasa cuma untuk 3 hari

“Jadi, tidak perlu kita berulang-ulang menghantar bekalan (makanan). Ini akan membantu meringankan beban bekalan yang diperlukan,” kata Timbalan Perdana Menteri.

SATU POSE UNTUK JURUFOTO-JURUFOTO KITA... Tan Sri Muhyiddin sedang berikan satu pose untuk memenuhi permintaan para jurufoto, sebelum memulakan majlis taklimat banjir di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Blok B, Wisma Sri Pahang. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, Tan Sri Ali (kiri sekali) dan Dato' Sri Muhammad Safian; yang turut kelihatan ialah ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Shafik Fauzan Sharif; dan, Pegawai Kewangan Negeri (S-FinO), Dato' Zulki-fly Osman. 

STADIUM TERTUTUP SUKPA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Tempoh bagi stok makanan yang dibekalkan ke pusat-pusat pemindahan banjir kini akan ditingkatkan daripada cuma tiga (3) hari kepada antara lima (5) dan tujuh (7) hari.

Ini merupakan satu daripada tiga (3) langkah ke arah memperbaiki lagi pengurusan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir dan kerja-kerja pemindahan mereka, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini telahpun diputuskan dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan melaksanakan. Sebagaimana juga di Kelantan, stok yang kita akan sampaikan ke tempat-tempat ini adalah lebih besar.

“Biasa kalau, tiga (3) hari, saya telah arahkan (dinaikkan kepada) mungkin lima (5) hari atau tujuh (7) hari. Jadi, tidak perlu kita berulang-ulang menghantar bekalan. Ini akan membantu meringankan beban bekalan yang diperlukan,” kata Tan Sri Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada wartawan yang menemuinya selepas melawat ke pusat pemindahan mangsa banjir di sini – yang terbesar bagi daerah Kuantan dengan 2,139 orang; pada petang Jumaat, 26 Disember.

MENJENGAH DAN MENANYA KHABAR... Sambil Tan Sri Muhyiddin menanya khabar kepada mangsa-mangsa banjir ini, Dato' Sri DiRaja Adnan pula kelihatan, sedang mengambil anak kecil ini daripada ibunya, untuk beliau dukung. 

'Gesture' sebeginilah, sungguhpun kelihatan remeh, dapat sekurang-kurangnya mengubat segala kedukaan yang dialami dalam menghadapi bencana banjir ini.    


CABARAN MEMBEKAL AIR BERSIH

Sebelum itu, beliau yang tiba dari Kota Bharu, Kelantan, telah menunaikan Solat Jumaat disusuli Solat Hajat di Masjid Al-Makmur dalam kawasan Pangkalan TUDM Kuantan, sebelum ke Wisma Sri Pahang dekat sini, untuk mengikuti taklimat banjir.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut mengiringi dalam lawatan separuh harinya ke sini ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

Dua (2) langkah lain sepertimana turut disebut oleh Tan Sri Muhyiddin ialah mengenai kemestian penyediaan bekalan air bersih di pusat-pusat pemindahan, serta kaedah lebih berkesan dalam penggunaan asset-aset tertentu bagi kerja-kerja pemindahan mangas-mangsa banjir.

Mengenai bekalan air bersih katanya; “Yang ini, di semua tempat yang saya melawat, baik di Kelantan ataupun di sini; isu ini timbul terutama di pusat-pusat di mana bekalan elektrik terputus dan sistem bekalan air bersih tak dapat digunakan, tak dapat bekalan air paip macam di sinilah.

“Jadi, ini memerlukan kita menyediakan bekalan air dalam bentuk kontena yang besar, yang bersih, diedarkan. Inipun sudah dikeluarkan arahan (agar) perkara itu dilaksanakan,” katanya lagi.

ALANGKAH BERTUAHNYA ANAK KECIL INI... Selepas didukung seketika oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, anak kecil ini kini dalam pangkuan Tan Sri Muhyiddin pula dan kelihatan selamba dan selesa dengan segala tumpuan yang diberikan.  


MENTERI BESAR BOLEH BUAT KEPUTUSAN TENTANG KEPERLUAN ASET TAMBAHAN

Berhubung dengan aset-aset pula katanya, keadaan di Pahang ini tidaklah membimbangkan kerana segala keperluan aset yang telahpun sedia ada di negeri ini dalam menghadapi apa juga kemungkinan.

