Sunday 23 October 2016

Corak kepemimpinan Adnan yang kekal ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’



‘Yang kerana itulah, Kerajaan Negeri yang  beliau ketuai, dinaungi pula oleh KDYMM Sultan Pahang dengan pemerintahan ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa, Raja Rakyat, Berpisah Tiada’; terus popular dalam kalangan rakyat’.

MENJADI KELAZIMANNYA, MENZIARAHI MEREKA YANG MEMERLUKAN... 


NOTA EDITOR;

Bersempena Sambutan Hari Keputeraan KYMM Sultan Pahang, Sultan Hj Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah pada Isnin, 24 Oktober, berikut diperturunkan pula artikel yang menyentuh tentang kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang di bawah naungan pemerintahan Baginda. 

Semoga kita dapat sama-sama memanfaati daripadanya.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Mesra rakyat, mesra pelabur’ – inilah corak kepemimpinan yang pertama kali Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob umumkan ketika mula-mula menjadi Menteri Besar Pahang kira-kira 17 tahun lepas, yang terus kekal dengan corak kepemimpinan itu sehingga kini.

Yang kerana itulah, Kerajaan Negeri yang  beliau ketuai, dinaungi pula oleh KDYMM Sultan Pahang dengan pemerintahan ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa, Raja Rakyat, Berpisah Tiada’; terus popular dalam kalangan rakyat.

Ukuran populariti ini tentunya menerusi keputusan-keputusan positif pilihanraya yang Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri ketuai selaku Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri sama ada pada  Pilihanraya Umum (PRU) mahupun Pilihanraya Kecil (PRK).

Bagi PRU, beliau mengepalai dan menempuhi empat (4) kesemuanya pada tahun-tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013, yang tidak satupun daripadanya, BN Negeri kehilangan majoriti dua-pertiga.

Ini termasuklah PRU-10 pada bulan November tahun 1999 yang dianggap paling getir, ekoran pemecatan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan pula Dato’ Sri DiRaja Adnan, baharu sahaja mengepalai Kerajaan Negeri, enam bulan selepas pelantikan (pada 25 Mei 1999).

YANG CACAT JUGA MENDAPAT PERHATIAN DAN PEMBELAANNYA... 
 

DANA KHAS PAHANG BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Untuk Pilihanraya Kecil (PRK) pula, beliau turut mengetuai jentera parti dengan jayanya pada tahun-tahun 2000 (kerusi negeri Sanggang), 2002 (kerusi negeri Ketari), 2007 (kerusi negeri Batu Talam), 2011 (kerusi negeri Kerdau) dan tahun lepas (2015), bagi kerusi parlimen Rompin.
“Semuanya (kejayaan-kejayaan cemerlang pada pilihanraya-pilihanraya berkenaan) ialah kerana corak dan pendekatan kepemimpinan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’nya.

“Dato’ Sri DiRaja Adnan bukanlah orangnya yang suka berslogan-slogan. ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’ menurutnya, bukan slogan apatah lagi untuk dicanang-canangkan. Sebaliknya ialah pendekatan yang beliau mahu kekal dijayakan secara praktikal,” kata seorang pegawai kanannya.    

Inisiatif memperkenalkan Dana Khas Pahang (DKP) menurut pegawai itu, merupakan manifestasi aspek ‘Mesra Rakyat’nya itu, dan pula terhasil daripada pemerhatiannya semasa kempen PRK Negeri Sanggang pada akhir Mac tahun 2000.

Semasa dalam tempoh kempen itu Dato’ Sri DiRaja Adnan mendapati, masih ramai dalam kalangan penduduk yang memerlukan bantuan terutamanya dalam kalangan fakir-miskin, ibu tunggal, berpenyakit kronik dan wargatua.

HAL-HAL BERKAITAN PENDIDIKAN PELAJAR, SUDAH SEMESTI MENJADI TUMPUAN PENTADBIRANNYA... 
   

BANTUAN ‘ONE-OFF’ RM500 DILAKSANA SEJAK TAHUN 2000 LAGI

Ekoran itu, peruntukan tahunan kira-kira RM3.75 juta dikhususkan kepada DKP – yang diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), untuk menjayakan misi membantu mereka yang memerlukan ini.

Maka, wargatua yang mencecah dan melepasi usia 80 tahun tanpa mengira latar belakang kaum dan ekonomi keluarga misalnya, diberikan bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM500.  

Tahun 2000 yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Yayasan Pahang (YP), telah mengarahkan pengwujudan Geran Bantuan Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi membantu pelajar-pelajar anak Pahang melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Mereka yang berjaya diberikan geran ‘one-off’ RM500 setiap seorang, sehinggalah pada Januari 2014, selain kekal RM500 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah; yang ke peringkat sarjana dan kedoktoran telah dinaikkan kepada RM1,000.

Hasilnya, sejak penubuhan pada tahun 1983 hingga kini, YP – yang ditubuhkan semasa Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar; telah membelanjakan kira-kira RM757 juta, dimanfaati kira-kira 740,000 pelajar sebahagian besarnya terlibat di bawah Geran Bantuan Pelajar ke IPT ini.

