Thursday 7 April 2016

Bersih, tenang, aman, tenteram!



… keadaan sekarang di Kuantan yang harus dikekalkan jika pengusaha bauksit hendak dibenarkan beroperasi semula, tegas Menteri Besar.    

MENDONGAK, MELIHATKAN BAHAGIAN SILING RUMAH... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang melihat ke bahagian siling rumah sambil mendengar apa yang diperkatakan oleh Dato' Sri Liow mengenainya. Yang turut kelihatan ialah Dato' Azhar.

TAPAK PROJEK PERUMAHAN RAKYAT DIMILIKI (PPRM), KAMPUNG BARIS, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – ‘Bersih, tenang, aman, tenteram’ – inilah keadaannya di Kuantan sekarang dalam tempoh tiga (3) bulan moratorium dikenakan ke atas aktiviti bauksit di sana.  

Maka, jika tempoh ini terhenti setakat pertengahan bulan ini lalu, para pengusaha bauksit kembali dibenarkan beroperasi semula; jaminan keadaan inilah juga – ‘Bersih, tenang, aman, tenteram’ dituntut daripada mereka.

“… saya ucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan juga pihak Kementerian kerana adakan moratorium ini. Dan kita nampak Kuantan sekarang ini, lain sangat – bersih, tenang, aman, tenteram (tidak sepertimana semasa aktiviti bauksit rancak berlangsung).  

“Jadi, kalau bauksit nak dikeluarkan (kembali), keadaan ini mesti berterusan. Kalau sebab bauksit esok, keadaan balik kelam-kabut, ha, itu terpulang kepada Menteri (Kabinet untuk) buat keputusan,” inilah kata-kata tegas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian pada persidangan media tengah hari Khamis, 7 April sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi PPRM Simpang Pelangai di Kampung Baris ini.

PENYERAHAN KEPADA SEORANG DARIPADA 129 PENERIMA... 
 

PERTIMBANGAN UTAMA BUKAN SOAL DUIT…

Beliau diminta mengulas keputusan yang bakal diambil oleh Kabinet pada mesyuaratnya minggu depan, tentang sama ada akan melanjutkan atau tidak, tempoh moratorium berkenaan yang bermula 15 Januari dan berakhir 15 April ini.

“Kerajaan Negeri boleh belaka - terus boleh, berhentipun boleh. Tapi kalau nak diteruskan (semula operasi aktiviti bauksit), pertimbangan utama bukan soal duit tapi keselesaan rakyat,” tegasnya lagi.

Menurutnya, Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang terperinci mengenai aktiviti bauksit kini sedang pada peringkat akhir penyiapan (finalise) oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Di pihak Kerajaan Negeri katanya, satu perbincangan khusus akan diadakan minggu depan untuk melihat apakah lagi ciri-ciri penambah-baikan yang boleh dicadangkan untuk pelaksanaan.

“Apa lagi ‘recommendation’ kita kepada Kerajaan Persekutuan. Apa lagi yang patut ditambah-baik. Contoh - saya telah berikan pandangan supaya lori-lori mengangkut bauksit had laju(nya) tidak lebih 60 KM sejam.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS, LUAR RUANG ROSTRUM, 25-MINITNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja dalam menyampaikan ucapan luar teksnya, yang antara lain memesankan betapa Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah demi mensejahterakan rakyat termasuklah dalam mengadakan perumahan mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.  

Selain Dato' Sri Liow; antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Roslan (separuh terlindung di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Azhar (berbatik merah jambu); Encik Mohamed Ali; dan, Encik Md Yusli (kanan sekali). 

HAD LAJU LORI BAUKSIT CUMA 60 KM SEJAM

“Menteri (Pengangkutan) kata dah setuju. Maknanya, dikunci (pedal) ‘accelerator’ (pada lori), dia (pemandu lori) tekan banyak manapun, (lorinya masih bergerak pada kelajuan) 60 KM sejam,” katanya.

Mengenai PPRM Simpang Pelangai ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga wakil rakyat negeri di sini (BN – Pelangai) berkata, 129 unit telah siap manakala 100 lagi akan dibina di atas tapak berdekatan.

“Saya puas hatilah tengok - rumah ini baik, hanya kedudukan bilik air dengan dapur sahaja…,” katanya mengenai PPRM ini yang setiap unit berharga RM30,000 bagi unit tengah, dan, RM35,000 bagi unit tepi; serta layak untuk yang berpendapatan bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah sahaja.   

Menurutnya, permohonan bagi rumah PPRM di seluruh Pahang kini ialah 15,000 yang tidak mungkin dapat dipenuhi kesemuanya yang oleh itulah, program-program perumahan lain mungkin boleh turut membantu.

“Itu sebab kita kena buat juga rumah (mampu-milik) lain. Semua nak harapkan rumah PPRM tak boleh. Tak boleh harapkan projek ini sahaja, tak boleh. Itu sebab kita ada PR1MA Malaysia, PR1MA Pahang,” katanya lagi.

SEBAHAGIAN DARIPADA PARA PENERIMA... 


AHLI PARLIMEN BENTONG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Khamis ini ialah Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Bentong); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad;

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Hoh Khai Mun; Timbalan Setiausaha, Jabatan Perumahan Negara, Kementeran Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Mohamed Ali Othman;

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail; dan, Setiausaha Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus. 

RUMAH TERES SETINGKAT... Kos pembinaan sebenar ialah kira-kira RM86,000 seunit tetapi kerana sikap ambil berat Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri yang telah menyediakan tapak/tanah tanpa kenaan premium, pembeli rumah PPRM ini cuma perlu membayar RM30,000 bagi unit tengah dan RM35,000 bagi unit tepi. 

Yang bermakna, mereka mendapat subsidi atau boleh jimat antara RM51,000 dan RM56,000 seunit yang bukanlah calang-calang nilainya! – Khabar