Saturday 15 October 2016

Komitmen Kerajaan untuk terus pulihara dan pelihara Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera UNESCO


… dengan Perdana Menteri melancarkan Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini

KERIANGAN BERSAMA PADA SESI MENANAM POKOK... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyiram air ke anak pokok Meranti Temak Nipis yang baharu ditanamnya. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Sri Dr Wan Junaidi; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman (sebahagian terlindung, kanan sekali); serta, Dato' Sri Jebasingam. 



PUSAT PENYELIDIKAN TASIK CHINI (PPTC), PEKAN – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah mengukuhkan lagi komitmen untuk memulihara dan memelihara Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang pertama di Malaysia.

Ini ekoran Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, melancarkan Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini petang Sabtu, 15 Oktober di sini.

Menurut kenyataan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini telah ECERDC bina sebagai pusat bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengawasan mutu air.

Ia antara projek di bawah fasa pertama pembangunan fizikal di Tasik Chini, dan terdiri daripada tiga (3) bangunan makmal – Makmal Hidrologi dan Klimatologi; Makmal Instrumen dan Mikrobiologi; serta, Makmal Analisis Air.

Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini ini telah diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku agensi penyelaras, sejak Januari 2014.

MELEPASKAN ANAK IKAN KE TASIK CHINI YANG MUTUNYA SEMAKIN BAIK KINI... 


MUTU AIR TASIK CHINI MENINGKAT KE KELAS II – SELAMAT

Menurut kenyataan itu lagi, PPTC ini sendiri terletak di kawasan seluas 4.05 hektar (10 ekar) sumbangan Kerajaan Negeri. PPTC bertanggungjawab melaksanakan inisiatif penyelidikan, pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan serta pembangunan eko-pelancongan tapak warisan alam semula jadi negara ini.

Penubuhan PPTC adalah selaras dengan Pelan Pelaksanaan Strategik (SIP) untuk Tasik Chini yang meliputi strategi dan inisiatif utama sehingga tahun 2025.

“Sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan SIP yang menyeluruh, pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta ECERDC telah bekerjasama dengan UKM dan agensi kerajaan yang berkaitan serta masyarakat tempatan, untuk melaksanakan beberapa projek pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini.

“Antaranya, pemuliharaan kawasan tebing tasik, penstabilan cerun, pembiakan ikan dan pembersihan tasik. Tujuh (7) stesen pengawasan mutu air (stesen telemetri) turut dibina di sungai-sungai utama yang mengalir masuk ke Tasik Chini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Sri Jebasingam Issace John sepertimana disebut dalam kenyataan yang sama.

“Tindakan ini telah meningkatkan mutu air Tasik Chini kepada Kelas II daripada Kelas III yang dicatatkan pada tahun 2008. Pencapaian ini membolehkan aktiviti rekreasi dijalankan dengan selamat,” kata Dato’ Sri Jebasingam.

SAMA-SAMA MENGAMINKAN DOA... 


ORANG ASLI TURUT DILIBATKAN DALAM INDUSTRI EKO-PELANCONGAN

“Matlamat sekarang,” tambahnya, “…adalah untuk meningkatkan mutu air menjadi Kelas I menjelang 2018, di mana air selamat untuk diminum tanpa memerlukan rawatan tambahan lain kecuali pendidihan.

“Pada masa yang sama, usaha ini akan membolehkan Tasik Chini kekal dengan statusnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” katanya lagi.  

Beliau juga berkata, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini akan dirancakkan lagi pada masa akan datang dengan kini, fasa kedua kerja-kerja fizikal telahpun dimulakan menerusi pembinaan asrama untuk para penyelidik serta kemudahan eko-pelancongan lain.

Apabila siap tahun depan (2017) katanya, kemudahan ini akan memberi peluang kepada para ahli akademik melakukan pengawasan dan penyelidikan di tapak sebenar selain memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang Tasik Chini dalam kalangan warga tempatan dan para pelancong.

“Masyarakat tempatan terutamanya Orang Asli juga akan terus terlibat sebagai peneraju utama industri eko-pelancongan di sini,” tegas Dato’ Sri Jebasingam.

SUASANA CERIA DAN RIANG-RIA... Tentu ada sesuatu yang menarik diperkatakan oleh kedua-dua Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan hingga semua kelihatan tertumpu kepada mereka. 

Selain Dato' Sri Dr Wan Junaidi dan Dato' Sri Jebasingam, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Abu Bakar (berdiri, kiri sekali); Prof Dato' Dr Noor Azlan (di belakang Dato' Sri Mohd Najib) dan Prof Dato' Dr Mushrifah (duduk, empat dari kanan).  



TANAM 350 POKOK

Bernama melaporkan, Dato’ Sri Mohd Najib tiba di sini pada kira-kira 3 petang, kemudian menyertai masyarakat setempat termasuk Orang Asli, penuntut institusi pengajian tinggi awam dan kumpulan aktivis alam sekitar, menamam 350 pokok. Dato’ Sri Mohd Najib sendiri menanam pokok Meranti Temak Nipis.

Adapun signifikan penanaman 350 pokok adalah simbolik komitmen Kerajaan untuk mencapai tahap kepekatan karbon dioksida di udara yang selamat dan diterima di peringkat antarabangsa iaitu 350 bahagian per juta (PPM atau parts per million).

Dato’ Sri Mohd Najib yang juga Ahli Parlimen kawasan Pekan, turut melepaskan anak ikan ke Tasik Chini sebagai simbolik peningkatan mutu air selain sebagai inisiatif menambah bilangan ikan di tasik itu yang memiliki pelbagai jenis ikan seperti lampam, sebarau dan kelah.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan dan Dato’ Sri Dr Wan Junaidi; antara yang turut hadir pada majlis petang Sabtu ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat setempat, Dato' Abu Bakar Harun (BN - Chini); Dato’ Sri Jebasingam; 

Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman; Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Encik Rosli Zul; serta, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali; dan, Ketua PPTC yang juga Pensyarah Ekotoksikologi, UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris. – Khabar