Saturday 20 August 2016

Pengusaha bauksit sendiri bina dan tanggung kos bina jalan alternatif



“Pihak pelombong-pelombong, pengusaha-pengusaha sendiri akan menyiapkan jalan. Sama-sama dia orang (para pelombong dan pengusaha berkenaan, yang akan membiayai kos pembinaan jalan ini),” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PADA PERSIDANGAN MEDIA PAGI SABTU... Selain mengenai kemerdekaan, yang turut ditanya pada persidangan media ini ialah tentang aktiviti bauksit serta pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik Rio 2016. 
 

PERKARANGAN, DEWAN ORANGRAMAI, PEKAN KECIL GAMBANG, KUANTAN – Pengusaha bauksit sendiri yang akan bina dan tanggung kos pembinaan jalan alternatif bagi pengangkutan bahan mineral itu ke Pelabuhan Kuantan, tegas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Kita ada diberi taklimat oleh PTG (Pengarah Tanah dan Galian) - benda ini (urusan pembinaan jalan alternatif) berjalan. Pihak pelombong-pelombong, pengusaha-pengusaha sendiri akan menyiapkan jalan,” katanya.

“Sama-sama dia orang (para pelombong dan pengusaha berkenaan, yang akan membiayai kos pembinaan jalan ini),” katanya pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri pagi Sabtu, 20 Ogos di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanyakan tentang perkembangan terbaharu isu bauksit, khususnya mengenai jalan alternatif yang Kerajaan Negeri cadangkan bagi mengelakkkan pencemaran dan membahayakan pengguna di atas jalan-jalan yang sedia ada.   

Adalah difahamkan, jalan alternatif ini dikatakan sepanjang lima (5) kilometer dari satu lokasi ke Pelabuhan Kuantan – yang merupakan jajaran baharu yang dengan itu, kenderaan pengangkut bauksit tidak lagi melalui jalan sedia ada khususnya bahagian yang terjejas teruk dengan pengangkutan bahan mineral itu sebelum ini.

ROYALTI CUMA RM4 BAGI SETAN BAUKSIT

“… operator, bukannya Kerajaan (yang akan membiayai kos pembinaan jalan alternatif ini). Kerajaan nak buat macam mana? Royalti (yang diperolehi daripada pengeluaran bauksit) RM4 sahaja satu (1) tan,” katanya lagi bagi menegaskan keperluan pelombong dan pengusaha bauksit sendiri menanggung kos tersebut.

Mengenai tempoh moratorium ke atas perlombongan baharu bauksit yang telah dikenakan kemudian dilanjutkan beberapa kali, yang terakhir akan hanya tamat pada 15 September ini menurutnya, ia adalah langkah baik oleh Kerajaan Pusat.

“Moratorium ini bagus. Saya sudah lama mengingatkan pihak yang bertanggungjawab dalam peruasaahan bauksit ini supaya berhati-hati, menjaga kepentingan orang lain. Tapi mereka tidak mendengar nasihat saya.

“Selepas mengalami sembilan (9) bulan ya moratorium ini, saya percaya mereka (pelombong dan pengusaha bauksit) telah belajar daripada kesilapan mereka,” katanya lagi.
  
Dan selepas tempoh moratorium ini menurutnya, para pelombong dan pengusaha berkenaan akan perlu menuruti Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang telah digariskan oleh Kerajaan.

HAD LAJU ANTARA 60 DAN 80 KM SEJAM

Antara SOP tersebut menurutnya ialah, lori pengangkut mesti sentiasa dibersihkan dan tidak melebihi buatan selain perlu mematuhi had laju yang menurutnya antara 60 dan 80 KM sejam sahaja.

“Selain daripada tidak mengancam keselamatan orang lain, itu yang mustahak,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan mengenai pencapaian atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil yang menurutnya, adalah sangat membanggakan.  

“Bayangkan betapa bangganya kita apabila dapat pingat ini. Kita bangga sebab jalur gemilang dinaikkan dan semua orang berdiri beri hormat,” katanya lagi tentang pungutan tiga (3) pingat perak dan satu (1) gangsa menerusi badminton, terjun papan anjal dan lumba basikal setakat pagi Sabtu ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya, dan ini membuktikan bahawa kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, tidak ada perkara yang kita tidak boleh capai. Bermakna, bidang lain jugapun boleh kita capai kalau betul cara – mungkin latihan, sikap,” katanya lagi.

RM15,000 DAN RM10,000 UNTUK REKOD KEBANGSAAN DAN SUKMA 

Beliau seterusnya berkata betapa Kerajaan Negeri turut menghargai kejayaan atletnya dengan baru-baru ini, pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang beliau pengerusikan, insentif kemenangan baharu diperkenalkan.

Jika menurut apa yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ialah RM3,000 bagi yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan RM1,500 bagi rekod Sukan Malaysia (SUKMA) tetapi di Pahang, ianya ialah masing-masing RM15,000 dan RM10,000.

“… dan kita beri juga kepada ‘coach’, ‘assistant coach’. Antara ‘coach’ dan ‘assistant coach’ tak ada beza sebab mereka melatih sama-sama jadi kita di Pahang, kalau RM3,000 kepada ‘coach’, RM3,000 juga kepada ‘assistant coach’,” katanya. – Khabar