Monday 16 November 2015

Bajet Negeri 2016; Fokus kepada lima (5) strategi utama



# Memperkasakan sektor pendidikan dan sosial
# Membangun modal insan
# Menggalakkan sektor pelancongan
# Mensejahterakan rakyat
# Merancakkan pertumbuhan ekonomi

MENYAMPAIKAN UCAPAN BAJET NEGERI 2016... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menyampaikan ucapan 32-minitnya, yang bermula 12.19 tengah hari dan berakhir pada 12.51 tengah hari. 
  

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dengan mengemukakan bajet lebihan kira-kira RM1.28 juta - anggaran kutipan hasil, RM728.9 juta mengatasi anggaran perbelanjaan, RM727.62 juta bagi Bajet Negeri 2016;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan, fokus ialah kepada lima (5) strategi utama iaitu, memperkasakan sektor pendidikan dan sosial, membangunan modal insan, menggalakkan sektor pelancongan, mensejahterakan rakyat, dan, merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Ini pula berlatar belakangkan prestasi kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri ini yang dijangka sebanyak 5.7 peratus menjelang tahun depan (2016), selari dengan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar antara lima (5) dan enam (6) peratus setahun.  

Perkara-perkara ini disebutnya dalam ucapan 32-minit membentangkan Bajet Negeri 2016 pada persidangan kali ketiga, penggal kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-13 pagi Isnin, 16 November di sini.

“Kerajaan Negeri akan menitikberatkan keseimbangan di antara ekonomi modal dengan ekonomi rakyat. Pada ketika yang sama, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kutipan hasil dan sentiasa mengamalkan berbelanja berhemah untuk mengurangkan defisit fiskal,” tegasnya.

MENYEMAK DAN MENELITI, SEBELUM MENYAMPAIKAN...  Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, dan, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 
 

TERUS USAHA REALISASIKAN PENDIDIKAN KUALITI, LATIHAN KEMAHIRAN TINGGI

Di bawah strategi memperkasakan sektor pendidikan dan sosial, Kerajaan Negeri katanya, akan terus memastikan program pendidikan yang berkualiti serta latihan kemahiran tinggi, direalisasikan.

Kolej Islam Pahang (KIPSAS) pula katanya, telah dinaiktarafkan kepada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), yang menawarkan pendidikan Islam secara formal dan tidak formal.

“Penaiktarafan kolej universiti (kepada KIPSAS) adalah bagi membolehkan sebuah IPT berteraskan Islam milik Kerajaan Negeri Pahang untuk terus berdaya saing dalam persada pendidikan tinggi tanah air,” katanya.

Di bawah strategi membangun modal insan, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan golongan belia dengan penganjuran pelbagai program seperti Hari Belia Negeri dan Anugerah Belia Negara serta kursus-kursus keusahawanan.

Sehubungan itu katanya, sebanyak RM490,000 diperuntukkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan belia di negeri ini.

DI DALAM DEWAN YANG MULIA...  
 

PEMBANGUNAN SUKAN TURUT JADI TUMPUAN

“Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan sukan di Negeri Pahang. Pelbagai projek telah dirancang untuk dilaksanakan dalam RMK-11 antaranya membina baru Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Pahang, padang hoki, penambahbaikan litar ‘drift’ yang melibatkan kos RM114.4 juta,” katanya.

Bagi menggalakkan sector pelancongan – strategi utama ketiga; Kerajaan Negeri katanya, sedang melakukan perancangan teliti bagi merealisasikan Kempen Tahun Melawat Pahang 2017.

“Bagi terus menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan (Negeri) akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf empat (4) dan lima (5) bintang.

“Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik kedatangan pelancong terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi khususnya bagi menghadapi Kempen Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyatakan betapa – disebalik pelbagai cabaran, Pahang masih kekal di landasannya dalam mencapai sasaran ketibaan seramai 15 juta pelancong dalam dan luar negara menjelang tahun 2017 itu.

