Saturday 10 September 2016

“Tapi walau apapun, dalam setiap perjuangan, setiap perjalanan; mesti ada titik-sampai,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan



“Apapun, kita serahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan juga Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Tetapi, di atas segala-galanya, Allah Subhanahu Wata‘ala. Jangan risau,” tegasnya mengenai kesediaan untuk tidak bertanding lagi pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 51-MINITNYA... Yang pada awal ucapannya itulah, disentuhnya secara ringkas mengenai hasrat berundurnya setelah Dato' Ismail (duduk, kanan sekali) menyebutnya dalam ucapan beliau sebelum itu. 

Selain Dato' Ismail dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang turut berada di atas pentas kelihatan gembira dengan ucapan Dato' Sri DiRaja Adnan. 
 

DEWAN, SMK KUALA KRAU, KUALA KRAU, TEMERLOH – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang membayangkan tidak bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU)-14 akan datang, menegaskan betapa setiap perjuangan atau perjalanan, tentu ada ‘titik-sampai’nya.

Sambil berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Dato’ Ismail Mohamad Said atas ucapan sokongan terhadapnya sebelum itu, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada permulaan ucapan luar teks 51-minit merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krau pagi Sabtu, 10 September di sini;

“… saya juga ucapkan terima kasih atas sokongan yang diberi. Tapi, walau apapun, dalam setiap perjuangan, setiap perjalanan, mesti ada titik-sampai. Terima kasih atas sokongan.

“Apapun, kita serahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan juga Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Tetapi, di atas segala-galanya, Allah Subhanahu Wata‘ala. Jangan risau”.

“Saya menjadi ADUN (sudah) 30 tahun, (menjadi) MB (sudah) 17 tahun nak masuk 18 tahun. Terima kasih atas sokongan,” katanya lagi.

MELANCARKAN BULETIN UMNO BAHAGIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan bersalaman dengan Dato' Sri Mohamad Jaafar yang juga Ketua Penerangan, UMNO Bahagian Kuala Krau yang menerbitkan buletin ini. Dato' Sri Mohamad ialah juga Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri. 
 

‘HIDUP DATO’ SRI’, ‘HIDUP DATO’ SRI’, ‘HIDUP DATO’ SRI’

Dalam ucapan luar teks 20-minitnya, Dato’ Ismail yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, telah menyebut betapa UMNO Bahagian Kuala Krau menolak ucapan Dato’ Sri DiRaja Adnan semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh semalam, Jumaat, 9 September.

Yang dalam ucapannya pada majlis perasmian di bangunan Yayasan Kemiskinan Kelantan, Pengkalan Mela, Melor dekat Kota Bharu itulah, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah antara lain membayangkan kesediaannya untuk mengundur diri.

Dengan laungan ‘Hidup Dato’ Sri’ sebanyak tiga (3) kali yang dituruti oleh para perwakilan sekelian, Dato’ Ismail mahukan agar Dato’ Sri DiRaja Adnan supaya meneruskan kepimpinannya di Pahang yang selama ini bukan sahaja membawa pembangunan tetapi meleraikan pelbagai masalah yang negeri ini hadapi.

Ketika ditemui wartawan kemudiannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diminta mengulas lanjut mengenai perkara sama telah meminta agar ia tidak dipanjangkan lagi, memadai dengan apa yang telah disebutnya sebelum itu.

“Itu tak boleh, biarlah. Cukup sekali. Saya sebenarnya saya keluar (kenyataan untuk mengundur diri) itu untuk ‘condition’ dia orang (ahli-ahli parti)… awak faham tak? Takkan hari-hari saya kata ‘saya nak berhenti’, ‘nak berhenti’,” tegasnya.

POSE BERKUMPULAN... Buat kenang-kenangan, Dato' Sri DiRaja Adnan dengan seluruh Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau. 
 

CAKAP TENTANG BERSARA BERASASKAN LOGIK & KEMUNASABAHAN

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’ apa yang telah dicakapkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media ketika diminta mengulas ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang diketuai Tan Sri Anuar Musa itu.

Ini ekoran beberapa laporan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada hari ini, Sabtu, 10 September, yang didapati ada antaranya, kurang tepat serta tidak begitu selari dengan apa yang dimaksudkan olehnya.

Tiga (3) soalan dikemukakan iaitu sama ada sudah ada calon untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar, sudah muktamadkah keputusannya, dan, adakah keputusan tersebut dibuat atas desakan?

“Saya bercakap berdasarkan kepada logik dan kemunasabahan. Saya telah lama berpolitik tapi kalau kira lama, tak semestinya seseoarang itu kena berhenti sebagai… Perdana Menteripun lama, berapa tahun lebih. Tan Sri Anuar Musapun lama, lagi lama daripada saya.

“Hanya saya sekadar melontarkan pandangan saya bahawa bagi diri saya sendiri, telah agak lama. Makna kalau, saya bersarapun patut.

'HAPPY BELATED BIRTHDAY' BUAT 'BIRTHDAY-BOY', DATO' ISMAIL... Dato' Sri DiRaja Adnan turut memberi penghargaan sempena maraikan hari jadi ke-51 Dato' Ismail pada 7 September lepas. 

Kelihatan, Dato' Ismail diapit kedua-dua isterinya - Datin Nor Azimah Abdul Mubin dan Rose Norasyikin Abdullah yang sebelum itu telah Dato' Ismail silakan naik ke pentas untuk acara istimewa ini. 
 

PENGGANTI DATANG APABILA SAMPAI MASA

“Soal pengganti, dalam politik tidak ada pengganti. Pengganti datang apabila sampai masa. Ini politik, terutama di Pahang – kena perkenan Tuanku, kena ‘recommendation’ PM, kena dapat kepercayaan ahli Dewan.

“Itu maksud(nya). Kita tak boleh kata, ada pengganti. Bukan saya menentukan”.

Kepada soalan sama ada keputusannya itu muktamad, jawabnya ringkas; “Belum muktamad”.

Kepada soalan mengenai desakan, jawabnya; “Tak ada. Desakan ini kita sendiri kena baca ler. Kalau sampai 40 tahun, 50 tahun politik. Bukan desakan.

“Saya meggambarkan akan kedudukan seseorang ahli politik, pentadbir.  Itu maksud saya. Dalam politik, 50 tahun pendek. Politik Jepun, orang tua jadi Perdana Menteri”. – Khabar