Monday 28 November 2016

Jangan nanti ‘sudah terhantuk, baharu tergadah’



… Menteri Besar saran jabatan-jabatan berkenaan, supaya lakukan pemantauan sekarang ke kawasan-kawasan sensitif, sebelum tibanya musim tengkujuh

CENDERAMATA BUAT MB... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang membelek cenderamata yang diberikan kepadanya oleh pihak tuanrumah. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Muhammad Safian, dan, Dato' Wan Bakri.  
 

SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Saranan telahpun dibuat kepada jabatan kerajaan-jabatan kerajaan berkenaan supaya meningkatkan usaha pemantauan ke kawasan-kawasan sensitif sekarang, sebelum tibanya musim tengkujuh kelak.

Ini bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang dijangka terjejas lalu mengambil langkah segera untuk menanganinya, sebelum tiba musim tengkujuh yang boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih besar.

“Saya dah beritahu jabatan-jabatan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… (bahawa) musim tidak hujan sekarang ini, kering; elok kita pergi tengok tempat-tempat yang mungkin (dijangka berlaku kerosakan seperti) tanah nak runtuh ke…

“Masa inilah kita pergi tengok. Kalau (sudah tiba musim tengkujuh lalu berlakunya) banjir baharu nak pergi tengok, tak ada benda ler (yang tidak mendatangkan kebaikan seperti yang diharapkan lagi).

“Kita selalu ‘wiser after the event’, sudah terhantuk baharu tergadah,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Logo Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) pagi Isnin, 28 November di sini.  

KHALAYAK PAGI ISNIN... Yang antaranya ialah (dari kanan) wakil rakyat, Dato' Fadhil Osman (BN - Kemayan); Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Fadzila Salleh; bekas Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pahang, Dato' Adnan Sulaiman; dan, Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato' Abdul Rahim Ali.    
 

KDYTM TENGKU MAHKOTA PAHANG BERANGKAT KE TAKLIMAT BANJIR

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan dari akhbar New Straits Times (NST) tentang persiapan Kerajaan Negeri bagi menghadapi musim tengkujuh yang lazimnya berlaku pada hujung tahun khususnya bulan Disember, yang hanya beberapa hari sahaja lagi.  

Daripada segi persiapan logistik menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail telahpun mengadakan mesyuarat bagi berbincang mengenainya.

Lanjutan itu katanya, KDYTM Tengku Mahkota Pahang akan mencemar duli, berangkat ke Majlis Taklimat tentang persiapan menghadapi banjir di Wisma Sri Pahang ini, pada Jumaat, 9 Disember nanti.

Selain Dato’ Sri Muhammad Safian; yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Roslan Harun; dan tuanrumah, Ketua Pegawai Eksekutif, PKPP, Dato’ Wan Bakri Wan Ismail. 

TETAP MESRA MELAYANI MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diapit Dato' Sri MUhammad Safian (terlindung) dan Dato' Wan Bakri, sedang melayani media dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan mengenai PKPP, serta juga berkenaan persiapan menghadapi musim tengkujuh. – Khabar