Wednesday 4 March 2015

SPM 2014; Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) kekal terbaik di Pahang, dua (2) tahun berturut-turut!


... maahad tahfiz milik Yayasan Pahang terus cemerlang - aspek akademik dan hafazan.

PELAJAR-PELAJAR TERBAIK, DENGAN MENTERI BESAR... Dato' Sri DiRaja Adnan sudi bergambar bersama-sama para pelajar cemerlang kita. Yang turut kelihatan ialah Encik Mahmud (tiga dari kanan).
 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menjadi sekolah terbaik Pahang selama dua (2) tahun berturut-turut pada kali ini.

Pada peperiksaan SPM tahun lepas yang diumumkan pagi Selasa, 3 Mac, maahad tahfiz milik Yayasan Pahang (YP) ini berjaya memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.46, mengatasi sekolah-sekolah lain di negeri ini.

Kedua ialah Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Bentong dengan GPS 1.76; diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), GPS 2.31; dan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, GPS 2.33.

“Pencapaian ini sekaligus telah meletakkan MTNP di kedudukan 10 sekolah terbaik di peringkat kebangsaan bagi peperiksaan SPM 2014,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, MTNP, Dato’ Zulkifle Ali dalam satu kenyataan di sini.

Daripada segi bilangan katanya, lima (5) pelajarnya berjaya memperolehi A dalam semua mata pelajaran dengan empat (4) daripadanya mendapat keputusan cemerlang hingga 12A.

AMAT MENGHARGAI, PEMBERIAN KETUA EKSEKUTIF NEGERI... 
 

SIJIL PENGHARGAAN BUAT PARA PELAJAR

Selain kecemerlangan dalam akademik, kesemua pelajar ini juga menurut Dato’ Zulkifle, telah menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Sebagai penghargaan atas kejayaan pelajar-pelajar MTNP yang cemerlang ini, satu perjumpaan dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah diatur petang Rabu, 4 Mac di sini.

Pada majlis ringkas ini, selain menyatakan kesyukuran dan kebanggaannya atas kejayaan mereka, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada setiap seorang daripada lima (5) pelajar terlibat.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar YP, Encik Mahmud Nawawi. 

GENGGAMAN, SEMANGAT TINGGI, LIMA TERBAIK KITA... Pose istimewa kelima-lima anak muda kita. – Khabar