Friday 25 November 2016

Kerajaan Negeri akan perkenal mekanisme baharu untuk struktur semula punca-punca pendapatannya.




“Akan datang ini, kita akan cari mekanisme (baharu). Kerajaan mungkin terlibat ‘direct’ dalam perniagaan berkenaan atau, Kerajaan boleh terlibat selaku pemudah-cara,” kata Menteri Besar.

DALAM UCAPAN PENGGULUNGAN 38-MINITNYA... 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan mekanisme baharu untuk menstrukturkan semula punca-punca pendapatannya (revenue-earner) ke arah meningkatkan hasil pendapatan tahunannya.

Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 38-minit, menggulung perbahasan ke atas Bajet Negeri 2017 pada petang Jumaat, 25 November di sini.

“Akan datang ini, kita akan cari mekanisme (baharu),” katanya. “Kerajaan mungkin terlibat ‘direct’ dalam perniagaan berkenaan atau, Kerajaan boleh terlibat selaku pemudah-cara,” katanya lagi.

“Kalau misalannya, kita bagi satu kerja – ini kita (Kerajaan) punya tapi, pihak swasta buat. Dia (swasta tersebut) buat ‘projection’ dia – berapa dia pinjam, berapa dia boleh untung selepas berapa tahun.

“Kalau dia kata selepas 10 tahun ada untung RM100 juta; kita khabar kat dia, kita hendak RM30 juta tapi RM30 juta tu bukan dia bayar semasa dia dapat untung selepas 10 tahun, tapi dia (kena) bayar ‘upfront’ sekarang.
KECAM MYANMAR ATAS KEKEJAMAN TERHADAP MINORITI ROHINGYA... Persidangan hari terakhir ini juga telah meluluskan usul mengecam Kerajaan Myanmar atas kekejaman junta tenteranya terhadap penduduk minoriti muslim Rohingya. 
  

HAK UNTUK KERJA KOREK PASIR HINGGA 40 TAHUN?

“Kalau dia kata, ‘Oh ini teruk, tak boleh jalan Dato’ Sri’. Okay (Kerajaan kata), berapa you boleh bayar? RM30 juta boleh bayar berapa lama? (Dalam tempoh) enam tahun (kata pihak swasta berkenaan). (Maka) satu tahun (swasta bayar secara ansuran kepada Kerajaan Negeri) RM5 juta,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Menurutnya, jika mekanisme ini diguna-pakai, ia dapat menyelesaikan banyak perkara tentang hasil pendapatan negeri khususnya ke arah meningkatkannya.

“Jadi, kita ada cara kita untuk menstrukturkan ‘revenue-earner’ kita (daripada bergantung kepada punca pendapatan tradisional seperti hutan dan tanah, yang makin mengecil pada setiap tahun).

“InsyaAllah, saya akan kaitkan (libatkan) Kerajaan, swasta dan saya mungkin ‘co-opt’ satu-dua orang pembangkang, dan kita akan masukkan SPRM (ke dalam Special Purpose Vehicle yang bakal ditubuhkan),” katanya lagi.

Mengenai kerja-kerja mengorek pasir Sungai Pahang yang Kerajaan Negeri tawarkan kepada sebuah syarikat tempatan katanya, laporan mengatakan syarikat itu diberi hak mengerjakannya selama 40 tahun adalah tidak betul.

LAPORAN BERITA TENTANG USUL MENGECAM MYANMAR... Usul dibawa oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak. Dato' Sri DiRaja Adnan turut mengambil bahagian dalam perbahasan yang turut disertai oleh wakil rakyat pembangkang, sebelum usul diluluskan sebulat suara. 
 

JADUAL SEMULA KEPENTINGAN DALAM PASDEC HOLDINGS

Sebaliknya, ia ditawarkan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dalam tempoh Cuma 21 tahun, berdasarkan perjanjian dua pusingan, selama tujuh (7) tahun satu pusingan dengan pilihan satu pusingan tujuh (7) tahun lagi.    

“Yang sebenarnya, selepas banjir (besar yang melanda negeri ini pada tahun) 2014, kita carilah jalan untuk sesiapa sahaja buat ‘proposal’ untuk nak korek Sungai Pahang sebab ia salah satu (usaha) untuk mengurangkan banjir.

“Tak ada ramai orang yang masuk (tapi) syarikat ini masuk, (kemudian) keluar suratkhabar baru-baru ini mengatakan dia (syarikat itu) diberi hak untuk menjalankan kegiatan selama 40 tahun! Tak ada orang yang tak terkejut. Semua orang terkejut, tersentap,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh mengenai langkah-langkah penjadualan semula kepentingan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia – PASDEC Holdings Bhd.

Ketika disenaraikan pada tahun 1997 katanya yang juga Pengerusi PKNP, pegangan saham PASDEC Holdings Bhd ialah 51.65 peratus oleh PKNP manakala selebihnya, 48.35 peratus oleh pemegang awam.

ELAK DARIPADA BAYAR HUTANG RM800,000 SEBULAN

Namun, selepas penjadualan semula, kepentingan PKNP didalamnya hanya tinggal 30 peratus manakala selebihnya menjadi milik pemegang awam dan juga syarikat Jasa Imani Sdn Bhd, yang juga ialah tuanpunya Hotel Zenith di sini.

Menerusi langkah penjadualan semula ini katanya, dijangkakan ia bukan sahaja dapat menambah nilai atau, ‘enhance the value of the PASDEC shares in the stock market’, tetapi dapat turut menyuntik tunai (cash injection) ke dalamnya.

“Daripada kita meneruskan keadaan kita (PASDEC Holdinsg Bhd) berhutang RM80 juta, kemudian itu membayar setiap bulan RM800,000 bersamaan dengan dua atau tiga buah rumah banglo, lebih baiklah kita membuat penstrukturan semula ini,” tegasnya.

Sebelum itu pada awal ucapan penggulungannya, beliau telah menarik perhatian Dewan Undangan Negeri ini kepada apa yang diperkatakannya mengenai kekayaan, hingga menyebabkan berlakunya jurang dan ketidak semimbangan antara yang miskin dan kaya.

“Wealth creation leads to wealth accumulation; wealth accumulation leads to wealth concentration; wealth concentration leads to income gap; income gap leads to inequality,” katanya.

BAJET NEGERI 2017 LULUS SEBULAT SUARA

Dan beliau menterjemahkannya betapa, mencipta kekayaan boleh membawa kepada pengumpulan kekayaan; yang apabila kekayaan telah dikumpulkan, ianya akan membawa kepada keadaan kekayaan pada yang tertentu sahaja;

“Akhir-akhirnya, ada jurang antara orang kaya dengan orang miskin; dan akhir-akhirnya menjurus kepada ketidak-samaan. Itu sebab, memang tidak ada kesamaan antara sesorang itu;

“… tetapi, tanggungjawab Kerajaan ialah memastikan golongan yang patut dibantu, dibantu. Itu kerja kita,” tegasnya.

Bajet Negeri 2017itu – yang dibahas sejak Selasa, 22 November selepas pembentangannya pada Isnin, 21 November; kemudian diluluskan sebulat suara oleh kesemua 42 wakil rakyat negeri – daripada parti Kerajaan atau pembangkang. – Khabar