Thursday 10 March 2016

"... jauh sangat. Jauh, jauh, jauh sangat lebih baik, sejak Kerajaan Persekutuan membantu untuk mengawal keadaan"



– akui Menteri Besar mengenai tahap kebersihan air di sungai-sungai di Cameron Highlands yang sebelum ini tidak memuaskan akibat gejala penerokaan tanah secara haram yang kini telah ditangani secara berkesan dengan kehadiran Pasukan Petugas Khas di sana.   

NAHRIM INTRiGUARD... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi oleh Dato' Sri Ir Mohd Soffi; sedang mengamati teknologi/produk INTRiGUARD ciptaan NAHRIM menerusi kajian dan penyelidikan satu setengah tahun mereka. 


PADANG AWAM TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengesahkan betapa tahap kebersihan air di sungai-sungai di Cameron Highlands kini semakin baik ekoran kerja-kerja pembanterasan gejala penerokaan tanah secara haram di sini.

Kerja-kerja pembanterasan itu pula banyak disumbangkan secara berkesan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Pasukan Petugas Khas yang merangkumi pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan yang urusetiakan oleh Majlis Kesalamatan Negara (MKN).  

“Overall, di Cameron (Highlands) ini, keadaannya bertambah baik. Ya, ya, (kini) tahap dua (2). Dulu ‘even’ tahap tiga (3), empat (4), pergi ke tahap 2 (yang) boleh (ke) tahap satu (1) kalau kena gaya.

“Sekarang ini, (jika) bercakap fasal (tahap kebersihan air di sungai-sungai di) Cameron (Highlands), jauh sangat; jauh, jauh, jauh sangat lebih baik, sejak Kerajaan Persekutuan membantu untuk mengawal keadaan,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media sempena perasmian Program Kelestarian Tadahan Sungai Bertam yang disempurnakannya pada pagi Khamis, 10 Mac di sini.

SUDAH TAK SEKERUH DULU... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan ke arah sesuatu di sebatang anak sungai berdekatan yang jernih airnya memanglah nyata. 

CUBA CAPAI TAHAP 1

“Oh yes. We will try to achieve tahap satu (1). Yang tadi you tengok jernih itu sebab sejak tidak ada lagi penerokaan tanah haram yang baru. Dulu keruh, sekarang ni jernih,” katanya lagi merujuk ke sebatang anak sungai berhampiran yang dilawati sebaik selepas perasmian itu.  

Pun begitu katanya, Kerajaan Negeri akan mengusahakan acara gotong-royong pembersihan sungai di kawasan tanahtinggi ini yang bertujuan untuk menanam tabiat menjagai kebersihan sungai dalam kalangan penduduk tempatan.

Kepada soalan wartawan mengenai pusingan baharu operasi oleh Pasukan Petugas Khas berkenaan yang bermula beberapa hari lepas, meneruskan usaha pembanterasan gejala penerokaan tanah haram itu, beliau menyambutnya baik.

Ia menurutnya, merupakan operasi biasa demi memastikan tidak akan ada kawasan penerokaan tanah haram yang baharu dibuka pula dan betapa, tindakan tersebut tegasnya, “I think that’s fair”.

“So, in that sense, I welcome the team from Kuala Lumpur to make sure that all the laws are abided by, adhered to,” tegasnya sambil mengakui betapa ada cubaan untuk meneroka semula secara haram tetapi berjaya digagalkan.

HADIRIN PAGI KHAMIS... 

KEHADIRAN; SELAGI ADA MATAHARI DAN BULAN

Mengenai tempoh kehadiran Pasukan Petugas Khas tersebut kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, ia bukan langkah sementara sebaliknya bersifat kekal, “as long as there are the sun and the moon”.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang program yang dirasmikannya ini katanya, ia adalah inisitiaf Institut Penyelidikan Hidraulik Malaysia (NAHRIM) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dengan pengenalan produk Intelligent River Guard (INTRiGUARD)nya.

Adalah difahamkan bahawa, dengan pemasangan INTRiGUARD di jajaran Sungai Bertam di sini, dapat membantu dalam mengenalpasti antaranya, dalam penentuan garisan rizab sungai;

Mengetahui arah aliran sungai; mengetahui aras banjir dengan cepat; menentukan aras ‘Temporary Bench Mark (TBM)’ dengan cepat untuk kerja-kerja ukur dan penyelenggaraan, serta;

Meningkatkan tahap kawalan, pengurusan dan penguatkuasaan rizab sungai berkenaan.

“Ini adalah projek yang pertama. Kita buat di Lembah Bertam kerana lembangan Lembah Bertam ini juga akhirnya akan mengalir ke Sungai Pahang.
SESI BERTEMU MEDIA... 

2,000 BUAH DALAM TEMPOH 2 TAHUN

“Apabila saya bercakap dalam Dewan (Undangan Negeri sebelum ini) bahawa apa yang berlaku di Cameron Highlands ini ada kaitan dengan Sungai Pahang; ada pihak-pihak tertentu menyangkal tetapi akhirnya terbukti bahawa lembangan Sungai Bertam ini menjadi sebahagian daripada lembangan yang membekalkan air untuk Sungai Pahang,” katanya.

Bagi jangka pendek katanya, 300 buah akan dipasang dalam tempoh enam (6) bulan ini manakala untuk jangka panjang, sebanyak 2,000 buah kesemuanya, dengan kos kira-kira RM8 juta, yang akan mengambil masa kira-kira dua (2) tahun untuk menyudahkan.

Beliau seterusnya mencadangkan agar produk INTRiGUARD ini ditempatkan di lembangan sungai tertentu di Janda Baik dan Bukit Tinggi di Bentong pula selepas ini, memandangkan terdapatnya aktiviti penanaman halia di sana sepertimana penananaman buah-buahan dan sayur-sayuran di sini.

Yang turut hadir pada majlis pagi Khamis ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha 1, NRE, Dato’ Dr Mohd Ali Mohamad Nor;

Ketua Pengarah NAHRIM, Dato’ Ir Ahmad Jamaluddin Shaaban; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ A.Rahman Hamzah; dan, Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Dato’ Ir Shaharuddin Ibrahim. – Khabar