Tuesday 26 May 2015

Haram sepenuhnya perlombongan 'bauxite'!?


… jika pelombong/kontraktor tidak dapat patuhi syarat-syarat dan akuri langkah-langkah baharu yang lebih ketat, yang Kerajaan Negeri kuatkuasakan serta-merta.

TAKLIMAT/PENGUMUMAN LANGKAH TEGAS 6-PERKARA BENDUNGI GEJALA PERLOMBONGAN 'BAUXITE'... Dato' Sri Muhammad Safian sedang menyampaikan taklimatnya sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain termasuk kalangan media, sedang memberi tumpuan sepenuhnya. 
   

BILIK REHAT, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini memberi kata-dua tegas kepada para pelombong serta operator pengeluaran bahan mineral ‘bauxite’ –

Sama ada patuh kepada segala syarat baharu yang lebih ketat yang Kerajaan Negeri perkenal dan kuatkuasakan serta-merta; atau, hadapi tindakan pengharaman sepenuhnya aktiviti itu di negeri ini.

“Kerajaan Negeri memberi amaran keras kepada semua kontraktor, pelombong supaya mereka berhati-hati, menjaga kebersihan. Kalau tidak, kita akan tutup semua sekali,” kata tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media tengah hari Selasa, 26 Mei di sini.

“Langkah terakhir ialah menutup semua sekali. Walau apapun, kepentingan orangramai menjadi perkara utama,” katanya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat tentang gejala ‘bauxite’ bersama-sama ketua jabatan-jabatan yang berkenaan.

“Kerajaan Negeri amat sedar tentang kesulitan yang dialami oleh orangramai terutama sekali pengguna jalanraya, dan juga penduduk-penduduk kampung yang berhampiran, yang jalanraya melalui kampung mereka dilalui oleh lori-lori yang membawa ‘bauxite’,” katanya lagi.

BERPERSIDANGAN MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyatakan apa yang harus dinyatakan, pada persidangan media tengah hari Selasa itu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berlangsung, yang mana soal gejala 'bauxite' banyak diperkatakan oleh wakil-wakil rakyat sekelian. 


SYARAT PERLU SEDIAKAN DEPOSIT

Antara syarat-syarat baharu itu ialah memestikan pelombong dan kontraktor menyediakan terlebih dahulu ‘deposit’ dalam amaun yang bersesuaian, yang bakal Kerajaan Negeri tentukan.

Selain mewajibkan mereka mencuci kenderaan – lori pengangkut bahan mineral berwarna kemerahan itu, terlebih dahulu, sebelum boleh meneruskan perjalanan di atas jalan menuju ke Pelabuhan Kuantan untuk pengeksportan.

Juga menetapkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan memperbaharui lesen-lesen berkenaan ke atas kenderaan milik pelombong dan operator terbabit, selagi mereka tidak membayar keseluruhan kompaun yang dikenakan atas kesalahan-kesalahan berkaitan pengangkutan bahan mineral itu.

“Kita akan jadi lebih ‘strict’. Kita berharap, orangramai tidak akan berasa bimbang lagi dan kalau ada apa-apa ‘complaint’, boleh dipanjangkan kepada Kerajaan, kepada Menteri Besar sendiri, Dato’ Sri SS.

“Dan saya juga berharap, pihak industri di Gebeng jangan berasa terperanjat atau berasa gawat. Kerajaan dalam proses untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin mengambil sedikit masa untuk mendapat kesannya,” katanya.

AKUR DENGAN HAKIKAT KEROSAKAN, 'NOT IN DENIAL MODE'... Sejak Januari lagi, gejala akibat perlombongan 'bauxite' telah dibincang oleh Kerajaan Negeri, disusuli perjumpaan dengan operator-operator dan pelombong bahan mineral kemerahan itu pada Februari, yang telah mengambil beberapa ketetapan bagi membendung gejala berkenaan. 

Ini semua menunjukkan keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri atas gejala tersebut. Tidak pula mengenepikannya sahaja lalu selesa berada dalam 'state of denial'. Namun, gejala tetap berterusan yang sebahagian besarnya haruslah diletakkan beban kesalahan itu kepada operator-operator berkenaan juga. 

Maka, kata-dua Dato' Sri DiRaja Adnan yang disampaikan secara jelas dan tegas pada tengah hari Selasa, 26 Mei ini tentunya dinanti-nantikan. Jika masih tidak akur, haramkan sahaja seluruh indusrti perlombongan 'bauxite' di negeri ini sepertimana yang telah diambil oleh beberapa negara luar sebelum ini!
   

ENAM LANGKAH TEGAS BAHARU BENDUNGI GEJALA ‘BAUXITE’

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail yang turut hadir, kemudian diminta memberi taklimat seterusnya menyenaraikan langkah-langkah baharu yang lebih tegas yang direstui Kerajaan Negeri, ke arah membendung gejala itu lagi.

Enam (6) langkah kesemuanya iaitu –

# Pertama; Mengawal rapi pengeluaran dan pelaksanaan MOL (Mining Ore License) oleh operator-operator.

Menurut Dato’ Sri Muhammad Safian, “Dato’ Sri (DiRaja Adnan) sendiri tidak bercadang untuk hendak ‘stop’ 100 percent, sebab banyak yang bergantung, mencari makan pada MOL ini. Tetapi kita akan mengambil tindakan yang ‘strict’ sikit.

