Thursday 11 June 2015

SPB Yang Dipertuan Agong berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-238 yang dipengerusikan oleh KDYMM Sultan Pahang



MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA KE-238... SPB Yang Dipertuan Agong dan KDYMM Sultan Pahang kelihatan dipersembahkan taklimat ringkas mengenai hal-hal urusan mesyuarat oleh masing-masing Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Sultan Selangor yang diiringi oleh Menteri Besarnya, Encik Azmin Ali. 


ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR – SPB Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini, Khamis, 11 Jun berkenan berangkat hadir pada Mesyuarat Ke-238 Majlis Raja-Raja, yang berlangsung untuk hari kedua di sini.

Mesyuarat itu yang bermula semalam, Rabu, 10 Jun, dipengerusikan oleh KDYMM Sultan Pahang.

Yang turut berangkat hadir ialah kesemua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili oleh Tengku Sri Temenggong, Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud; dan Johor diwakili oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Kesemua Yang Dipertua Negeri turut hadir pada mesyuarat tersebut.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah mengiringi SPB Yang Dipertuan Agong manakala Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengiringi KDYMM Sultan Pahang.

Raja-Raja Melayu lain diiringi oleh Menteri Besar masing-masing kecuali Perak yang diwakili oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Saarani Mohamad.

Yang Dipertua Negeri-Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diiringi oleh Ketua Menteri masing-masing. 

KEAKRABAN TERSERLAH ANTARA KEDUA-DUA RAJA MELAYU KITA... Foto ini dirakam pada hari pertama Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-238 pada Rabu, 10 Jun sebelum KDYMM Sultan Pahang mempengerusikan mesyuarat hari pertama itu. – BERNAMA/Khabar