Sunday 10 July 2016

‘Functional’; Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit Muadzam Shah dimanfaati para musafir



… ekoran lokasinya yang strategik, jadi seperti pintu masuk utama ke bandar baharu ini

KDYTM TENGKU MAHKOTA TURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA KE PLAK PERASMIAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Betapa ‘functional’nya Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit Muadzam Shah, Rompin yang kerana kedudukan strategiknya di pinggir laluan sibuk Kuantan-Segamat, menjadi pilihan ramai musafir untuk singgah menunaikan solat di dalamnya.

Inilah yang dapat dirumuskan oleh penulis ketika singgah sebentar di masjid sama bagi mengerjakan solat selepas menghantar semula anak ke Kampus Uniten yang berdekatan pada malam Ahad, 10 Julai.

Semasa tiba di perkarangan masjid, terdapat puluhan kenderaan yang telah sedia diparkir di sekeliling mahupun di bahu-bahu jalan, sebahagian besarnya bernombor pendaftaran negeri ini dan tidak kurang banyaknya dari negeri jiran – Johor, mahupun dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketika melalui bahagian tandas lelaki, kelihatan ramai yang beratur, menunggu giliran  untuk menggunakannya.

Sebaik-baik mengambil wudhu’, penulis terus ke ruang solat tetapi tidak sempat untuk berjemaah kerana Imam Masjid baharu sahaja menamatkan solat tersebut bersama-sama jemaah dalam barisan dua saf.

MENGAMATI MODELNYA... KDYTM Tengku Mahkota sedang menitah-tanyakan sesuatu mengenai model berkenaan kepada Tengku Dato' Sri Zulkifly. 

Selain KDYTM Tengku Puan dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Ahli Parlimen, Dato' Hasan Ariffin (BN - Rompin) (kiri sekali); wakil rakyat negeri, Dato' Sri Maznah Mazlan (BN - Muadzam Shah); dan, Dato' Mohamad (terlindung, berbaju Melayu biru). 
    

AMAL-JARIAH SYARIKAT BINA MASJID RM4.17 JUTA INI

Mengenai masjid ini, penulis teringat kepada perbualan dengan seorang kakitangan syarikat yang membinanya – Kenchana Bersatu Sdn Bhd, yang juga pemaju tunggal kepada pembangunan seluruh Bandar Satelit Muadzam Shah.

Masjid berkapisiti 850 jemaah pada satu-satu masa dengan nilai RM4.17 juta ini menurutnya, merupakan amal-jariah atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut yang diterajui oleh Tengku Dato’ Sri Zulkifly Tengku Ahmad, dan dibantu oleh Dato’ Mohamad Saib.

Yang lebih menarik ialah, lokasi yang dipilih bagi membina masjid ini.

Syarikat boleh sahaja membinanya di atas tapak di kawasan yang lebih ke dalam dengan nilai tanah yang mungkin lebih rendah tetapi memilihnya di tapak startegik yang lebih tinggi nilai tanahnya ini, dan digalakkan pula oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Ini menunjukkan bahawa, syarikat tidak mementingkan keuntungan semata-mata tetapi lebih mengutamakan ‘barakah’ Allah Subhanahu Wata‘ala,” kata kakitangan syarikat itu lagi.

Pada Sabtu, 2 Julai lepas yang bersamaan dengan 27 Ramadan 1437 Hijrah, KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang, telah berkenan merasmikannya. 

MASIH ADA YANG BERSOLAT... Foto ini dirakam pada malam Ahad, 10 Julai sejurus sebelum penulis meninggalkan masjid ini.   

PULUHAN KENDERAAN... Kelihatan, puluhan kenderaan termasuk yang berplat nombor bermula J untuk Johor, atau W untuk Wilayah Persekutuan; sedang diparkir di petak tersedia atau di bahu-bahu jalan.  – Khabar