“Maknanya, setiap MOL yang kita (hendak) luluskan kita akan tengok sama ada dia menjalankan aktiviti melombong ataupun tidak. Kalau dia menjalankan aktiviti melombong, kita terpaksa membatalkan MOL dia”.

# Kedua; Tindakan tegas ke atas lombong-lombong haram yang telah dikenalpasti lokasinya, dengan menyita peralatan melombong termasuklah jentera-jentera seperti jengkaut (excavator) milik operator berkenaan.

KENALPASTI LIMA KAWASAN LOMBONG HARAM, AKAN DISITA

Ada lima (5) kawasan lombong haram utama yang dikenalpasti iaitu di Rancangan Tanah Felda Bukit Goh yang melibatkan tanah-tanah milik; satu lagi juga di rancangan tanah itu menghala ke Bukit Sagu;

Di kawasan belakang Taman Dato’ Rashid, dan, di kawasan belakang Bandar Damansara Kuantan – kedua-duanya bersebelahan Jalan Kuantan-bypass; dan, di kawasan belakang Aspa Cottage berhampiran sempadan Kuantan-Kemaman.

# Ketiga; Sekatan jalanraya bersepadu PTG-PDRM-JPJ-Jabatan Mineral dan Geosains-JAS-Rela terus dilaksanakan. Tetapi, ekoran kekurangan pegawai penguatkuasa, lokasinya dikurangkan daripada lima (5) yang sedia ada, kepada tiga (3) iaitu masing-masing satu;

Berhampiran jalan masuk ke Rancangan Tanah Felda Bukit Goh, berhampiran jalan menuju ke Rancangan Tanah Felda Bukit Sagu-Bukit Kuantan-Jabor-Jerangau, dan, jalan  masuk ke Pelabuhan Kuantan.

# Keempat; Waktu pertukaran syif yang seragam pada jam 6 petang oleh pasukan-pasukan penguatkuasa terlibat, akan dipelbagaikan bagi mengelak kelonggaran dalam penguatkuasaan dalam tempoh pertukaran masa syif tersebut.

MASA TUKAR SYIF PASUKAN PENGUATKUASA TIDAK LAGI SERAGAM

“Sebagai contoh, Polis akan bertukar pada pukul 6 petang, JPJ mungkin pukul 5, PTG mungkin pukul 4. Jadi, tak sama. Maknanya, pada setaip masa, akan ada pegawai-pegawai yang bertugas (yang mencukupi),” kata Dato’ Sri Muhammad Safian.

# Kelima; Lori-lori pengangkut ‘bauxite’ hanya dibenar memasuki Pelabuhan Kuantan menerusi Pintu B sahaja (yang terletak lebih hampir ke Sungai Ular) manakala Pintu A (berhampiran Kampung Selamat), tidak lagi dibenarkan sebagai laluan masuk mereka.

Aktiviti ‘stockpile’ dalam kawasan Pelabuhan Kuantan juga akan dikurangkan termasuk dalam melaksanakan kerja-kerja mencuci kenderaan, yang setakat ini dikesan menjadi punca kepada kejadian ‘laut merah’ di perawiran pelabuhan tersebut.

“Barangkali, (pengurusan) Pelabuhan Kuantan boleh beritahu kita apa tindakan yang akan diambil. Pokok-pangkalnya, tidak ada aktiviti cucian dilakukan untuk mengelakkkan air terus mengalir ke laut hingga mengakibatkan fenomena laut merah tadi,” kata Dato’ Sri Muhammad Safian lagi.

# Keenam; Permit 4C yang dikeluarkan kepada operator, tidak lagi boleh digunakan untuk maksud mengeksport tetapi terhad kepada kerja-kerja untuk menambun tanah sahaja.

PERMIT 4C BUKAN KELAYAKAN UNTUK MENGEKSPORT

“(Permit) 4C ini bermakna, kita beri kebenaran untuk mengangkut bahan batuan di atas tanah milik untuk kerja-kerja menambun sahaja, bukan bertujuan untuk mengeksport,” katanya lagi.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menegaskan betapa hari ini bukanlah kali pertama beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut.

“Saya telah memanggilkan perbincangan pertama kali pada 21 Januari, kemudian 4 Februari, kita libat semua kontraktor-kontraktor, pelombong-pelombong, dan juga jabatan-jabatan Kerajaan yang berkaitan.

“Tujuan kita ialah untuik memberi penringatan kepada pelombong-pelombong supaya mematuhi syarat dan pada ketika yang sama kita mengadakan tindakan penguatkuasaan yang bermula pada 2 April sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Selain Dato’ Sri Muhammad Safian, antara yang turut hadir ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Azizan Ahmad; Presiden, Persatuan Pengusaha-pengusaha Bijih Besi Negeri, Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad;

Ketua Polis Negeri, Timbalan Pesuruhjaya Kanan, Dato’ Sri Sharifuddin Ab Ghani; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan, Dato’ Zulkifli Yaacob; Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Encik Rusli Che Husin; dan, Pengarah JPJ Negeri, Encik Mark Ujin. – Khabar