Thursday 24 March 2016

Wajar lanjutkan tempoh moratorium aktiviti bauksit!

 
SENARIO YANG LEPAS, MOGA TAK LAGI BERULANG... Ini mungkin biasa dilihat di atas jalan-jalan berkenaan menuju ke Pelabuhan Kuantan yang dalam tempoh moratorium tiga (3) bulan sekarang, tidak terdapat lagi.

Moga-moga keadaan yang 'aman-damai' sekarang, akan kekal begitu sama ada tempoh moratorium yang akan berakhir pertengahan April ini hendak dilanjutkan lagi atau tidak. 

NOTA EDITOR;
Berikut ialah artikel tulisan AHYA ALIMUDDIN dan YOPE KEY-DARE, yang berkaitan dengan tempoh moratorium mengenai aktiviti bauksit, yang bermula 15 Januari dan berlangsung selama tiga (3) bulan yang akan berakhir pada 14 April ini.
Memandangkan tempoh itu cuma berbaki kira-kira tiga (3) minggu lagi, dan pula, kerja-kerja pelupusan tanah merah bauksit khususnya di kawasan stok simpanan di Pelabuhan Kuantan belum juga lagi dapat diselesaikan; maka itu, artikel ini ditulis.
Semoga kita sama-sama memanfaatinya.  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dengan pergerakan selembab siput dalam melupuskan/pengeksportan kesemua tanah bauksit dari kawasan stok simpanan (stockpile) khususnya di Pelabuhan Kuantan, langkah wajar yang patut Kerajaan ambil ialah melanjutkan tempoh tiga (3) bulan moratorium bagi aktiviti bauksit tersebut yang bakal berakhir 15 April ini.

Asas kepada cadangan pelanjutan tempoh ini ialah; tak mungkin dalam tempoh kira-kira tiga minggu sahaja lagi, baki kira-kira dua juta tan metrik tanah merah tersebut – yang memerlukan sehingga 50 buah kapal, dapat dikeluar/dieksport ke luar negara.

Itu baru satu kawasan stok simpanan. Bagaimana pula dengan 11 kawasan stok simpanan lain (yang tidak dapat dipastikan keseluruhan jumlah tan metriknya) yang terdapat di lokasi-lokasi yang berbeza di sekitar daerah Kuantan ini?

Dalam hal ini, Kerajaan mesti terus bertegas.

Tidak dinafikan, beberapa hari lepas, 15 pengusaha mineral tersebut telah bersepakat di bawah sebuah persatuan yang baru sahaja ditubuhkan, menggesa Kerajaan menarik balik arahan moratorium itu khusus kepada kononnya, pengusaha-pengusaha yang patuh-syarat.

KEIZINAN BERPILIH-PILIH BAGI SYARIKAT MULA SEMULA AKTIVITI?

Kononnya juga, dalam tempoh moratorium sekarang, keseluruhan aktiviti (bukan industri ya, sebab aktiviti mereka yang penuh dengan kekalutan) bauksit yang terhenti telah menyebabkan pengusaha kehilangan pendapatan bulanan sehingga RM400 juta.

Namun, adakah dengan mengizinkan secara berpilih-pilih, pengusaha-pengusaha bauksit berkenaan untuk memulakan semula aktivit mereka selepas tempoh 15 April, boleh menjamin aktiviti tersebut berjalan balik tanpa pencemaran dan kekalutan?

Sebelum inipun, ada yang mendabik dada kononnya, merekalah pengusaha yang melakukan aktiviti bauksit tanpa tercemar – daripada peringkat perlombongan hinggalah pengangkutan tanah merah tersebut ke Pelabuhan Kuantan.

Sedangkan, hanya ‘indah khabar daripada rupa’. Pencemaran tetap dikesan juga daripada aktiviti perlombongan dengan rungutan pencemaran udara debu merah oleh penduduk persekitarannya, hinggalah kepada kaedah pengangkutannya.

Lagipun, di manakah kelibat serta ‘suara’ pengusaha-pengusaha bauksit ini tatkala Kerajaan khususnya Kerajaan Negeri, dikritik habis-habisan kononnya kerana kegagalan melakukan sesuatu bagi menangani gejala akibat bauksit ini? Hanya sesudah terhantuk, kini baru hendak tergadah?