PATRIOTISMENYA... 
 

MANA NAK DAPAT TAWARAN SEPERTI INI?

Oleh kerana berjayanya inisiatif inilah – dapat mengurangkan beban kewangan bagi urusan kemasukan awal para pelajar yang ditanggung ibubapa khususnya dalam kalangan yang memerlukan; ia telah akhirnya menjadi ikutan oleh beberapa  Kerajaan Negeri lain.

Satu lagi inisiatif ‘Mesra Rakyat’ Kerajaan Negeri pimpinan beliau sudah semestinya dalam membangunkan rumah-rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang – satu usaha untuk saling lengkap-melengkapi PR1MA yang di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan.

Di bawah PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri menyediakan tanah yang dikenakan bayaran premium pada kadar yang menarik ke atas pemaju, yang oleh kerana itulah pemaju dapat membina rumah-rumah ini pada harga yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat jelata.

Rumah yang disediakan ialah rumah kembar setingkat berkeluasan lantai minimum, 93 meter persegi; mempunyai tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu, ruang makan dan dapur, yang dijual pada harga RM150,000 sebuah, berbanding harga pasaran semasa melebihi  RM300,000 sebuah!

“Mana nak dapat tawaran seperti ini? Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan kita, Kerajaan Barisan Nasional,” kata Dato’ Sri Mohd Najib sendiri, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang pada 19 Mac lepas. Ternyata, beliau kagum dengan program tersebut.

KEMESRAAN DENGAN PEMIMPIN UTAMA NEGARA SENTIASA TERPELIHARA... 
 

PM UCAP TAHNIAH KEPADA KERAJAAN NEGERI KERANA PR1MA PAHANG

Yang lebih menarik, PR1MA Pahang ialah antara akujanji yang terkandung dalam Manifesto BN Negeri bagi menghadapi yang PRU-13 lepas dengan sasaran untuk membina 15,000 unit rumah berkenaan dalam tempoh lima tahun antara 2014 dan 2018.

Namun kini, sudah kira-kira 40,000 unit – melepasi sasaran lebih sekali ganda, sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan dan ini juga mendapat perhatian Dato’ Sri Mohd Najib; “Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini”.

Tidak cukup dengan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengarahkan PR1MA Pahang yang diurusetiakan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ditambah-baikkan dengan menjurus kepada pembinaan rumah teres bertiang pula dengan harga jualan lebih rendah, pada kira-kira RM80,000 sebuah.

Jika PR1MA Pahang bagi rumah kembar setingkat RM150,000 disasarkan kepada rakyat berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM10,000 sebulan; bagi rumah teres bertiang RM80,000 pula tertumpu kepada yang berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan.

Golongan minoriti seperti Orang Asli, juga tidak terlepas daripada ‘radar’ keprihatinan mesra Kerajaan Negeri yang oleh itulah – pertama, Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri melantik dirinya sebagai Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri yang menunjukkan sikap seriusnya ke arah memelihara dan meningkatkan mutu kehidupan masyarakat ini.

BERSAHAJA SERTA SIKAP 'DOWN TO EARTH'NYA... 
 

GERAN TANAH BAGI TAPAK RUMAH ORANG ASLI

Yang sering Orang Asli bangkitkan ialah berkenaan tanah rizab yang sehingga kini menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, 7,038 hektar tanah di negeri ini telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli manakala lagi 8,958 hektar dalam proses pengwartawaan.

Dan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli, November lepas (2015), beliau telah membuat kejutan dengan mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan suratan hakmilik tanah bagi tapak rumah seluas suku ekar atau 10,890 kaki persegi, bagi setiap sebuah keluarga Orang Asli.

Adalah difahamkan, dengan pengumuman di depan kira-kira 300 Batin dan JKKK Orang Asli yang disambut penuh gembira itu, akan menjadikan Pahang sebagai negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Dalam soal pembangunan rancangan tanah-rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula, sikap prihatin dan mesra Kerajaan Negerilah menyaksikan, setakat Ogos lepas, 85.72 peratus atau 36,967 daripada kira-kira 43,125 peneroka Felda di Pahang telahpun menerima suratan hak milik tanah masing-masing.

Daripada segi keluasan tanah, 43,125 peneroka di Pahang ini tinggal atau mengerjakan keseluruhan kira-kira 179,746 hektar – lebih dua kali ganda keluasan Perlis; yang daripadanya, 54,717.83 hektar telahpun diserahkan suratan hakmilik tanah kepada 36,967 peneroka tadi.

LAGI AKSI BERSAHAJANYA... 
 

TARIF AIR TIDAK NAIK SEJAK LEBIH 30 TAHUN!

Maka kini, tinggal cuma 25,028 hektar tanah kepada hanya 6,158 peneroka di Pahang yang belum menerima suratan hakmilik masing-masing yang dengan sikap bertanggungjawab Kerajaan Negeri, pasti terlaksana juga nanti.

