Thursday 27 October 2016

Projek Tanaman Semula Berkelompok untuk Orang Asli Hulu Semie, diteruskan


… tetapi, untuk kawasan tambahan seluas 300 ekar di bawah projek TSB yang sama, ditangguhkan sementara kajian dilakukan.

Begitu juga projek Ladang Rakyat seluas 929 ekar, yang jika kajian dapati akan memudaratkan Sungai Gapoi dan Loji Air Sungai Gapoi maka Kerajaan Negeri akan batalkan.

PETA ARAH KE KEDUA-DUA RANCANGAN PEMBANGUNAN TANAH DEMI KEBAJIKAN RAKYAT KITA JUGA... 


BILIK MESYUARAT, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Kerajaan Negeri hari ini memutuskan membenarkan projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Orang Asli Hulu Semie diteruskan, tetapi, menangguhkan dua (2) projek baharu yang lain.

Kedua-dua projek baharu itu ialah bagi kawasan tambahan seluas 300 ekar di bawah projek TSB yang sama; dan, projek pembangunan Ladang Rakyat seluas 929 ekar di kawasan berhampiran.

Dan dalam tempoh penangguhan ini, kajian akan dilakukan tentang kesan kepada alam sekitar khususnya kepada Sungai Gapoi serta Loji Air Sungai Gapoi yang jika negatif, Kerajaan Negeri akan membuat keputusan untuk membatalkannya terus.

“Hasil perbincangan kita tadi, setelah kaji ‘pros and cons’ sebagainya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… maka kita memutuskan kawasan tanaman semula Orang Asli ini terpaksa berjalan, sebab ia kawasan menanam semula.

“Kawasan tambahan itu (300 ekar) kita tangguh sekejap, untuk kita kaji sama ada ia menjejaskan ataupun tidak air di Sungai Gapoi,” katanya pada persidangan media tengah hari Khamis, 27 Oktober di sini.

MEMPENGERUSIKAN SESI PERBINCANGAN... Atas permintaan Menteri Besar, para petugas media turut dijemput hadir sama pada sesi perbincangan kira-kira sejam sebelum diadakan persidangan media mengenainya. Sebelum itu, petugas media yang sama turut menyertai Menteri Besar bersarapan pagi.  

KEDUA-DUA PROJEK INI DEMI KEBAJIKAN RAKYAT JUGA

“Di kawasan sebelah kiri Ladang Rakyat tadi, kita juga akan mengkaji tetapi buat masa ini, Kerajaan menangguhkan projek sehingga selesai kajian dibuat sama ada menjejaskan atau tidak alam sekitar di situ, menjejaskan ke tidak air di Sungai Gapoi yang bekalkan air ke Loji Air Sungai Gapoi.

“Selepas kajian, Kerajaan akan memutuskan sama ada meneruskan ataupun tidak, menolak ataupun  tidak projek ini. Sebab, kedua-dua projek ini untuk rakyat… Projek (TSB) Orang Asli tu untuk Orang Asli. Projek Ladang Rakyat tu untuk semua masyarakat,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan hari ini dibuat ekoran penduduk Kampung Manchis dan Kampung Hulu Semie di sana, telah menyuarakan kebimbangan kalau-kalau projek-projek berkenaan – demi kebajikan penduduk Orang Asli dan masyarakat sekitar juga; bakal mencemarkan Sungai Gapoi dan Loji Air Sungai Gapoi di situ.

“… kita mengakui kebimbangan mereka – bukan mereka sahaja bimbang, kita (Kerajaan Negeri) juga bimbang. Itu sebabnya kita buat kajian lanjut, kalau terpaksa kita batalkan, kita boleh batalkan. Tak ada masalah,” tegasnya.

Beliau turut memberikan latar belakang kepada cadangan Kerajaan Negeri untuk  menjayakan TSB Orang Asli dan Ladang Rakyat ini yang bermatlamat untuk memberi peluang ekonomi kepada penduduk di Simpang Pelangai khususnya di Kampung Hulu Semie, Kampung Manchis dan Kampung Simpang Pelangai.

KERAJAAN NEGERI TURUT BERKONGSI BIMBANG DENGAN PENDUDUK TENTANG ANCAMAN ALAM SEKITAR... 

TAMBAHAN 300 EKAR SEBAB ORANG ASLI JUGA BERTAMBAH

Projek TSB Orang Asli di Hulu Semie yang berkeluasan 1,000 ekar katanya, diusahakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pekebun-pekebun Kecil Getah (RISDA) dan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Di bawah TSB ini, Kerajaan Negeri melalui RISDA dan JAKOA membantu menjayakan rancangan tanaman semula berkelompok ke atas kebun-kebun Orang Asli yang telah sedia ada di Hulu Semie, dan ditanami getah dan kelapa sawit.

“Tapi pada ketika yang sama, ada juga lebih kurang dalam 300 ekar untuk kawasan tambahan. Sebab, Orang Asli di situ bilangannya telah bertambah,” katanya.  

Di bawah projek Ladang Rakyat yang berkeluasan 929 ekar pula katanya, cadangannya ialah untuk mengagih-agihkan tanah seluas antara empat (4) dan enam ekar kepada setiap peserta, yang dengan itu boleh dimanfaati oleh antara 150 dan 230 ketua isi rumah.

“Projek yang kedua ini (Ladang Rakyat) belum lagi berjalan. Dan di projek kedua inilah, tunjuk perasaan itu berlaku dan tunjuk perasaan ini kita – dari segi saya, saya alu-alukan, tak apa, sebab mereka mengenengahkan isu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PENEROKAAN HARAM JUGA BERLAKU DALAM KAWASAN LADANG RAYAT

Dalam pada itupun, beliau mendedahkan, betapa Kerajaan Negeri mendapati ada kegiatan penerokaan tanah secara haram di kawasan Ladang Rakyat yang hendak dibangunkan itu yang dengan ini menurutnya, usaha tegas akan diambil terhadap mereka.

“Dan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan haram akan dijalankan. Kalau Kerajaan Negeri tidak ada kemampuan dari segi logistik dan juga ‘personnel’, kita akan minta macam Cameron Highlands. Kita akan minta dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” beliau tegaskan.

Sebelum persidangan media kira-kira 9-minit ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi-agensi berkaitan, yang turut dihadiri sama oleh para petugas media.

Selain Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar; yang turut hadir ialah Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Paiz Kamaruzaman; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; serta, wakil-wakil dari RISDA dan JAKOA. – Khabar