“Tapi, kalau (ada) keperluan untuk ditambah lagi, saya telah beritahu, tolong maklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Besar boleh buat keputusan supaya bentuk aset sama ada daripada segi darat, air ataupun udara itu, dapat dibekalkan.

“Seperti (jika aset seperti) helikopter yang perlu ditambah, terutama untuk sampai ke tempat-tempat yang sukar untuk kita hubungi dengan jalanraya,” beliau menambah kata.

Tan Sri Muhyiddin juga berkata betapa kejadian banjir yang melanda Pahang setakat ini, tidaklah sebesar yang berlaku tahun lepas namun persiapan-persiapan ke arah menghadapi banjir yang lebih besar selepas ini, mestilah terus dilakukan.

Sementelah pula terkini katanya, ada laporan yang diterimanya tentang paras air di sungai-sungai utama di negeri ini seperti Sungai Pahang, yang sudahpun mencecah mahupun melepasi paras bahaya.  

YANG KELAINAN UPAYA, TURUT MENDAPAT PERHATIAN PARA PEMIMPIN KITA... 

PEKAN AKAN TERJEJAS AGAK LEBIH TERUK SIKIT

Dan sehingga kini menurutnya, daerah-daerah terlibat selain Kuantan ialah Lipis, Maran dan Jerantut, dengan yang terakhir ialah daerah Pekan yang sudahpun berlaku banjir dan melibatkan pemindahan mangsa-mangsanya.

“Daripada laporan yang telah diberitahu kepada saya oleh Pengarah dan juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), tempoh 62 jam daripada tarikh mula berlaku banjir ini, Pekan akan terjejas dengan keadaan yang agak lebih teruk sikit,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau menyatakan kepuasan hatinya dengan segala persiapan dan tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri termasuk dalam memberikan kemudahan yang diperlukan di pusat-pusat pemindahan.

“Walaupun kita tak dapat melayan orang kata secara yang terbaik yang diharapkan dalam keadaan yang sukar dan orang kata darurat seperti ini; saya yakin, mereka berpuas hati.

“Tadipun saya bertanya – macam mana soal makanan? Mereka (kata) puas hati. Soal penjagaan kesihatan bayi, ada doktor yang disediakan. Kesemuanya ini boleh membantu meringankan beban mereka yang menjadi mangsa kepada banjir,” katanya.

TURUT TINJAU KEBERSIHAN DAN MENU MAKANAN... 

KEADAAN DI PAHANG TERKAWAL

“Dan saya ucapkan terima kasih kerana keadaan di Pahang agak terkawal,” katanya lagi dan menambah, “Tapi, langkah-langklah untuk berjaga menghadapi kemungkinan banjir lebih besar itu telahpun kita ambil dan kita harap ini boleh menyelamatkan banyak nyawalah daripada terkorban”.

Kepada soalan wartawan mengenai kemungkinan tarikh mula persekolahan tahun depan (2015) dilewatkan daripada tarikh asal, Isnin, 5 Januari katanya, ia akan tertakluk kepada keadaan apatah pula jika sekolah berkenaan masih digunakan sebagai pusat pemindahan.

“Seperti tahun-tahun lalu, mungkin boleh dilambatkan kerana sekolah itu digunakan sebagai pusat pemindahan. Itu tidak jadi masalah. ‘Standard Operating Procedure’ tentang persekolahan telah sedia ada. Jadi pegawai pendidikan di peringkat daerah dan negeri semua tahu, guru besarpun tahu, jadi tidak jadi masalah.

“Apapun, pengumuman tertentu itu akan dikeluarkan di peringkat negeri oleh Pengarah Negeri, tentang keadaan sekolah dan mula persekolahan dan sebagainya; ikut keadaan yang berlaku di kawasan-kawasan tertentulah,” katanya. 

TEMUI MEDIA... Tan Sri Muhyiddin yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan serta Dato' Sri Muhammad Safian; sedang menemui dan melayani soalan-soalan wartawan yang membuat liputan lawatan separuh harinya ke Kuantan. – Khabar