Thursday 11 August 2016

“Fokus fikiran kita kepada PRU-14,” pesan Dato’ Sri DiRaja Adnan

“Maknanya, kita kena bersiap daripada sekarang.

“Malam tadi kita ada Mesyuarat Perhubungan (UMNO) di Kuala Lumpur – kita juga telah meminta supaya setiap Bahagian menyiapkan gerak-kerja untuk pilihanraya,” tegasnya lagi.

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... Selain menyampaikan Notis 5A kepada hampir 100 orang penduduk di Desa Baru Purun ini; 

Lagi 128 orang dalam kalangan mereka yang memerlukan dari kawasan persekitaran, turut disampaikan sumbangan kewangan RM1,000 seorang seperti yang diserahkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dalam foto ini. 

Mengiringinya ialah Dato' Syed Ibrahim.   


DESA BARU PURUN, KERDAU, TEMERLOH  Kepimpinan dan Ahli-ahli UMNO di negeri ini diingatkan supaya memberi tumpuan serta fokus, sambil mengatur dan menjayakan gerak-kerja ke arah menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

“… saya selalu memesankan kepada mereka supaya memulakan kerja dengan menumpukan, fokus fikiran kita kepada PRU-14,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada tengah hari Khamis, 11 Ogos.

“Maknanya, kita kena bersiap daripada sekarang,” katanya ketika ditemui wartawan selepas hadir pada Majlis Silaturrahim dan Ramah Mesra serta Penyampaian Notis 5A bagi Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) Desa Baru Purun ini.

“Malam tadi kita ada Mesyuarat Perhubungan (UMNO) di Kuala Lumpur – kita juga telah meminta supaya setiap Bahagian menyiapkan gerak-kerja untuk pilihanraya.

“Dan pada ketika yang sama, gerakan daftar pengundi sebagainya, berjalan untuk kita membantu SPR,” katanya lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

BELAS IHSAN TERHADAP YANG KURANG UPAYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menanyakan sesuatu kepada seorang daripada yang turut menerima sumbangan pada hari Khamis ini. 

Selain Dato' Syed Ibrahim; antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Mohd Fadzli (kiri sekali) dan Dato' Sri Mohamad (dua dari kanan). 


MESYUARAT PERWAKILAN ERATKAN KESEPAKATAN PEMIMPIN/AHLI
    
Mengenai Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang bermula sejak akhir minggu lepas di seluruh negara termasuk Pahang katanya, Alhamdulillah, ia berjalan dengan baik.  

Yang menambah-sukacitakannya ialah, selain membincangkan perkara-perkara penting tentang agenda parti demi membela rakyat, pada Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan inilah silaturrahim sesama kepimpinan dan ahli-ahli semakin erat.

“… terutama sekali apabila Presiden, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden - Dato’ Sri Dr Zahid Hamidi datang (merasmikan Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan berkenaan); nampak ada keceriaan,” katanya.

Ditanya tentang usul yang dibawa dan diluluskan menurutnya, ia adalah sekata –
Bahagian-bahagian menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, dan kepada Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid.   

“Nampak ada kesatuanlah, ada keutuhan, semuanya ‘solid’lah (berkenaan dengan sokongan Bahagian-bahagian UMNO pada Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO itu),” tegasnya.

KEMESRAAN PEMIMPIN DAN RAKYAT, YANG SENTIASA TERSERLAH... Oleh kerana kemesraan yang sebeginilah maka Kerajaan yang ada ditunjangi UMNO, sentiasa mendapat tempat di hati rakyat lalu sokongan terhadapnya. 


RAKYAT AKAN TERUS BERI SOKONGAN

Sebagai sebuah parti politik menurutnya, UMNO di Pahang khususnya, tidak menghadapi apa-apa masalah sehingga membolehkan gerak-kerja dijalankan secara berterusan, tertumpu kepada usaha untuk terus ‘menawan hati dan minda rakyat’.

“Dan saya perhatikan di Pahang ini, InsyaAllah, rakyat kita sebenarnya mereka memahami kaedah-kaedah bagaimana Kerajaan, parti berjalan. Mereka akan terus memberikan sokongan.

“Hari ini, majlis kita menyampaikan Notis 5A untuk (membolehkan) mereka mendapatkan suratan hakmilik tak beberapa lama lagi. Ini akan berjalan daripada masa ke samasa,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan  lagi.