ATAS RASA KEBERTANGGUNG JAWABAN KERAJAAN

Dan, bukannya mereka tidak pernah berada pada perjumpaan pengusaha lombong serta operator pengangkutan – lebih empat (4) kali dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri, yang telah berulang-kali mengingatkan mereka supaya mematuhi syarat atau bakal hadapi tindakan drastik Kerajaan sepertimana penguatkuasaan moratorium sekarang.

Kini Dato’ Sri DiRaja Adnan – jika beliau mahu, boleh sahaja menempelak dengan berkata, “… tengok, saya sudah kata dah”, atau lebih kasar lagi, “padan muka”. Tetapi, beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya terus mencari lagi jalan untuk memastikan aktiviti bauksit beroperasi dengan lebih tersusun, tanpa pencemaran.

Ini beliau lakukan, bukan kerana beliau atau Kerajaan Negeri ada apa-apa kepentingan dalamnya, cuma atas rasa kebertanggung jawaban sebuah Kerajaan yang adil bagi mewujudkan keadaan menang-menang kepada semua pihak khususnya rakyat-jelata.   

Bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, perbincangan demi perbincangan diadakan khususnya di peringkat pegawai, bagi terus menangani gejala bauksit ini antara lain, merangka Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang terbaik sebelum menguatkuasakannya.

Ini memang sedang dilakukan dan, apa-apa keputusan yang diambil menerusi perbincangan-perbincangan ini akan dibawa dengan sempurnanya ke Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, untuk diputus dan dikuatkuasakan.

HAYAT POLITIK PANJANG KERANA MAINKAN ISU

Maka, tidak timbullah persoalan tentang kononnya Kerajaan tidak telus dalam menangani isu ini terutamanya dalam tempoh ‘bertenang’ tiga (3) bulan ini, sepertimana dakwaan seorang ahli parlimen pembangkang di Kuantan ini.

Sudah terkenal kini sebagai seorang yang hayat politiknya panjang kerana memainkan isu-isu (termasuk terbaru, hendak membawa usul ke parlimen bagi membahaskan kononnya mengenai gejala yang berlaku di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di sini), yang dirungutinya mengenai usaha Kerajaan menangani aktiviti bauksit langsung tidak boleh diterima.

Beliau asyik bangkitkan tentang kononnya kegagalan Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti serta mengumumkan, kawasan stok simpanan berpusat bagi mengumpulkan kesemua bahan mineral bauksit di satu kawasan tersebut.

Hanya kerana beliau tidak sedar tentang perkembangan terbaharu mengenai usaha Kerajaan itu, tidak bermakna Kerajaan – sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, berpeluk tubuh sahaja sekarang, tanpa melakukan sesuatu.

Sedangkan, segala-galanya telahpun diambil-kira oleh kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian berkenaan, yang hanya tunggu masa sahaja untuk melengkapkan, kemudian mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan.

SELESA TEMPOHI HARI TANPA KEKALUTAN LORI BAUKSIT

Sudah tentulah, apa yang disebut ini bukanlah sesuatu yang baik untuk ahli parlimen berkenaan. Kalaupun beliau tahu, sudah pasti beliau akan membangkitkan pelbagai perkara lain pula demi kelangsungan isu tersebut sekaligus, hayat politiknya juga.

Sementara itu, penduduk Pahang khususnya Kuantan, pasti berasa sungguh selesa dalam menempuhi hari-hari tanpa kalut berlumba dengan lori pengangkut bauksit di atas jalan menuju ke Pelabuhan Kuantan dalam tempoh tiga bulan ini.

Dengan pelanjutan tempoh ini nanti, katalah, lagi tiga (3) bulan; adalah diharapkan segala perkara yang harus dilakukan dan pula syarat-syarat dan peraturan baharu yang dirangka, dapat dihalusi kemudian dilulus serta dikuatkuasakan, demi kesejahteraan kita, penduduk Kuantanlah juga. – Khabar