Sunday 7 August 2016

Hindari budaya terlalu selesa dengan kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri


“Masalah kita adalah budaya terlalu selesa apabila kita pegang kuasa. Maka kita rasa kuasa itu kita punya sampai bila-bila.

“Macam di Pahang, ini negeri yang kita hormat kerana masih dapat mengekalkan majoriti undi dua pertiga,” katanya

DALAM UCAPANNYA... 

KOMPLEKS RAKAN MUDA, BERA – Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak terlalu selesa dengan kuasa yang ada sehingga menganggapnya sebagai milik mereka selama-lamanya.

“Masalah kita adalah budaya terlalu selesa apabila kita pegang kuasa. Maka kita rasa kuasa itu kita punya sampai bila-bila,” katanya sepertimana dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Laporan berita yang sama juga menyebut beliau memberikan contoh negeri ini yang kepemimpinan negeri yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN), terus kukuh dengan berkata;

“Macam di Pahang, ini negeri yang kita hormat kerana masih dapat mengekalkan majoriti undi dua pertiga”.

Laporan berita BERNAMA ini berdasarkan ucapan Dato’ Sri Ahmad Zahid – yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera pagi Ahad, 7 Ogos di sini.

MESRA SESAMA PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Ahmad Zahid sedang berjenaka-mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan sambil yang lain tertawa menyaksikan. 

Selain tuan rumah, Dato' Sri Ismail Sabri (kanan sekali); yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Mohd Sharkar serta Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bera. 


‘… BERGADUH BAGAI NAK RAK’

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi, BN Negeri dan tuan rumah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian;

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Ahad ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.     

Laporan berita yang sama juga menyebut Dato’ Sri Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, memberikan contoh sebuah negeri jiran yang disebalik memperolehi kemenangan tipis pada pilihanraya umum lepas tetapi terbabit dengan masalah.

“Terengganu yang dapat undi majoriti nipis itupun bergaduh bagai nak rak. Pemimpin yang lama dan baharu bergaduh. Selesaikanlah masalah itu... nak bergaduh tunggu selepas pilihan raya umum.

“Semua ini nak menempah kejatuhan. Masalah dalaman selesaikanlah. Kalau dah jadi (hilang kuasa) barulah padan muka engkau, padan muka aku,” katanya penuh sinis.

MEMENUHI ACARA DI LUAR DEWAN... Selain Dato' Sri Ahmad Zahid, Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Ismail Sabri dan Dato' Sri Mohd Sharkar; yang turut kelihatan ialah kepimpinan UMNO Bahagian - Dato' Norol Azali Sulaiman, yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri (dua dari kanan), dan, Dato' Mohd Fadil Osman yang juga wakil rakyat negeri (BN - Kemayan). 

TAK MAMPU RAMPAS KEMBALI KELANTAN HINGGA KINI

Beliau turut dilaporkan menyebut Kelantan yang kini sudah 23 tahun di bawah pemerintahan PAS yang semasa di bawah kepimpinan BN sebelumnya, masalah dalaman partilah yang menyebabkan kejatuhannya.

“Dahulu, Kelantan kita (BN) punya. Namun disebabkan masalah dalaman, orang UMNO kononnya banyak kelemahan dan kononnya nak ajar satu penggal sahaja; akhirnya sampai sekarang kita tidak mampu rampas kembali negeri itu,” katanya.

Beliau juga berkata betapa usaha untuk mempertahankan kuasa bukan hanya perlu melibatkan kepimpinan negeri sebaliknya perlu bermula dari bawahan lagi iaitu peringkat cawangan, pusat daerah mengundi (PDM), bahagian dan perhubungan negeri.

“Kalau ketua cawanganpun bergaduh dengan timbalan, ketua pemudapun bergaduh dengan ketua puteri kemudian risau, takut tempat kita diambil alih orang… PDM dengan PDM bergaduh, macam mana nak terus kekal berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar kepimpinan UMNO di setiap peringkat supaya menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang dialami jika mahu parti kekal memerintah negara pada masa akan datang.

PARA PERWAKILAN SERTA TETAMU SEKELIAN...


‘CUKUP-CUKUPLAH’

Ahli-ahli UMNO menurutnya, perlu mengambil iktibar daripada sejarah dunia dan negara sendiri yang menyaksikan banyak kuasa besar seperti Rusia, Belanda, Perancis dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, akhirnya jatuh disebabkan masalah dalaman.

Malah UMNO dan BN sendiri katanya, pernah kehilangan kuasa di Perak, Terengganu dan Kelantan hanya disebabkan pergolakan dalaman akibat rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan.

“Cukup-cukuplah... belajarlah daripada pengalaman dunia. Selesaikanlah masalah dalaman. Jangan layan rasa marah dan kecewa dalam kalangan kita. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku.

“Kita tidak mahu ia berlaku lagi di dalam politik UMNO dan BN sebab terlalu mahal harganya yang terpaksa kita tanggung apabila hilang kuasa. Pemimpin ada kelemahan kerana mereka bukan maksum jadi kita terima dan bertolak ansur,” katanya lagi. – Khabar