Tuesday 27 December 2016

Rumah Makmur – rumah teres setingkat, RM80,000 sebuah pula.


... lanjutan kepada kejayaan PR1MA Pahang; kini menyasarkan golongan rendah dan sederhana rendah, berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan

 
NOTA EDITOR;

Berikut ialah antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada Januari, 2017.

Sama-samalah kita memanfaatinya.    

MODEL RUMAH MAKMUR BERTIANG, DI KAMPUNG TIRAM...

 
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dengan kejayaan lebih 35,000 unit rumah kembar setingkat RM150,000 sebuah yang sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

Dan ini sudahpun melampaui lebih sekali ganda daripada sasaran 15,000 unit untuk dibina dalam tempoh lima (5) tahun antara 2014 dan 2018 sepertimana akujanji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lepas (tahun 2013);

Tumpuan Kerajaan Negeri kini ialah ke arah membina Rumah Makmur - rumah teres setingkat bernilai RM80,000 sebuah dengan sasaran terhadap golongan rendah dan sederhana rendah, berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan pula.

Ini telah pertama kali disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob semasa kempen Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Rompin di Pontian Jaya dekat Kuala Rompin pada pertengahan tahun lepas.

“Sekarang ini, kita akan buat pula rumah yang berharga RM80,000 ke bawah. Kita dah beritahu mana-mana (pihak) yang berminat, dia boleh buat rumah (berharga) RM80,000 ke bawah,” katanya dalam ucapan luar teks 27-minitnya pada Majlis Pelancaran PR1MA Pahang pagi Isnin, 4 Mei (2015) di sana.

LEBIH 1,200 UNIT RUMAH MAKMUR SEDANG DIBINA 

Selepas itulah, usaha digerakkan dengan giatnya bagi merealisasikan pelaksanaan ‘produk’ perumahan baharu di bawah PR1MA Pahang ini dengan yang pertama di kenalpasti ialah sebuah kawasan seluas 100 ekar di Kampung Tiram, Indera Mahkota dekat sini.

Di Kampung Tiram ini, sebanyak 563 unit Rumah Makmur kini dalam peringkat pembinaan. Oleh kerana letaknya di tepi Sungai Kuantan dan pula sering dilanda banjir, rumah teres dengan luas binaan minimum 800 kaki persegi di sini ialah bertiang.

Lanjutan kepada itu, tiga (3) lagi kawasan dikenalpasti dan kini dalam pelbagai peringkat pembinaan iaitu di kawasan seluas 122 ekar di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Maran; seluas 73.7 ekar di Kuala Lanar, Lipis; dan, seluas 100 ekar di Keratong, Rompin.

Di Bandar Tun Abdul Razak, jumlah yang akan dibina ialah sebanyak 189; di Kuala Lanar, 290 unit, dan di Keratong, 200 unit.

Jika harga rumah kembar RM150,000 adalah murah, lebih murah daripada harga di pasaran kira-kira RM300,000 sebuah; harga Rumah Makmur yang sebuahnya RM80,000 juga adalah juga lebih murah daripada harga di pasaran kira-kira RM160,000!

AKSES LEBIH LUAS KEPADA RUMAH MAMPU-MILIK

Menurut maklumat yang diperolehi daripada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, projek Rumah Makmur ialah penambah-baikan kepada PR1MA Pahang, dengan matlamat untuk memberi akses perumahan mampu milik yang lebih luas kepada rakyat-jelata.

Selain berkeluasan mempunyai luas binaan minimum 800 kaki persegi di atas tanah berkeluasan 1,100 kaki persegi; spesifikasi lain Rumah Makmur ini ialah – tiga (3) bilik dengan bilik tidur utama berkeluasan 160 kaki persegi manakala dua (2) bilik tidur lain ialah masing-masing 120 kaki persegi.

Terdapat dua (2) bilik air, bumbung daripada bahan ‘metal deck’ dan jubin konkrit; kemasan lantai untuk ruang-ruang tamu dan makan, serta dapur dan bilik air ialah jubin seramik manakala untuk  bilik tidur ialah lepaan simen.

Bagi menjayakan pembinaannya, Kerajaan Negeri menetapkan pihak pemaju membina   sekurang-kurangnya 50 peratus atau lebih jenis Rumah Makmur RM80,000 ini manakala selebihnya, mereka dibenarkan membina projek pembangunan bercampur atau komersil.

Demi meringankan lagi beban pemaju, masih di peringkat cadangan agar bayaran   pelupusan  tanah atau premium  untuk projek perumahan ini dikecualikan. Namun, bayaran berkenaan untuk pembangunan bercampur atau komersil dikenakan berdasarkan nilaian yang ditetapkan   oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri.

KEUTAMAAN PEMOHON IALAH RAKYAT KDYMM SULTAN PAHANG

Mengenai kelayakan mereka untuk memohon mendapatkan Rumah Makmur ini pula telah disyaratkan mereka mestilah warganegara Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat  KDYMM Sultan Pahang;

Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan; keutamaan kepada yang berumur 40 tahun ke bawah; telah menetap di negeri ini secara terus-menerus tidak kurang lima (5) tahun; serta belum lagi memiliki rumah.

Prosedur pemilihan pula ialah - permohonan hendaklah melalui Bahagian Perumahan,  Pejabat   Setiausaha Kerajaan Negeri secara atas talian; 70 peratus peserta dipilih oleh Bahagian yang sama dengan pengesahan oleh wakil rakyat setempat dengan senarai dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri;

Baki lagi 30 peratus dipilih oleh pemaju dengan syarat-syarat kelayakan pemilikan sepertimana   ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan pula tawaran turut dikeluarkannya kepada peserta yang berjaya.

Dengan segala tindakan ini sahajalah diyakini, program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah di bawah Rumah Makmur, akan dapat dijayakan dengan berkesannya. – Khabar