Saturday 27 August 2016

Kepercayaan rakyat Pahang terhadap kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib!



“Saya selaku ‘ground commander’, saya boleh sahkan – di negeri Pahang ini, isu-isu yang diuar-uarkan oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya, tidak langsung dapat perhatian dari rakyat.

“Rakyat negeri Pahang ini rata-rata percayakan kepada YAB Dato’ Sri dan kita berharap, Dato’ Sri teruskan dengan usaha-usaha membangunkan rakyat, memberikan kemudahan kepada rakyat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

SOKONGAN PADU, TIDAK BERBELAH-BAHAGI BUAT DATO' SRI MOHD NAJIB...


SMK SULTAN AHMAD SHAH, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Rakyat Pahang terus menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di sebalik segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Apapun suara-suara sumbang ini, dari manapun datang – parti baru ke, pembangkang ke, media sosial ke… Sebenarnya dari segi rakyat-jelata di negeri Pahang ini, tidak ada kesan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“… saya selaku ‘ground commander’, saya boleh sahkan – di negeri Pahang ini, isu-isu yang diuar-uarkan oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya, tidak langsung dapat perhatian dari rakyat.

“Rakyat negeri Pahang ini rata-rata percayakan kepada YAB Dato’ Sri dan kita berharap, Dato’ Sri teruskan dengan usaha-usaha membangunkan rakyat, memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian dalam ucapan luar teks 11-minitnya pada Majlis Persamian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands yang Dato’ Sri Mohd Najib rasmikan pagi Sabtu, 27 Ogos di sini. 

DALAM UCAPAN 27-MNITNYA... Dalam ucapannya, Dato' Sri Mohd Najib turut menyentuh mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara (AMKN) yang menurutnya, beliau tidak akan bersikap apolegetik mengenai pengenalan dan penguatkuasaannya, demi usaha Kerajaan menangani isu keganasan di negara ini.


“YANG PENTING, KEPENTINGAN MEREKA DIJAGA”

“Rakyat tidak peduli apa (tentang tuduhan-tuduhan berkenaan),” katanya lagi, dan menambah kata betapa, “Yang penting, kepentingan mereka dijaga. Kalau kepentingan mereka dijaga, mereka akan rasa bahawa inilah kerajaan yang boleh mereka menaruh harap untuk masa depan.

“Sudah pastilah mereka akan terus beri sokongan kepada kerajaan dan kerajaan itu ialah Kerajaan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional”.

Sehubungan itu, beliau menyebut beberapa dasar dan usaha Kerajaan pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib dalam menjagai kepentingan dan kebajikan rakyat yang antaranya ialah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), serta pengenalan dan pengwujudan Klinik 1Malaysia (KL1M) serta Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Cetusan idea Perdana Menteri dalam pembukaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memudahkan rakyat bertumpu ke satu pusat sahaja di bandar-bandar untuk pelbagai urusan melibatkan perkhidmatan awam, turut disebutnya.

“Ini semua idea dari YAB Dato’ Sri. Ini semua untuk rakyat,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

BUAT KENANG-KENANGAN, KEKAL ABADI... Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berfoto kumpulan bersama-sama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Cameron Highlands. Yang turut kelihatan selain tuanrumah, Dato' Sri Wan Rosdy (duduk, dua dari kanan); Dato' Andul Rahman (duduk, kanan sekali); serta, Dato' Sri Ir Mohd Soffi (duduk, kiri sekali).


‘TENANG, SABAR, KUSYUK, TAWADDUK’

Disebalik tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri menurutnya, Dato’ Sri Mohd Najib masih mampu ‘tenang, sabar, kusyuk, tawadduk’ dalam terus mentadbir Negara yang dengan itu patut dikagumi semua.  

“Saya percaya, ini semua adalah satu kekuatan yang Allah SWT telah anugerahkan kepada Dato’ Sri. Itu sebab Dato’ Sri, teruskanlah memimpin parti, teruskanlah memimpin Kerajaan,” katanya lagi disambut tepukan para hadirin.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menegaskan betapa Dato’ Sri Mohd Najib sebagai pemimpin Negara dan parti, tetap memerlukan sokongan semua pihak khususnya ahli-ahli parti, untuk menjayakan kepemimpinannya.   

