Saturday 18 April 2015

Dato' Hasan calon kita di PRK Parlimen kawasan Rompin!


… nama bekas Timbalan Menteri Besar itu diumumkan oleh Timbalan Presiden parti, tepat 12.22 tengah hari.

SERAH-TERIMA WATIKAH... Tan Sri Muhyiddin sedang menyerahkan watikah pencalonan Dato' Hasan sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain, memerhatikan. 


PUSAT OPERASI BARISAN NASIONAL (BN), BANDAR MUADZAM SHAH, ROMPIN – Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas Timbalan Menteri Besar, Dato’ Hasan Arifin sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Rompin pada 5 Mei.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengarah Utama PRK ini, membuat pengumuman itu tepat 12.22 tengah hari, Sabtu, 18 April di sini, sebelum menyempurnakan ucapan luar teks 26-minitnya pada majlis mengumumkan calon itu.

Sebelum itu, beliau yang diiringi Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; telah mengadakan perjumpaan tertutup secara berasingan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Rompin disusuli BN Bahagian yang sama.

Dalam ucapannya lagi, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, BN mengetengahkan Dato' Hasan yang juga Pemangku, Ketua UMNO Bahagian Rompin - tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.

“Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Dato’ Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan Kerajaan,” katanya.

MENYANNYIKAN DAN MENGHORMATI 'NEGARAKU'... Inilah barisan kepimpinan kita yang turun pada tengah hari Sabtu. 
 

HARAPAN AGAR PENGUNDI DAPAT TERIMA DATO’ HASAN

Pada persidangan media kemudian, Tan Sri Muhyiddin berkata, Dato’ Hasan, 62, juga merupakan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai peringkat jawatan dalam UMNO, serta pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar.

Berbekalkan pengalaman selama lima (5) penggal sebagai wakil rakyat negeri (BN – Rompin, kemudian BN - Ibam) sejak 1982 katanya lagi, Dato’ Hasan diyakini calon paling layak untuk mengangkat Rompin ke tahap yang lebih tinggi.

“Jadi kita fikir, adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah pilihan tepat.

“Harapan kita adalah pengundi akan terima Dato’ Hasan sebagai Anggota Parlimen kerana mereka telah biasa dengan beliau, maka mudah untuk kemukakan apa sahaja isu dan permasalahan penduduk Rompin,”
katanya.

Lanjutan itu, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah PRK ini sungguhpun kawasan parlimen ini merupakan kubu kuat UMNO yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang sejak dahulu lagi.

DATO' SRI DIRAJA ADNAN DAN DATO' HASAN... Sama-sama pernah menganggotai jemaah Exco Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar (1986 - 1999), Dato' Sri Mohd Khalil Yaakob (sekarang Tun - Yang Dipertua Negeri Melaka). 
  

YAKIN MAMPU PERTAHAN TAPI, PENENTUNYA IALAH PENGUNDI  

“Kita yakin mampu pertahan, namun penentunya adalah pengundi. Kita kena atur langkah bijaksana dan jangan ambil mudah.

“Kebimbangan saya cuma satu, kebiasaannya PRK di kawasan yang mereka anggap BN akan menang, maka tak ramai nak keluar mengundi termasuk anggota parti.

“Jika mereka buat begitu maka peratusan mengundi tidak akan tinggi dan itu akan menjejaskan majoriti yang ingin kita raih,”
tegasnya.

Sehubungan itu juga, beliau sendiri telah menetapkan sasaran majoriti yang perlu dicapai dalam PRK kali ini selain Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang perlu diraih oleh setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Beliau turut mengingatkan jentera penerangan parti supaya turun ke peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit termasuk soal Felda dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sudah mula menjadi bahan kempen parti pembangkang.

YANG TURUT HADIR TENGAH HARI SABTU... Sorakan mereka yang gemuruh dan senada tatkala nama Dato' Hasan diumumkan, jelas membuktikan betapa bulatnya tekad dan sokongan mereka terhadap calon BN ini.


ROMPIN KAWASAN 83 PERATUS MAJORITI MELAYU

PRK Parlimen kaasan Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin ialah wakil rakyat Parlimen Rompin sejak enam (6) penggal lepas bermula tahun 1990. Pada Pilihanraya Umum (PRU) tahun 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan calon ialah pada 22 April ini.

Parlimen kawasan Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan majoritinya Melayu kira-kira 45,000 pengundi; disusuli Orang Asli, kira-kira 7,000 pengundi; Cina, 1,300 pengundi; dan, India, 621 pengundi.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Ketua Penyelaras bagi PRK ini, yang turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Dato’ Sri Tengku Adnan Tengku Mansor;

Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan, Naib Ketua Umno Bahagian Rompin, Dato’ Sri Maznah Mazlan. 

MAJLIS TAHLIL BUAT ALLAHYARHAM TAN SRI JAMALUDDIN... Sebaik sahaja selepas majlis pengumuman, majlis tahlil dianjurkan di Masjid Al Muadzam Shah yang bersebelahan dengan Pusat Operasi ini. 

Yang turut membanggakan ialah betapa sebelum majlis tahlil bermula, Imam masjid telah menyebutkan betapa dengan usaha Allahyarhamlah, masjid ini bukan setakat memperolehi alas permaidani yang baharu, malah juga bahagian silingnya. – BERNAMA/Khabar