Thursday 17 November 2016

KDYTM Tengku Mahkota rasmi Kompleks Tok Gajah



- kediaman pelajar 4-blok, 10-tingkat bernilai RM150.8 juta, yang boleh tempatkan kira-kira 4,000 pelajar 

MENARIK TIRAI PLAK PERASMIAN... Tentu ada yang melucukan sehingga KDYTM Tengku Mahkota tersenyum-riang, begitu juga dengan Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Muhammad Safian, dan, Prof Dato’ Dr Abdullah (kanan sekali).  
 

UiTM CAWANGAN JENGKA, MARAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah berkenan mencemar duli, berangkat merasmikan Kompleks Tok Gajah – ‘apartment’ pelajar 4-blok, 10-tingkat yang bernilai RM150.8 juta petang Khamis, 17 November di sini.

Pembinaan kompleks yang boleh menempatkan kira-kira 4,000 pelajar pada satu-satu masa, bermula Februari 2013 dan siap kira-kira tiga (3) tahun kemudian pada Februari lepas.

Selain ‘apartment’ biasa, kompleks ini juga dilengkapi dengan dua (2) unit kediaman yang lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan demi keselesaan pelajar-pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU).

Terletak di tingkat bawah, unit-unit kediaman ini dikhaskan berada bersebelahan dengan bilik warden untuk blok-blok berkenaan.

Sehingga kini, kira-kira 3,000 pelajar mendiami kompleks ini yang daripadanya, kira-kira 60 peratus ialah pelajar wanita.

DI DEPAN MODEL KOMPLEKS... KDYTM Tengku Mahkota disembahkan maklumat mengenai model kompleks ini oleh Prof Dato' Dr Abdullah dan Prof Dr Jamaluddin; sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan Tan Sri Dr Syed Jalaludin (kanan sekali) memerhatikan. 
 

YANG TURUT HADIR

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah mengiringi Baginda pada majlis petang Khamis ini, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohamad Roslan Harun; Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha;

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said; Penolong Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur), UiTM, Prof Datin Ir Dr Hajjah Zainab Mohamed; Rektor, UiTM Cawangan Pahang, Prof Dr Jamaludin Kasim;

serta, wakil pemaju projek kompleks kediaman ini iaitu Pengerusi, Syarikat Kumpulan Segimaju Capital Jengka Sdn Bhd, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim. 

BERANGKAT-TINJAU KE BILIK... 

BANGUNAN 10-TINGKAT YANG MENYELESAKAN SERTA KESELAMATAN PELAJAR LEBIH TERJAMIN... Juga, menjadi sebahagian daripada jawapan kepada masalah penginapan kira-kira 10,000 pelajar UiTM di sini. 

Dengan ini, para pelajar wanita khususnya, dapatlah mengelak daripada terpaksa menyewa di luar termasuk di rumah kedai-rumah kedai di bandar Jengka yang keselamatan mereka terutamanya, boleh diragukan. - Khabar