Sokongan yang dimaksudkan itu pula termasuklah memastikan usaha-usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli parti termasuk dalam kalangan Barisan Nasional (BN) bagi memenangi hati dan jiwa serta minda rakyat.  

“Oleh sebab itu yang penting ialah untuk kita menjaga parti – pastikan kita memenangi hati dan jiwa rakyat, hati dan minda rakyat supaya mereka terpaut hati dengan UMNO, dengan Barisan Nasional supaya kita dapat menang kerusi dalam pilihanraya,” katanya lagi.

IKRAR KESETIAAN PARA PERWAKILAN KEPADA KEPIMPINAN PARTI... Ini merupakan sebahagian daripada perwakilan UMNO Bahagian, berdiri menyatakan kesetiaan mereka kepada kepimpinan Dato' Sri Mohd Najib.   


UMNO TURUT BERJUANG UNTUK KAUM SELAIN MELAYU

Menurutnya, Kerajaan pimpinan UMNO dan BN merupakan sebaik-baik pemerintah manakala pembangkang tidak mampu berbuat yang sama sementelah mereka, belumpun memerintah sudahpun berkecamuk akibat pelbagai isu.  

Beliau seterusnya memuji kepimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di UMNO Bahagian Cameron Highlands ini, dalam memastikan kekuatan BN seterusnya untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelai dan parlimen Cameron Highlands, serta merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Tanah Rata yang dikuasai parti pembangkang.

“Saya selalu berpesan dan saya tertarik hati bahawa perkara ini kita lakukan – walaupun kita ini UMNO Bahagian Cameron Highlands, (yang) kita sepatutnya menjaga kepentingan orang Melayu;

“… tapi saya sangat tertarik hati, UMNO Bahagian Cameron Highlands turut juga menjaga kepentingan kaum-kaum terutama Orang Asli, orang India dan juga orang Cina,” katanya sambil merujuk kepada tiga (3) perkara yang menjadi permintaan Ketua UMNO Bahagian itu kepada Perdana Menteri dalam ucapan 15-minitnya sebelum itu.

Ketiga-tiga perkara tersebut melibatkan kepentingan dan kebajikan semua kaum misalnya Melayu/Islam dengan permintaan untuk membaik-pulih Masjid Tanjung Gahai di Jelai; Cina dan India untuk membina bazar-niaga di Tanah Rata ini; serta, Orang Asli bagi pembinaan jalan 30 KM menghubungkan Pos Betau dan Pos Lenjang.

MELUANG MASA MELAWAT KE TAPAK PENEMPATAN SEMULA KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RUIL... Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang melihat wanita-wanita Orang Asli ini memainkan alat muzik mereka. 

Lawatan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil ini ialah untuk meninjau kehidupan baharu Orang Asli di sini yang terjejas hingga mengorbankan tujuh (7) nyawa pada kejadian tanah runtuh tahun 2012. Di atas tapak pertempatan ini dibina hampir 200 rumah batu, 3-bilik tidur yang lebih sempurna yang siap pada Mac dan mereka mula menghuninya pada Mei lepas. 

Keseluruhan projek RM44 juta ini merupakan projek Kerajaan Persekutuan, demi kebajikan serta keselesaan hidup Orang Asli. 

 
PERMINTAAN RM20.2 JUTA LULUS UNTUK TAHUN DEPAN

“Dan tadi kita dapat dengar bagaimana permohonan jalan dari Pos Betau ke Pos Lenjang dimohon oleh YB Dato’ Sri Wan Rosdy kepada YAB Perdana Menteri… untuk siapa? Untuk masyarakat Orang Asli,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Kepada ketiga-tiga permintaan ini, Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan perasmian 27-minitnya kemudian, meluluskannya untuk pelaksanaan tahun depan dengan kos kira-kira RM200,000 bagi masjid, RM5 juta untuk bazaar, dan, RM15 juta demi jalan berkenaan.

Selain tuanrumah, Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri; antara yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu ini ialah Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak serta Ahli Parlimen-Ahli Parlimen – Dato’ Sri G.Palanivel (BN – Cameron Highlands) dan Dato’ Abdul Rahman Mohamed (BN – Lipis) yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis. – Khabar