PELANCONGAN JANA PERBELANJAAN PELANCONG RM6,200 JUTA!

“Sektor (pelancongan) ini telah menjana perbelanjaan pelancong sebanyak RM6.2 bilion pada tahun 2014 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2014, Negeri Pahang telah berjaya menarik kemasukan seramai 9.4 juta pelancong.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2015, kedatangan pelancong adalah seramai  5.041 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 8.26 peratus berbanding  4.7 juta pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun 2014.

“Pelancong domestik menyumbang seramai 3.9 juta orang manakala pelancong antarabangsa adalah seramai 1.1 juta orang,” katanya.

Bagi menjayakan strategi keempat iaitu mensejahterakan rakyat pula katanya, janji pilihanraya umum lepas untuk membina 15,000 unit rumah mampu-milik menjelang tahun 2018 terus dilaksanakan.

Sehingga 31 Oktober lepas katanya, sebanyak 81 projek PR1MA telah diluluskan dengan 30,325 unit rumah bakal dibina di setiap daerah yang meliputi 4,164.58 ekar tanah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

DUA PROJEK PR1MA SUDAH DAPAT CCC

“Syukur, Alhamdulillah, dua (2) projek telah memperolehi Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) iaitu PR1MA Batu 14 (Fasa 1) dan PR1MA Triang, Bera sebanyak 394 unit rumah. Bagi PR1MA Triang, Bera penyerahan kunci kepada pembeli-pembeli telah dilaksanakan pada 12 Oktober 2015,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya, akan terus memberi perhatian kepada kebajikan Orang Asli dengan antara lain, memberi bantuan seperti bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah, disamping projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

“Yayasan Pahang juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.95 juta untuk Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) bagi membangunkan belia-belia Orang Asli dengan ilmu dunia dan ukhrawi, serta program-program kemasyarakatannya,” tegasnya.

Ke arah menjayakan strategi kelima yakni, merancakkan pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negerui katanya, akan terus berusaha dalam mendapatkan pelaburan dari pelabur-pelabur domestik dan luar negara melalui projek-projek berimpak tinggi.

Antara projek-projek itu ialah seperti projek pengembangan Pelabuhan Kuantan menerusi aspek pelabuhan laut dalamnya, serta, pembinaan kilang besi berteknologi tinggi dalam kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

NILAI PELABURAN RM40,100 JUTA!

Menurut Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) katanya, bilangan projek yang mendapat kelulusan lesen pengilang oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di negeri ini antara tahun 1987 dan 2014 ialah sebanyak 639 projek.

Yang bersamaan nilai pelaburan kira-kira RM40,100 juta (RM40.1 billion) dengan jumlah anggaran tenaga kerja yang diwujudkan seramai 84,062 orang.

“Nilai pelaburan langsung domestik adalah sebanyak RM18.12 bilion manakala nilai pelaburan langsung asing adalah RM21.94 bilion,” katanya.

Mengenai Peruasahaan Kecil dan Sederhana (PKS) katanya, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha dan pendekatan ‘turun padang’ dan mendekati kumpulan yang berminat, untuk terlibat dalam sektor IKS di setiap daerah.

“Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan petani, pesawah dan nelayan.

PROJEK MESRA MASYARAKAT TANI

“Prestasi sektor pertanian berkembang pesat dengan sumbangan KDNK Negeri Pahang sebanyak RM11.2 bilion. Kadar peningkatan yang dicapai tahun 2014 adalah 4.4 peratus.

“Banyak program telah dijalankan di negeri Pahang seperti Projek Mesra Masyarakat Tani dan pelbagai lagi telah meningkatkan pengeluaran hasil tanaman makanan sebanyak 10 peratus berbanding pengeluaran tahun sebelumnya,” katanya. 

Persidangan kali ini akan berlangsung selama tujuh (7) hari bermula hari ini dan berakhir pada Selasa, 24 Novermber (dengan cuti mingguan pada Sabtu, 21 November dan Ahad, 22 November). – Khabar