Beliau juga ditanya mengenai sistem e-LPS (Lesen Pendudukan Sementara) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang beliau sendiri menerimanya secara simbolik daripada Timbalan Perdana Menteri beberapa hari lepas.  

Sistem tersebut katanya, merupakan projek perintis yang dimulakan dahulu di daerah Cameron Highlands, dan akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di seluruh negara termasuk di negeri ini.

INILAH NOTIS 5A KAMI... Tiga orang sahabat ini sedang memperagakan sampul surat yang terkandung Notis 5A di dalamnya. Masing-masing penerima ini layak untuk tanah berkeluasan 1/4 ekar atau bersamaan 1,011.71 meter persegi. 

Kadar premium yang Kerajaan Negeri kenakan cukup rendah sekali, cuma RM2 bagi setiap meter persegi maka setiap penerima perlu membayar hanya RM2,023.42 (RM2 X 1,011.71 meter persegi). Selepas pembayaran maka barulah proses untuk mengeluarkan geran tanah dapat diuruskan. 


MESTI ADA ‘WILL POWER’

Adakah sistem terbaru – e-LPS ini, merupakan jawapan kepada pelbagai masalah mengenai tanah yang sering menjadi isu di daerah-daerah khususnya di kawasan-kawasan sensitive seperti tanahtinggi Cameron Highlands?     

“Yang sebenarnya,” jawab Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… menangani masalah ini apa carapun boleh. Yang pentingnya, kita kalau orang politik, mesti ada ‘the political will power’, kita (rakyat) biasa, ada ‘will power’.

“Kalau semua pegawai kerajaan, rakyat bekerjasama, apa sistempun boleh… Kalau kita tidak menjalankan tugas dengan baik, atas kepada e-LPSpun kena tipu. Ha itulah maksud…

“Yang mustahak sekarang ini, kita mesti ikhlas menjalankan tugas. Kalau misalannya, katalah tugas seorang Pegawai Petempatan (SO) – pelan tanah tu, mesti disimpan dengan baik. Dan setiap kali permohonan tanah, mesti dicating di atas pelan.

“Maknanya, sianu tiu dia minta nombor fail dia, tulis di atas pelan tu. Jadi, kalau orang lain minta tapak yang sama, tahu dah - sebelum ini dah ada satu-dua permohonan (ke atas tapak yang sama). Dan bila di bawa ke mesyuarat, bawa sekali semua sekali.

KHALAYAK PAGI KHAMIS... 
 

PENTINGNYA PERANAN DAN TUGAS SO

“Tapi, kalau kita tak buat kerja dengan jujur, kita bawa ke mesyuarat, rupa-rupanya tanah itu dah lulus kepada orang lain. Rupanya tanah itu dah ada orang lain minta,” katanya lagi.

“Ini e-LPS ini begitu juga. Ia bergantng kepada SO juga. Yang menjalankan kerja (input) itu orang. Bukannya benda tu masuk, berjalan sendiri, tidak… semua kena diprogramkan,” katanya lagi.

Selain tuanrumah, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau), antara yang turut hadir pada majlis yang menyaksikan hampir 100 orang menerima Notis 5A berkenaan ialah;

Timbalan Yang Dipertua, Dewan Rakyat, Dato’ Ismail Mohd Said yang juga Ahli Parlimen (BN – Kuala Krau); Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar yang juga wakil rakyat negeri (BN – Jenderak); 

Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Roslan Harun; dan, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali. 

ANUGERAH BUAT YANG CEMERLANG... Pada kira-kira 3 petang Khamis yang sama juga, Dato' Sri DiRaja Adnan berada pula di Maahad Tahfiz As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Tun Razak, Jengka, Maran kerana menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang. 

Beliau kelihatan, sedang menyampaikan sijil serta cenderamata lain termasuk beg, kepada para penerima. Mengiringi beliau selain Dato' Syed Ibrahim yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri; ialah Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato' Mohd Nor Abdul Rani (di sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan).


LAGI PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN SMA KITA... 

TABAH MENUNGGU GILIRAN... Ini ialah sebahagian lagi pelajar SMA yang sabar menunggu giliran untuk berbaris ke pentas bagi menerima anugerah masing-masing pada majlis petang Khamis ini. – Khabar