Sunday 5 April 2015

Kesedihan dan ucap takziah, atas pemergian mengejut Tan Sri Jamaluddin Jarjis


“Saya sendiri, negeri dan UMNO Pahang, menzahirkan ucapan takziah kami kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin serta mereka yang turut terkorban dalam kemalangan helikopter yang tragis,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PEMERGIAN MENGEJUTNYA, DIRASAI... 


PERKARANGAN MAKAM PAHLAWAN, MASJID NEGARA, KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyatakan perasaan sedihnya dengan pulangnya ke rahmatullah Tan Sri Jamaluddin Jarjis – seorang yang dianggapnya sebagai rakan selama hampir 30 tahun.

Beliau yang ditemui dan diwawancara ringkas oleh wartawan BERNAMA dan wartawan penyiaran RTM petang Ahad, 5 April di sini, dilaporkan oleh BERNAMA sebagai berkata;

“Saya sendiri, negeri dan UMNO Pahang, menzahirkan ucapan takziah kami kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin serta mereka yang turut terkorban dalam kemalangan helikopter yang tragis”.

Melakarkan bekas wakil rakyat parlimen (BN – Rompin) itu sebagai seorang yang ceria dan berperwatakan menarik (colourful character), Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri berharap;

“… badan penyiasat (yang Kerajaan tubuhkan untuk mengenal pasti punca kemalangan) akan melakukan siasatan terperinci dan melaporkan semula dapatan-dapatan mereka”.

PERSEMADIANNYA...  Sama-sama mengaminkan doa yang dibacakan oleh Tan Sri Sheikh Ismail. 


TERLALU AWAL UNTUK BERCAKAP MENGENAI PARLIMEN ROMPIN

Sehubungan itu, beliau menegaskan betapa masih terlalu awal untuk beliau bercakap mengenai kawasan parlimen Rompin ekoran kehilangan wakil rakyatnya itu.

“Pada satu masa nanti, kami akan tentunya memberitahu rakyat (di kawasan parlimen berkenaan khususnya) mengenai rancangan-rancangan kami,” katanya lagi.

Sementara itu, BERNAMA turut melaporkan mengenai betapa hujan renyai telah mengiringi pengebumian jenazah bekas wakil rakyat parlimen Rompin itu.

Jenazah Allahyarham – menurut laporan berita itu, telah tiba di Masjid Negara ini pada 3.15 petang dari kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini.

Ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan dengan diketuai Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, sebelum jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Asar.

MENTERI BESAR SEMASA DIWAWANCARA... Dato' Sri DiRaja Adnan, yang dalam keadaan sedih, sedang bercakap dengan wartawan-wartawan BERNAMA dan RTM. 

Foto ini ialah kiriman menerusi 'whatsapp' oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Encik Rozilan Salleh (yang turut kelihatan dalam foto ini - tengah, berjubah dan berkopiah putih).


PM, ISTERI DAN TYT MELAKA TURUT HADIR

Yang turut hadir ialah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob serta anggota keluarga Allahyarham dan kira-kira 1,000 tetamu.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan bersebelahan pusara bekas Menteri Undang-undang, Tan Sri Hamzah Abu Samah, pada 5.50 petang.

Dato’ Sri Mohd Najib dan Datin Sri Rosmah yang kelihatan sugul, turut menabur bunga dan menyiram air di pusara Allahyarham.

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin, 63, terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaikinya bersama lima (5) yang lain, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, pada 4.45 petang semalam, Sabtu, 4 April.

Allahyarham dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Dato’ Sri Mohd Najib - Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev, di Bandar DiRaja Pekan.

Nahas itu turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Dato’ Azlin Alias; juruterbang, Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi, Aidana Baizieva; pengawal peribadi kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin, Razakan Seran; dan, ahli perniagaan, Dato’ Tan Huat Seang. – BERNAMA/Khabar