Saturday 17 January 2015

Kira-kira 150 rumah musnah banjir akan dibina semula



… sebuah dijangka bernilai antara RM20,000 dan RM30,000, atau perlukan peruntukan kira-kira RM4.5 juta

TANDA BAGUS UNTUK BANTUAN KHAS AWAL PERSEKOLAHAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengetuai yang lain termasuk Dato' Shafik Fauzan dan para guru dan pelajar, bagi sesi foto kumpulan atas permintaan jurufoto dari akhbar-akhbar tempatan.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TANAH PUTIH, KUANTAN – Hanya kira-kira 150 rumah yang musnah di seluruh negeri ini ekoran bencana banjir, yang memerlukan pembinaan semula.

Rumah-rumah yang musnah ini ialah 40 buah di Temerloh; 33 buah di Lipis; dan, 27 buah di Bera. Selainnya, dalam bentuk anggaran iaitu lebih 23 buah di Jerantut; lebih 10 buah di Maran; lebih empat (4) buah di Pekan; dan, lebih tiga (3) buah di Rompin.

(Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri, penilaian tentang kemusnahan rumah-rumah ini masih dilakukan dan jumlah sebenar hanya dapat diketahui pada Isnin, 19 Januari).
   
Dengan anggaran kos pembinaan antara RM20,000 dan RM30,000 sebuah, peruntukan yang diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan semula rumah-rumah ini cuma kira-kira RM4.5 juta.

Demikian dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika ditemui wartawan pada akhir Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan pagi Sabtu, 17 Januari, di sini.

PENERIMA YANG BERTERIMA KASIH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan bantuan khas ini kepada seorang pelajar India. Yang turut kelihatan selain Dato' Shafik Fauzan ialah, Encik Tan (kanan sekali); dan, Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Pahang, Dato' Sri Johny Ch'ng Ewe Gee (dua dari kanan).
 

HIDUP PERLU BERMULA SEMULA DARI ‘0’

Lebih 900 pelajar – kira-kira 75 peratus ialah pelajar Cina dan bakinya ialah Melayu dan India menerima bantuan khas ini sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan, yang berbentuk tunai RM100 setiap pelajar.

“Itulah… saya difahamkan dalam RM20-RM25,000, RM30,000 boleh mencukupi (untuk bina semula) sebiji rumah. Jadi, kalau misalannya 150 rumah, baharu RM4.5 juta di Pahang ini.

“Bukanlah satu harga yang mahal, lebih-lebih lagi untuk Kerajaan Persekutuan,” katanya sebagai menjawab soalan wartawan mengenai anggaran peruntukan yang diperlukan untuk pembinaan semula rumah-rumah yang musnah ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut diminta mengulas lanjut tentang cadangan Kerajaan Negeri untuk membina penempatan-penempatan baharu bagi beberapa kawasan terbabit banjir di negeri ini.    

Sambil mengakui betapa mereka yang terbabit khususnya yang teruk dilanda bencana banjir seperti katanya; “… memerlukan kehidupan baharu, mula dari kosong, mula dari A.

SEORANG LAGI PENERIMA YANG BERTERIMA KASIH... 


KERAJAAN NEGERI AKAN ‘CO-ORDINATE’ DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

“Dan, Kerajaan kepimpinan YAB Perdana Menteri sangat menyedari akan hal ini, begitu juga di peringkat negeripun, kita sangat sedar akan hakikat ramai di antara mangsa banjir terpaksa mulakan kehidupan baharu”.

Kerajaan Negeri katanya, akan ‘co-ordinate’ dengan Kerajaan Persekutuan untuk membantu mereka mendapat tempat kediaman termasuk di kawasan-kawasan penempatan baharu, secepat mungkin.

“Walau apapun, kita akan pastikan kampung-kampung yang ada kawasan ‘alternative’, untuk kita bina satu rancangan penempatan semula banjir.

“Yang telah kita kenalpasti ialah satu-dua tempat di Jerantut dan satu-dua tempat di Lipis. Kalau tak silap, di Chegar Perah, contoh. Itu telah kenal pasti. Begitu juga di Tembeling.  
                
“Dan ini akan kita buat cepat. Kita tak mahu ikut ‘red tapes’lah. Kalau pergi ke bawah, pergi ke bawah terus.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 17-MINITNYA... 


MAHU BINA SEMULA DALAM KADAR SEGERA

“Maknannya, kita akan beri keutamaan kepada membina semula rumah kediaman yang rosak teruk; dan, yang keduanya, kita akan cari penempatan baharu untuk kita bina mungkin kampung baharulah, maksud saya, perkampungan baharu untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.

Ditanya lanjut tentang penempatan-penempatan baharu ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan bahawa beliau meminta agar rumah yang akan disediakan di penempatan-penempatan baharu ini mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) bilik.

Selain rumah berkenaan juga katanya, mesti mempunyai ruang-ruang tamu dan dapur, dengan struktur binaannya sama ada sepenuhnya kayu atau separuh kayu dan separuh konkrit.

“Yang mustahak ialah untuk kita dapat membina sebuah rumah itu dalam kadar masa yang cepat,” katanya lagi.

Yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif, yang juga wakil rakyat setempat (BN – Inderapura); serta, Pengetua sekolah ini, Encik Tan Kok Wai. – Khabar