Saturday 10 January 2015

SOP baharu hadapi banjir besar sedang dirangka



… liputi pelbagai aspek termasuk penambahan aset dan latihan simulasi

“Ia (banjir besar kali ini) tidak semestinya berpunca daripada pembalakan atau penerokaan tanah sahaja, tetapi pelbagai faktor bertembung, sebab itu berlakunya banjir besar ini,” kata Perdana Menteri

GOTONG-ROYONG, TANGGUNGJAWAB BERSAMA... Dato' Sri Mohd Najib - sambil memegang hos di tangannya, melakukan yang sewajarnya; kelihatan tersenyum melihat Dato' Sri DiRaja Adnan dalam sama-sama bergotong-royong membersihkan dewan Sekolah Kebangsaan Padang Rumbia dekat sini. 

Kedua-dua pemimpin sempat meluangkan masa menyertai aktiviti sihat ini, selepas hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan anjuran Yayasan Pahang (YP) pagi Sabtu ini.  Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Dr Ewon; wakil rakyat setempat, Encik Fakhruddin Mohd Arif (BN - Bebar) (di sebelah kiri dan kanan Dato' Sri Mohd Najib); 

dan, Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Ismail Abd Aziz (berbaju-T merah) yang juga adik kepada Pegawai Foto di YP, Encik Ramli Abd Aziz yang merupakan Editor Foto, Khabar Pahang ini.


PUSAT OPERASI BANJIR PARLIMEN PEKAN, BAITUL RAHAH, PEKAN – Prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi banjir besar akan dirangka sebagai garis panduan dan dijangka dibentangkan pada Kabinet dalam tempoh enam bulan lagi, kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

SOP itu nanti menurutnya, akan mencakupi pelbagai aspek termasuk penambahan aset, arahan dan kawalan, peralatan komunikasi, latihan simulasi, kaji cuaca dan bekalan elektrik.

SOP sedia ada hanyalah untuk menghadapi banjir biasa yang kerana itu katanya, memerlukan SOP baharu dirangka bagi membolehkan Kerajaan lebih bersedia daripada semua aspek termasuk alat bersesuaian untuk menghadapi banjir besar.

“Jika dalam soal ini ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menjadi agensi utama maka ia akan dibekalkan dengan peralatan yang bersesuaian untuk hadapi bencana ini dan dalam masa yang sama aspek ramalan kaji cuaca jua perlu lebih tepat dan awal supaya dapat memberikan maklumat awal.

“Apabila tahu awal, kami juga boleh menempatkan anggota seperti tentera, bomba dan agensi lain lebih awal supaya apabila air naik kami mempunyai kemampuan yang lebih besar,”
kata Dato’ Sri Mohd Najib pada persidangan media tengah hari Sabtu, 10 Januari di sini.

SEMUA TERSENYUM-GIRANG... Tentu ada sesuatu melucukan yang dikatakan oleh Dato' Sri Mohd Najib pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan ini hingga yang lain - Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Dr Ewon; Dato' Sri Muhammad Safian; dan Dato' Abu Bakar; tersenyum-girang. 


SEKUMPULAN PAKAR KAJI PUNCA SEBENAR BERLAKUNYA BANJIR BESAR

Selain isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; dan, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian; dan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Abu Bakar Harun yang juga wakil rakyat (BN - Chini).

Beliau seterusnya berkata, sekumpulan pakar telah diarah untuk membuat kajian tentang punca sebenar berlakunya banjir luar biasa pada kali ini, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.
 
Kajian itu nanti katanya, ialah bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan jangka pendek dan jangka panjang dapat diambil bagi mengelakkan kejadian banjir berskala besar berulang.

“Kita nak tahu apa faktor yang menyebabkan banjir skala besar kali ini. Apabila tahu punca barulah kita boleh tentukan bagaimana boleh mengolah pembangunan negara supaya ia tidak membawa kesan buruk kepada alam sehingga terjadi bencana seperti ini.

