Monday 4 January 2016

Al-Fatihah


Emak,
Jeaah binti Amnah
1929 – 2016

PERGINYA, SEORANG IBU YANG PENYAYANG... 
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Pulanglah ke rahmatullah, ibu tercinta, Jeaah Abdullah, 86, pada awal pagi Ahad, 3 Januari di rumah anak sulungnya di Kampung Tersusun, Batu 8, Hulu Kinta.

Allahyarham - yang kami sekeluarga lapan (8) beradik memanggilnya Emak, atau Nenek bagi anak-anak kami atau cucu-cucunya; meninggal dunia akibat sakit tua pada kira-kira 2.40 pagi.

Jenazah Allahyarham Emak dibawa ke Masjid An-Nur berdekatan pada kira-kira 9 pagi, untuk dimandi-kafankan, kemudian disembahyangkan yang diimamkan oleh anak sulungnya itu sendiri, Jamaluddin Mohamad Ali.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan untuk pengebumian. Bacaan talqin disempurnakan oleh Imam Masjid An-Nur, Encik Mohd Suhaimi @ Najib Buyung Shafie, yang juga anak saudara kepada Emak atau sepupu kami.

Sebelum itu, Emak yang tinggal bersama-sama anak perempuan kedua, Myshithah Mohamad Ali di Kampung Sura Tengah, Dungun; telah dikejarkan ke Hospital Pakar Kuantan (KSH) di Alor Akar dekat sini pada petang Selasa, 22 Disember kerana mengadu sesak nafas.  
 
                            
PENULIS SEKELUARGA, BERSAMA-SAMA EMAK... Foto ini dirakam pada Hari Raya di rumah yang sama di Kampung Tersusun, Batu 8 kira-kira dua (2) tahun lepas. 

 
PERMINTAAN TERAKHIR EMAK UNTUK BALIK KE IPOH

Beliau segera diberikan rawatan dan ditempatkan di ICU hospital tersebut. Keadaannya stabil seketika namun selepas enam (6) hari di situ, apabila kesihatannya tidak menampakkan kemajuan;

Dengan permintaan Emak juga, dipindah dan dibawa dengan ambulans ditemani abang sulung, mengambil perjalanan jauh bermula selepas Zohor, Isnin, 28 Disember, akhirnya tiba di Kampung Tersusun, Batu 8 kira-kira 11 malam.
 
Ketibaannya disambut antara lain oleh adiknya, Hamidah Abdullah. Dan Emak dikatakan 'senyum meleret' menyaksikan adiknya dan betapa beliau seperti gembira kerana sudahpun berada kembali di rumah yang pernah dihuninya untuk sekian lama. 

Selepas kira-kira lima (5) hari, Emak menghembuskan nafas terakhirnya, meninggalkan tujuh anak – empat (4) lelaki termasuk penulis dan tiga (3) perempuan. Seorang lagi anaknya, Kol (B) Khairuddin Mohamad Ali telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi pada awal tahun lepas.

Bapak pula – Mohamad Ali Dukot, telah meninggal dunia lebih 40 tahun lepas pada Ahad juga, 17 Jun 1973, semasa Allahyarham masih berkhidmat di Balai Bomba Butterworth, Pulau Pinang ketika penulis dalam Darjah 6 lagi.

Al-Fatihah. 

MASJID AN-NUR... Inilah masjid yang terletak di tepi jalan utama Ipoh-Tambun-Tanjung Rambutan - kira-kira 300 meter dari rumah Emak menghembuskan nafas terakhirnya. – Khabar