Wednesday 7 January 2015

Yayasan Pahang peruntuk RM2.4 juta bantu 18,000 pelajar terjejas banjir dan yang memerlukan!



RASMILAH PELEPASAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang melakukan pelepasan konvoi. Di sebelahnya ialah Dato' Mohd Johari dan Dato' Shahaniza.

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), memperuntukkan RM2.4 juta sebagai bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar terjejas banjir dan daripada keluarga yang memerlukan, di negeri ini.

Kesemuanya, menurut Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, melibatkan kira-kira 18,000 pelajar dari kesemua daerah termasuk daerah-daerah yang tidak mengalami bencana banjir baru-baru ini.   

Berita baik ini Dato’ Sri DiRaja Adnan umumkan dalam ucapan ringkas pada Majlis Pelepasan Konvoi Sukarelawan Pahang (KSP) Dalam Misi Kemanusiaan Banjir ke Kelantan petang Rabu, 7 Januari, di sini.

Sebelum pengemuman itu, beliau telah menyebut tentang betapa luar biasanya banjir yang melanda negara dan negeri, pada kali ini.

“Banjir ini memang teruk kali ini. Takdir Allah belaka, untuk mengingatkan manusia biarlah berpada-pada. Ada tempat yang tak pernah kena banjirpun, banjir. Tempat yang patut banjir, tak banjir.

MAKA, BERLEPASLAH KONVOI KITA... 

BENCANA, MENYATUKAN KITA SEMUA

“Ha, ini menunjukkan kuasa Allah. Kita kenalah menghormati alam sekitar, menghormati segala-gala (yang) Allah telah lakukan (tentukan). Ini menimbulkan keinsafan,” katanya.

Dalam pada itupun, beliau melhat aspek positif kepada terjadinya bencana banjir ini sepertimana katanya, “Hari ini kita dapat lihat, bila banjir (berlaku, ia) menyatukan kita semua.

“Semua – tak kira Melayu, Cina, India. Islam, bukan Islam. Berbagai-bagai fahaman politik, semuanya bersatu, bersama-sama”.   

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menyebut tentang mesyuarat yang akan diadakan esok, Khamis, 8 Januari, yang akan membincangkan lebih lanjut mengenai usaha-usaha menangani pelbagai isu berkaitan tempoh pasca-banjir.

Adalah difahamkan, mesyuarat yang dimaksudkan ialah yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.    

'GROUP PHOTO SESSION'... Foto ini dipetik dari kumpulan WhatsApp Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri/Ketua-ketua Jabatan Kerajaan yang diurus-tadbirkan oleh Dato' Mohd Johari.


TPM PENGERUSIKAN MESYUARAT KOORDINASI

Mesyuarat itu – Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Bagi Negeri Pahang,
ialah yang utama dalam jadual lawatan sehari suntuk Tan Sri Muhyiddin ke daerah Jerantut, kemudian Temerloh pada sebelah petangnya.

Selain mesyuarat tersebut, Tan Sri Muhyiddin akan turut melancarkan program Bantuan Awal Bantuan Persekolahan peringkat negeri di susuli bergotong-royong membersihkan kesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar.

Konvoi Sukarelawan Pahang (KSP) yang Dato’ Sri DiRaja Adnan lancar-lepaskan petang Rabu ini, ialah selama tiga (3) hari berakhir Jumaat, 9 Januari; disertai 200 sukarelawan di bawah naungan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP).

Ia melibatkan 53 kenderaan termasuk pacuan empat roda, lori dan van, yang bergerak ke tiga (3) daerah di negeri ini bermula di Rompin, Kuantan dan Temerloh; sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Selain bekalan makanan, konvoi ini turut membawa bersama-samanya dapur, lilin, pakaian dan jentera penyembur air.

Yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Mohd Johari Hussin; serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang lain iaitu, Dato’ Norol Azali Sulaiman dan Dato’ Shahaniza Shamsuddin. – Khabar