Tuesday 27 January 2015

TOL bagi tanah diteroka haram untuk penanam sayur kecil-kecilan Cameron Highlands



“Penerokaan tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan.

“Tapi, penerokaan tanah haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk menjamin, menyara keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan sebagainya,” kata Menteri Besar.

PERISTIWA MANIS PAGI SELASA... Para penerima kelihatan begitu gembira menerima apa yang dihajati selama ini daripada Menteri Besar sendiri.
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, MARAN – Dalam pada giat membanteras kegiatan penerokaan tanah secara haram di Cameron Highllands, tanah-tanah yang ditinggalkan akan dipulihkan dengan pelbagai cara termasuk penanaman semula hutan;

Manakala, mana-mana tapak yang sesuai pula akan dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada penanam-penanam sayur kecil-kecilan untuk mengerjakannya sebagai mata pencarian keluarga.        

Inilah antara keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang semalam, Isnin, 26 Januari di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Tan Sri Muhyiddin ada menyebut mengenainya pada persidangan medianya semalam, dan Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A pagi Selasa, 27 Januari di sini.  

Nyata betapa keputusan yang diambil ini adalah berteraskan sikap mengambil beratnya Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap nasib penanam-penanam sayur kecil-kecilan di Cameron Highlands, yang menghadapi kesukaran hidup seharian akibat kerja-kerja penguatkuasaan ketika ini.  

DALAM PENUH KEBANGGAAN DAN KESYUKURAN... Semoga penerima-penerima suratan hakmilik tanah ini dapat menginsafi dan bersyukur, serta memelihara pemilikan dokumen penting ini dengan sewajar-wajarnya. 
 

KECIL-KECILAN = 2 HEKTAR

“Dalam mesyuarat tersebut, isu-isu penguatkuasaan, isu-isu untuk memulihkan semula Cameron Highlands telah dibincangkan dan Kerajaan Negeri telah membawa satu perkara iaitu;

“… kita berpendapat perlunya penanam-penanam sayur yang bergerak secara kecil-kecilan untuk menyara keluarga, diberikan pertimbangan dan ini telah dipersetujui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga mesyuarat.

“Ini bermakna, penanam-penanam sayur yang selama ini mengerjakan tanah semata-mata untuk menyara keluarga (seluas) dua (2) hektar sebagai contoh; kita akan pertimbangkan selepas ini.
              
“Kita akan kenalpasti lokasi-lokasi sesuai untuk kita pertimbangkan Lesen Pendudukan Sementara kepada petani-petani, penanam-penanam sayur kategori ini,” katanya sambil memberitahu, TOL diberhentikan pengeluarannya di kawasan tanahtinggi itu sejak tahun 2000 lagi iaitu setahun selepas beliau menjadi Menteri Besar.

“Dan perkara ini saya selalu sebutkan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya, dan menambah kata betapa;

MENEMUI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang diapit kanan-kiri oleh Dato' Sri Ismail dan Dato' Shahaniza ialah, Encik Mohamad Ariffin, Dato' Wan Salman, Cik Nurhidayah, dan, Dato' Syed Ahmad Fuad (kiri sekali).  


TAK BOLEH BIARKAN PENEROKAAN TANAH HARAM BESAR-BESARAN

“Penerokaan tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan. Tapi, penerokaan tanah haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk menjamin, menyara keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan sebagainya”.

Pun begitu beliau menegaskan betapa, “… bukan semua kawasan yang telah dikuatkuasakan itu akan diberi kepada orang (penanam sayur secara kecil-kecilan). Mana yang sesuai tanam semula pokok, (akan di)tanam semula pokok. Mana yang sesuai untuk ‘landscaping’, (akan dibuat semula) ‘landscaping’.

Lanjutan kepada persetujuan tersebut katanya, Kerajaan Negeri telah ditugaskan untuk mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan berkenaan yang menurutnya, ada antara tanah berkenaan telah diusahakan sejak zaman datuknya lagi.

“… sejak zaman datuk dia, bapak dia lagi – 60 tahun, 45 tahun, 30 tahun yang lalu. Kita akan senaraikan dan kita akan perakukan untuk dikeluarkan TOL atas tanah yang sesuai, yang telah diteroka secara haram selama ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Selain itu katanya, tanah-tanah yang diterokai haram dan telah dilakukan kerja-kerja penguatkuasaan, akan ditanam semula dengan hutan oleh Jabatan Perhutanan serta tindakan-tindakan lain demi memulihkannya agar Cameron Highlands kembali menjadi tempat yang menarik untuk dilawati oleh para pelancong.    

BERPADALAH DENGAN YANG ASAS SAHAJA  

Menjawab soalan wartawan tentang tempoh bagi mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan ini katanya, Kerajaan Negeri telah memberi jaminan untuk menyelesaikannya dalam sebulan lebih ini.  

“… YAB Timbalan Perdana Menteri semalam bagi tahu, Pelan Struktur dan sebagainya (untuk Cameron Highlands), yang dibuat oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, akan disiapkan dalam tempoh enam (6) bulan.

“Dan, pengeluaran TOL ini mesti disesuaikan juga dengan segala peraturan dan syarat yang ketat, yang mesti dipatuhi oleh semua pemegang TOL di Cameron (Highlands) nanti,” tegasnya.

Mengenai tempoh musim tengkujuh yang kebiasaannya akan berakhir cuma pada Mac sejak bermula November lepas, kata Menteri Besar, langkah berjaga-jaga dalam kalangan rakyat haruslah ada.

“Pendek kata, siapa yang balik ke rumah itu, jangan selesa dan kita berpada dengan perkara asas sahajalah. Jangan kita terlalu ghairah atau beriya sangat membeli peralatan, perabut rumah, tak payah,” katanya.

‘WEATHER PHENOMENON, DUE TO NATURAL FORCES’

Menurut seorang pakar kajicuaca katanya lagi, apa yang dialami sekarang merupakan ‘weather phenomenon, due to natural forces’ yang turut menyatakan betapa pula kegiatan pembalakan dan pertanian merupakan faktor penyumbang sahaja.

“Betul juga sebab, kita banjir besar dah tiga (3) kali – tahun (19)26 yang paling teruk, tahun (19)70-71, 2014-2015. Maknanya, perkara-perkara yang buruk yang orang ramalkan itu dan dikeluarkan pula oleh orang yang pakar, kita kena ambil kiralah,” katanya.

Antara yang turut hadir pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A ini ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Mutalib yang juga wakil rakyat Parlimen (BN – Maran);

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang juga wakil rakyat (BN – Kuala Sentul); wakil-wakil rakyat – Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka); Encik Mohamad Ariffin Awang Ismail (BN – Chenor); Cik Nurhidayah Shahaimi (BN – Luit); dan, Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

Pada majlis ini, seramai 37 orang penduduk sekitar daerah ini, telah menerima suratan hakmilik mereka, dan baikinya, 249 orang menerima notis 5A masing-masing. – Khabar