Wednesday 20 July 2016

KDYMM Sultan Pahang rasmi Pusat Perubatan UIAM di Indera Mahkota



 … pusat perubatan 11-tingkat, 350 katil bernilai RM593 juta   

BERKENAN MENJENGAH KE JABATAN RADIOLOGI... KDYMM Sultan Pahang sedang disembah-taklimatkan mengenai peralatan canggih dan terkini yang terdapat di Jabatan Radiologi ini. 

Selain DYMM Sultanah Pahang dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Tan Sri Dr Rais; Prof Dato' Sri Ir Zaini (empat dari kanan); dan, Prof Dato' Sri Zaleha (di belakang DYMM Sultanah Pahang). 
  

PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (PPUIAM), INDERA MAHKOTA, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang hari ini, Rabu, 20 Julai telah berkenan mencemar duli, berangkat merasmikan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) di sini.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, turut berkenan melawat Jabatan Radiologi dalam bangunan PPUIAM ini, untuk melihat teknologi dan peralatan canggih di jabatan berkenaan.

DYMM Sultanah Pahang turut berangkat mengiringi Baginda.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Mary Yap Kain Ching; Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim;

Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Prof Dato' Sri Ir Zaini Ujang; Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman; dan, Rektor UIAM, Prof Dato’ Sri Zaleha Kamaruddin.  

RIBEN DIPOTONG... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang melakukan acara memotong riben dengan yang lain di sisi - DYMM Sultanah Pahang; Tan Sri Dr Rais; Dato' Mary Yap; dan, Dato' Norol Azali (kiri sekali). 


PPUIAM MEMPUNYAI 133 PAKAR PERUBATAN

Menurut maklumat yang disediakan, PPUIAM mula dibina pada Julai 2012 di atas tapak seluas 11 hektar di sini, yang siap sepenuhnya,  empat (4) tahun kemudian pada Mei lepas.

Nilai keseluruhan bangunan 11-tingkat ini ialah RM593 juta iaitu kos untuk bangunan sahaja ialah RM416 juta, manakala untuk segala macam peralatan perubatan di dalamnya ialah RM177 juta.

Mempunyai keseluruhannya 350 katil, PPUIAM juga menyediakan 15 klinik pakar, 20 bilik pembedahan, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Koronari (CCU), Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) dan bilik bersalin.

PPUIAM juga disokong oleh pakar-pakar perubatan terlatih – 133 orang kesemuanya, yang diraih daripada kuliyyah-kuliyyah yang terdapat di UIAM di sini iaitu Kuliyyah Perubatan; Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu; Kuliyyah Farmasi; dan, Kuliyyah Pergigian.

Yang lebih menariknya ialah, PPUIAM juga ialah pusat perubatan yang patuh syariah – semua kaedah rawatan pesakit dilakukan menurut lunas-lunas Islam termasuk susunan katil yang setiap satu menghadap kiblat.

PARA HADIRIN SEKELIAN... Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah bekas Timbalan Menteri Besar yang kini ialah Presiden, Persatuan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (duduk barisan depan, enam dari kanan). 


GUNA MESIN DAN TEKNOLOGI TERKINI

Daripada segi peralatan perubatan, PPUIAM menyedia dan menggunakan mesin serta teknologi terkini antaranya MRI Tesla dan mesin CT Scan, yang ditempatkan di Jabatan Radiologi.

Bilik imbasan rawatan Angiogramnya pula dilengkapi dengan peralatan yang paling terkini lagi canggih. – Khabar