“Ia (banjir besar kali ini) tidak semestinya berpunca daripada pembalakan atau penerokaan tanah sahaja, tetapi pelbagai faktor bertembung, sebab itu berlakunya banjir besar ini,”
katanya.

TEKUN MENDENGARKAN BISIKAN PERDANA MENTERI...  Tentu ada perkara penting yang dikatakan oleh Dato' Sri Mohd Najib kepada Dato' Sri DiRaja Adnan semasa majlis berlangsung, sambil Datin Sri Rosmah memerhatikan. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Ishak Mohamad (duduk, tiga dari kanan) dan Pegawai Daerah Pekan, Dato' Fadzli Mohd Kenali (berbaju gelap di belakang Dato' Sri Mohd Najib). 



LIHAT PERSPEKTIF TENTANG PERTANGGUGJAWABAN BERSAMA  

Pengurusan semasa dan pasca banjir kali ini katanya lagi, dipecahkan kepada tiga peringkat iaitu bantuan terhadap mangsa banjir; membersih sekolah serta kemudahan awam supaya dapat beroperasi seperti biasa; selain, tumpuan membina kembali kediaman yang musnah.

Keutamaan sekarang ialah untuk membina rumah baharu untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dan mempunyai tanah sendiri, manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan setinggan akan dirujuk kepada Kerajaan Negeri untuk kawasan pertempatan sesuai.

Sebelum itu, dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pahang (YP) kepada 260 pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai dekat sini, Perdana Menteri menyarankan agar rakyat mempunyai perspektif baharu dalam menghadapi bencana alam.

Perspektif baharu itu ialah dengan turut bertanggungjawab bagi mengurangkan punca-punca berlakunya banjir melalui pematuhan mereka sendiri terhadap undang-undang yang ditetapkan.

“Kita selalu tuding jari kepada Kerajaan kalau ada kelemahan untuk tangani bencana ini, tetapi sebenarnya ia juga tanggungjawab bersama kerana sebagai rakyat, kita perlu mematuhi undang-undang atau peraturan.

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM120 UNTUK PELAJAR KECIL INI... Antara yang turut kelihatan ialah wakil rakyat, Dato' Sri Sheikh Puzi Sheikh Ali (BN - Peramu) (berdiri, kanan sekali)


MUSIBAH BANJIR SATUKAN SEMUA LAPISAN RAKYAT

“Kalau sudah diluluskan kawasan untuk menebang dan membuka tanah pertanian, kita perlu patuh pada undang-undang. Kalau kelulusan satu (1) ekar, jangan buka satu ekar tambah empat. Yang empat ekar lagi jadi tanah haram,”
katanya.
 
Begitu juga dengan kegiatan perlombongan dan penerokaan tanah untuk pertanian yang menurutnya, perlu mematuhi garis panduan pembangunan secara mampan untuk mengelak kesan pencemaran alam itu terpalit kepada rakyat.

Dalam menghadapi musibah banjir ini katanya, beliau merasa lega apabila ia telah berjaya menyatukan semua lapisan rakyat di seluruh negara tanpa mengira bangsa serta agama, apabila bantuan tidak putus-putus dihantar ke negeri-negeri yang terjejas dengan banjir.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan orangramai khususnya mangsa-mangsa banjir supaya menitikberatkan soal kesihatan terutamanya aspek pemakanan.

“Saya sepatutnya datang buat lawatan lebih awal tetapi saya juga tergolong dalam mangsa banjir sebab terkena (jangkitan bakteria) E-coli... tidak dapat keluar rumah. Pengalaman itu kalau boleh saya tak nak ulang balik.

“Sebab itu saya nak ingatkan, kalau nak minum, kena minum air yang bersih dan yang telah dimasak. Begitu juga kalau nak makan, kena pastikan bahan-bahan yang nak dimasak itu dibasuh dengan teliti,”
katanya. 


WARGATUA JUGA TIDAK DILUPAKAN... – Bernama/Khabar