Tuesday 26 April 2016

Koridor Utiliti Pahang



– penyelaras kerja-kerja penyelenggaraan utiliti supaya lebih teratur, cekap dan berkesan, demi kesejahteraan rakyat.

Selain diberi tanggungjawab membangunkan Pangkalan Data Infrastuktur Utiliti Negeri ini.

SEMPURNAKAN 'GIMMICK' PERASMIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan tersenyum-riang selepas menyempurnakan 'gimmick' perasmian. 

Antara yang turut kelihatan (dari kiri ke kanan) ialah Dato' Norul; Dato' Sri Wan Rosdy; Dato' Sharifah Fatimah; Encik Nur Iskandar; dan Dato' Abdul Rahman.   


SILK BALLROOM, SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikan pelancaran Koridor Utiliti Pahang, serta, Seminar Pengurusan Koridor Utiliti dan Pembangunan Pangkalan Data Utiliti Negeri Pahang pagi Selasa, 26 April di sini.

Pelancaran ini khususnya Koridor Utiliti Pahang, tidak akan menyebabkan apa-apa kos tambahan dikenakan ke atas rakyat; sebaliknya ditanggung oleh pengendali utiliti yang sedia ada sendiri.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Dato’ Norul Azali Sulaiman dan Dato’ Johari Husin;

Pengarah Eksekutif, Pahang Teknologi Resources Sdn Bhd (PTR), Dato’ Sharifah Fatimah Syed Omar yang juga, Pengerusi, KUP; Ahli Lembaga Pengarah PTR, Dato' Abdul Rahman; Pengarah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri, Dato’ Sr Mohamad Yunus Md Yusof; dan, Ketua Pegawai Eksekutif KUP, Encik Nur Iskandar Othman.

Menurut maklumat yang disediakan, Koridor Utiliti Pahang diuruskan oleh Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd (KUP) – jalinan usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri, Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR) dengan Asia Debut (Pahang) Sdn Bhd.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 11-MINITNYA...


JANGAN GAGAL URUS INFRASTRUKTUR UTILITI 

Berperanan sebagai penyelaras kerja-kerja penyelenggaraan utiliti supaya lebih teratur, cekap dan berkesan, demi kesejahteraan rakyat; KUP juga bertanggungjawab untuk membangunkan pangkalan data infrastuktur utiliti negeri ini.

Pahang sebagai sebuah negeri yang menuju ke arah status negeri maju, antara cabarannya ialah dalam hal pengurusan infrastruktur utiliti dengan sebaik-baiknya yang jika gagal, boleh menyumbang kepada pelbagai masalah seperti;

Kerosakan infrastruktur awam (misalnya, permukaan jalan, sistem perparitan dan lanskap); serta, gangguan lalulintas khususnya semasa kerja pemasangan atau kerja-kerja pembaikian kerosakan kepada infrastruktur utiliti sedia ada (seperti, paip pecah dan kabel putus).

“Secara amnya, kegagalan pengurusan infrastruktur utiliti boleh menyumbang kepada pelbagai masalah yang akhirnya, akan mengganggu kesejahteraan rakyat,” demikian menurut maklumat berkenaan.

Bagi menangani soal kegagalan pengurusan infrastruktur utiliti inilah, Kerajaan Persekutuan menerusi agensi-agensi seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), dan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung (JPBD), telah berusaha merangka pelbagai garis panduan dan ketetapan.

SESI FOTO BERKUMPULAN...


PERLU LAKUKAN PEMETAAN BAWAH TANAH

Misalnya, di bawah usaha JPBD, satu Garis Panduan Perancangan Laluan Kemudahan Utiliti (GP006-A) telah diluluskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April 2012.

Garis Panduan itu antara lain menetapkan; setiap kerja pemasangan utiliti perlu dilakukan pemetaan bawah tanah; pemetaan laluan utiliti pula mestilah dibuat secara digital;

Penggunaan teknologi elektronik dan pengkomputeran dalam pengurusan, perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan; dan, pelantikan agensi penyelaras di peringkat negeri bagi menjalankan tugas-tugas penyelarasan, pemantauan, dan,  penyimpanan pangkalan data.

Dibawah usaha JUPEM pula, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-68 pada 18 september 2014, telah bersetuju dengan Garis Panduan Pelaksanaan Pengukuran Ke atas Jajaran Utiliti Bawah Tanah Semasa Pemasangan.

Garis Panduan ini pula menetapkan antara lainnya - semua kerja pemasangan utiliti perlu ada pemetaan utiliti bawah tanah yang dijalankan oleh juru ukur bertauliah dan dijadikan syarat dalam kelulusan merancang; dan, pemetaan utiliti yang diambil perlu diserahkan kepada JUPEM untuk disimpan.

PARA HADIRIN SEKELIAN... Sedang mengikuti penuh minat, ucapan luar teks 11-minit yang disampaikan oleh Menteri Besar di atas pentas. 


PASTIKAN PELAKSANAAN KETETAPAN GARIS PANDUAN

Bagi memastikan keberkesanan Garis Panduan-Garis Panduan yang dirangka ini, menurut maklumat yang sama, Kerajaan Negeri bersetuju melantik PTR sebagai penyelaras utiliti negeri maka, tertubuhlah KUP.

Fungsinya ialah untuk memastikan pelaksanaan ketetapan Garis Panduan yang berkaitan; menguruskan permohonan, pemberian permit dan sijil sempurna kerja secara atas talian bagi menjamin kelancaran dan ketulusan keseluruhan proses;

dan, untuk membangunkan pangkalan data utiliti negeri pahang serta menjalinkan usahasama dengan JUPEM bagi urusan penyimpanan data.

Menurut maklumat itu lagi, antara masalah utama berkaitan pemasangan infrastruktur utiliti selama ini ialah kerja-kerja penurapan permukaan jalan oleh kontraktor yang dilantik oleh pemilik infrastrutkur iaitu syarikat utiliti sedia ada.

Dengan mengambil contoh pelaksanaan di Bandaraya Kuala Lumpur, menurut maklumat itu, Kerajaan Negeri melalui penyelaras PTR, akan melantik kontraktor turapan yang berkelayakan, dengan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan.

MAMPU JANA EKONOMI HINGGA RM80 JUTA SETAHUN

PTR mengunjurkan kira-kira 200 usahawan (kontraktor) akan dilantik di seluruh negeri pahang bagi menjalankan kerja-kerja penurapan jalanraya. Keseluruhan penjanaan ekonomi bernilai RM40 juta setahun (1,000 KM x RM40,000/KM).

Bagi memastikan pemetaan utiliti bawah tanah dijalankan dengan baik untuk diserahkan kepada JUPEM; PTR juga akan bertanggungjawab melantik juru ukur bertauliah dan berkemampuan menjalankan kerja-kerja pemetaan utiliti bawah tanah serta integrasi dengan peta GIS (Geographical Information System) sedia ada.

PTR mengganggarkan kira-kira 100 usahawan pemetaan utiliti bawah tanah akan diwujudkan dengan janaan ekonomi, juga, kira-kira RM40 juta setahun (2,000 KM x RM20,000/KM).

“Kerajaan Negeri berharap, PTR dengan rakan pelaksana mereka, KUP; akan berjaya menjalankan tugas dan peranan mereka dengan efisien, amanah dan penuh integriti.

“Dalam masa yang sama diharapkan, agensi-agensi Kerajaan di negeri ini termasuklah Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); akan dapat memberikan kerjasama penuh kepada PTR dan KUP dalam menjayakan fungsi dan peranan mereka, insya-Allah,” menurut maklumat berkenaan. – Khabar