Monday 30 March 2015

Perpaduan terjamin jika setiap kaum jagai urusan kaum sendiri!


“Sejak akhir-akhir ini kita lihat, kita tidak menjaga urusan kita sendiri. Ini masalah.

“Kita suka ambil tahu urusan orang lain, kita suka ambil tahu kerja orang lain. Kita suka ambil tahu dan campur, urusan Allah Taala. Ha, ini masalah,” kata Menteri Besar

'PHOTO-SHOOT' BERSAMA PARA PEMENANG... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan serta para pemenang, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian; Encik Gandesan (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan); serta, Puan Fairojibanu (depan, tengah).

DEWAN ASTANA, HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Perpaduan di negara ini akan terus terjamin jika setiap kaum menjagai urusan budaya dan agamanya sendiri; tanpa mencampuri urusan – budaya dan agama, kaum yang lain.

Inilah intipati ucapan luar teks 19-minit Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, pada Majlis Gemilang Padu Kawasan Rukun Tetangga Negeri Pahang pada malam Isnin, 30 Mac, di Dewan tingkat 5 ini.   

“Sejak akhir-akhir ini kita lihat, kita tidak menjaga urusan kita sendiri. Ini masalah. Kita suka ambil tahu urusan orang lain, kita suka ambil tahu kerja orang lain. Kita suka ambil tahu dan campur, urusan Allah Taala. Ha, ini masalah.

“Bila ini berlaku – kita tak menjaga urusan kita, (sebaliknya) kita ambil tahu (serta mencampuri) urusan orang lain, ha ini masalah timbul.

“Orang Islam bercakap soal Kristian, orang Kristian bercakap soal Islam. Orang bukan Islam bercakap soal hudud. Orang Islampun, tanpa usul periksa, bercakap soal hudud,” katanya pada majlis dihadiri oleh anggota-anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh daerah.

CENDERAHATI KEPADA TETAMU UTAMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima cenderahati berupa buku-buku terbitan semasa yang sememangnya menjadi kegemaran beliau, daripada Encik Gandesan sambil Dato' Sri Muhammad Safian memerhatikan. 


BUKAN HUDUD, TAPI SEKADAR PINDAAN KEPADA ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH KELANTAN

‘Hudud’ yang menjadi isu dalam media – cetak, elektronik mahupun sosial ketika ini menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, telah disalah fahami oleh banyak pihak tetapi masih tidak menghindar mereka untuk mengulas tentangnya.   

Sedangkan katanya, yang diperkatakan itu bukanlah hudud sepertimana pengertian sebenar dalam Islam, sebaliknya, hanyalah pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan.

“Orang Islam tak boleh tolak hudud. Kalau tolak hudud, (boleh jatuh) murtad.

“Tapi kita kena faham, adakah itu hudud sebenar sepertimana kehendak Allah SWT, ataupun hudud, semata-mata dinamakan hudud tapi sebenarnya, hanyalah pindaan kepada Undang-undang Jenayah Syariah Kelantan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar ulasan-ulasan tentang perkara tersebut tidak lagi dibuat termasuk oleh orang Melayu/Islam sendiri, sementelah mereka tidak menelitipun deraf undang-undang ataupun enakmen yang telah diluluskan itu.

MENUJU, 'MALAYSIA BARU'... Dendangan bersama lagu patriotik - 'Malaysia Baru', sebagai penutup tirai majlis malam Isnin ini. 'Oleh itu mari kawanku, berpimpin tangan berganding bahu, segera capai cita yang satu, di alam Malaysia Baru' - demikian lirik terakhir lagu keramat ini.  
 

ORANG BUKAN ISLAM LAGILAH TAK BOLEH ULAS

“Orang bukan Islampun apatah lagi. Jangan sebut soal ini sebab ini bukan soal ugama dia (orang bukan Islam),” katanya lagi.

Berbeza dengan dahulu, beliau menambah kata, tidak terdapat kejadian apabila kaum-kaum tertentu mengulas atau mencampuri urusan budaya dan agama kaum-kaum yang lain.

“Pada masa dahulu, tidak timbul orang-orang Melayu mengganggu ugama ataupun budaya orang lain. Tidak ada ulasan-ulasan yang dibuat oleh orang Melayu terhadap ugama ataupun budaya kaum lain.

“Begitu juga orang-orang Cina, orang-orang India pada masa itu, tidak ada mengulas terutama ulasan negatif tentang orang-orang Melayu termasuk jugalah soal ugama Islam dan juga budaya Melayu.

“Masing-masing menjaga budaya, ugama masing-masing. Dan, kalau adapun perselisihan pendapat mengenai ugama, yang bercakap ialah orang yang menganuti ugama itu sendiri,” tegasnya.

HADIRINPUN, TURUT BANGUN SERTA MENYANYIKAN BERSAMA-SAMA... 

YANG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis malam Isnin ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Dato’ Setia Perkasa Pahang, Tengku Dato’ Sri Zulkifli Tengku Ahmad;
Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato’ Shafik Fauzan Sharif dan Dato’ Abu Bakar Harun; 

Wakil rakyat negeri, Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Panching); Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN), Encik  Gandesan Letchumanan; serta, Pengarah, JPNIN Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar