Wednesday 14 October 2015

Mantapkan perpaduan dan kerjasama - sesama Islam dan dengan kaum lain berbilang agama.



… titah KDYMM Sultan Pahang, yang teksnya dibacakan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang

BAGINDA BERSAMA-SAMA TOKOH MAAL HIJRAH NEGERI... KDYTM Tengku Mahkota Pahang sedang menyampaikan cek serta cenderamata kepada Dato' Mohd Sharif, dengan Dato' Sri DiRaja Adnan di sisi. 

Turut kelihatan ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato' Syed Ibrahim Ahmad. (FotoBERNAMA).


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang menitah-sarankan umat Islam agar memberi fokus kepada usaha memantapkan perpaduan dan kerjasama bukan sahaja dengan sesama mereka, tetapi juga dengan semua kaum yang berbilang bangsa dan agama.

“Kejayaan membangunkan sesebuah negeri yang memiliki kepelbagaian bangsa dan agama seperti di negara kita, memerlukan penyertaan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat.

“Ini bagi menjamin perkongsian dan manfaat pembangunan dinikmati secara saksama oleh semua bangsa dan agama, sekaligus mengelakkan berlakunya perbalahan yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan dalam masyarakat majmuk,”
titah Baginda seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Teks Titah DiRaja Baginda dibacakan oleh Paduka Anakanda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj, yang turut mewakili Baginda sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 2015 pada pagi Rabu, 14 Oktober, di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir; begitu juga dengan kerabat-kerabat serta kenamaan-kenamaan lain, serta kira-kira 1,000 umat Islam.

ANAK JATI JERANTUT

Pada majlis sama, Pengarah Urusan, Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd – syarikat fabrikasi industri minyak dan gas, Dato’ Mohd Sharif Shamsuddin, dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri.

Pemilihan Dato’ Mohd Sharif, 65, anak jati Jerantut, berdasarkan sumbangannya dalam bidang perniagaan dan juga pembangunan Islam di negeri ini yang termasuk mewakafkan Masjid Muamalat Assharif yang boleh memuatkan 650 jemaah di Bandar Damansara Kuantan dekat sini.

Selain daripada itu, Dato’ Mohd Sharif juga ialah individu pembayar zakat terbesar negeri ini bagi tahun-tahun 2010, 2011, dan, 2012. Atas insitifnya juga, telah turut mewujudkan Kelas Belajar al-Quran Assharif di Bandar Indera Mahkota dekat sini.

Matlamat pengwujudan Kelas Belajar al-Quran ini ialah bagi mengajar secara percuma, kepada golongan-golongan dewasa dengan menggunakan sukatan silibus yang betul dan berkesan.

Penggerak Masyarakat Orang Asli di Pejabat Agama Islam Daerah Lipis, Encik Mokhtar Mat Tahar, 57, pula menerima Anugerah Mubaligh Saudara Baru sebagai menghargai sumbangannya membawa 1,701 Orang Asli memeluk Islam sejak 1991. – BERNAMA/Khabar