Saturday 7 May 2016

Hari Hol ke-42, Almarhum DYMM Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah.


SIRAMAN KE MAKAM PADUKA AYAHANDA...  KDYMM Tuanku kelihatan sedih melaksanakan siraman ke makam Almarhum Paduka Ayahanda Baginda.  


MAKAM DIRAJA, PEKAN – KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat pada Majlis Tahlil dan Ziarah Makam Sempena Hari Hol ke-42 Almarhum DYMM Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah pada pagi Sabtu, 7 Mei di sini.

Keberangkatan Baginda diiringi DYMM Sultanah Pahang Sultanah Kalsom; disambut di perkarangan makam ini oleh KDYTM Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Yang turut menyambut ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP), Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan.

Setibanya Baginda ke pintu masuk makam, KDYMM Tuanku telah secara spontan menitah-sebut salam – “Assalamualaikum”, yang serentak itu dibalas oleh para hadirin yang sedia berada di dalam.

“Terima kasihlah (sebab) datang,” kedengaran Baginda menitah-sebut, dalam nada suara yang sedih, sayu seperti dalam tangisan. “Dah 42 tahun Hari Hol Almarhum Ayahanda saya…” titah Baginda lagi.

BERMESRA... Kemesraan KDYMM Tuanku terus terserlah sepertimana dalam foto ini ketika Baginda hendak beredar untuk keberangkatan pulang, selepas sempurnanya majlis pagi Sabtu ini. 

Antara yang turut kelihatan ialah KDYTM Tengku Puan Pahang; Dato' Sri Muhammad Safian; Dato' Sri Wan Wahid; dan, Dato' Sri DiRaja Adnan. 


MAJLIS TAHLIL JUGA BUAT PADUKA BONDA, PADUKA ISTERI

Mufti Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Osman telah mengetuai Majlis Tahlil yang selain dijuruskan buat Paduka Ayahanda Baginda; juga untuk Paduka Bonda, Almarhum Tengku Ampuan Besar Pahang, Raja Fatimah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah;

serta bagi Paduka Isteri Baginda, Almarhum Tengku Ampuan Pahang, Tengku Afzan Ibni Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

YAM Kerabat-kerabat Bergelar; YM Kerabat-kerabat; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, Dato’ Shafik Fauzan Sharif, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato’ Abu Bakar Harun, Dato’ Johari Husin, Dato' Norol Azali Sulaiman;

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Zulkifli Yaacob; wakil rakyat-wakil rakyat Parlimen – Dato’ Sri Ismail Mutalib (BN – Maran), Dato’ Hasan Arifin (BN – Rompin), Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Besar);

dan wakil rakyat-wakil rakyat Negeri – Dato’ Suhaimi Mat Shah (BN – Sungai Lembing), Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Panching), Dato’ Suhaimi Jusoh (BN – Lepar), Dato’ Sri Sheikh Puzi Sheikh Ali (BN – Peramu Jaya), Dato’ Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff  (BN – Bebar), Dato’ Khairuddin Mahmud (BN – Pulau Manis).    

serta, beberapa Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah turut hadir pada majlis ringkas tetapi bermakna besar pagi Sabtu ini. 

BERDOA KEPADA ILAHI... Dato' Sri Abdul Rahman kelihatan sedang membacakan doa dan diaminkan oleh sekelian yang hadir. – Khabar