Jika yang telah disebut tadi ialah apa yang telah dilakukan, tetapi ada juga yang tidak Kerajaan Negeri lakukan tetapi masih bersifat ‘Mesra Rakyat’ yang antaranya, Kerajaan Negeri tidak menaikkan tarif air dirawat sejak tahun 1984 atau sudah lebih 30 tahun kini!

Sejak itu hingga kini, kadar tarif itu terus kekal pada purata 66 sen semeter padu, sedangkan kos pemprosesan dan pembekalan sudah meningkat berkali-kali ganda yang kini melampaui RM1 untuk semeter padu.

Dan Dato’ Sri DiRaja Adnan sekadar menyebut betapa bagi setiap RM1 yang rakyat atau pengguna bayar untuk mendapat bekalan itu, Kerajaan Negeri sebenarnya membayar lagi lebih 50 sen, demi memastikan mereka kekal menerima bekalan air berkenaan pada harga yang kekal rendah.

Ini disebalik Kerajaan Negeri menerusi Pengurusan Air Pahang (PAIP), perlu terus menyenggara 82 loji rawatan air serta kira-kira 12,393 km panjang paip air – menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, lebih jauh daripada jarak antara Kuala Lumpur dan London (sejauh 10,548 km); yang kini sebahagiannya telah usang, yang turut perlu diganti daripada jenis asbestos kepada jenis PVC.

MESRA MELAYANI PELABUR - TEMPATAN DAN ASING... 
 

MESTI UNTUK ‘FACILITATE’ BUKAN ‘FRUSTRATE’

“Beliau cuma berharap, rakyat faham seterusnya berterima kasih atas usaha Kerajaan Negeri ini, demi memastikan rakyat tidak terbeban apatah lagi dengan kos kehidupan yang semakin meningkat sekarang,” kata pegawai yang sama.    

Bagi segmen Mesra Pelabur pula, penekanan Dato’ Sri DiRaja Adnan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini ialah dengan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk ‘facilitate’ atau memudah-carakan, bukannya untuk ‘frustrate’ atau membantut dan mengecewakan, pihak pelabur.

Oleh kerana tanah di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri, beliau sentiasa menekankan termasuk kepada Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT), supaya apa juga urusan berkaitan tanah termasuk kelulusannya, perlulah dipercepatkan tanpa melalui karenah birokrasi yang terlalu panjang.

Maka tidak hairanlah, Kerajaan Negeri diberi pujian ‘melangit’ oleh Perdana Menteri sendiri khususnya dalam aspek kelulusan tanah bagi pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang seluas kira-kira 607.5 hektar atau 1,500 ekar di Gebeng dekat sini.

Malah, Dato’ Sri Mohd Najib memperkenalkan istilah baharu, ‘Kuantan Speed’ atau Kelajuan Kuantan dengan menyebut; “… sejak awal, saya menasihati pegawai-pegawai kita yang pembangunan ini (MCKIP) mestilah standing dengan kelajuan pembangunan di Qinzhou. Malah, saya telah memberi istilah ‘Qinzhou Speed’ (Kelajuan Qinzhou).

‘KUANTAN SPEED’ - ISTILAH BAHARU TENTANG USAHA PERCEPATKAN PEMBANGUNAN DI MALAYSIA 

“Hasilnya? Hanya dalam tempoh empat bulan, taman perindustrian ini (MCKIP) telahpun sedia untuk dilancarkan. Dan sekarang, kita sudah ada istilah baharu bagi usaha-usaha mempercepatkan pembangunan di Malaysia – ‘Kuantan Speed’,” kata Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan pelancaran MCKIP pada 5 Februari, 2013.

Untuk rekod, MCKIP ialah taman perindustrian berkembar (sister park) dan lanjutan kepada China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) di Qinzhou, China sepertimana yang telah dilancarkan bersama oleh Dato’ Sri Mohd Najib dan Perdana Menteri, Republik Rakyat China, Wen Jia Bao pada 1 April 2012.   

Oleh kerana itulah, kemasukan pelaburan ke Pahang sentiasa meningkat yang menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ia mencatatkan kemasukan pelaburan dari dalam dan luar negara sehingga RM14,550 juta (RM14.55 billion) dalam tempoh tidak sampai enam tahun antara 2011 hingga Mac lepas.

Nilai pelaburan ini – purata RM2,430 juta (RM2.43 billion) setahun; bukan sahaja melibatkan pelaburan baharu kira-kira RM9,030 juta (RM9.03 billion); malah pelaburan tambahan kira-kira RM5,520 juta (RM5.52 billion), bagi kerja-kerja sama ada pembesaran ataupun mempelbagaikan.

Pelaburan tambahan ini terutamanya, jelas membuktikan betapa pelabur yang sedia ada di negeri ini, berpuas hati dengan iklim pelaburan positif yang terhasil daripada pendekatan ‘Mesra Pelabur’.        

Dengan segala apa yang telah disebutkan ini ternyatalah, sesungguhnya corak kepemimpinan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’ yang terus kekal diamalkan hingga kini, merupakan resipi kejayaan negeri demi kesejahteraan rakyatnya. – Khabar