Saturday 17 December 2016

Teratai rai kanak-kanak termasuk 20 anak-anak Rohingya, berkhatan



“… program ini turut membabitkan anak-anak Rohingya di bandar ini untuk melalui pengalaman berkhatan mengikut cara dan tradisi negara ini seperti kanak-kanak lain,” kata Datin Sri DiRaja Junaini Kassim.

POSE BERKUMPULAN... Datin Sri DiRaja Junaini yang disertai anggota-anggota Teratai lain, sedang bersesi foto kumpulan dengan anak-anak yang sedia memakai kain pelikat masing-masing sebelum mulanya acara sebenar - berkhatan. 

TUKAR KE BERBAJU-T, BERKAIN PELIKAT... Selepas sesi inilah, nama-nama dipanggil - 10 setiap panggilan; untuk naik ke bilik khas bagi kanak-kanak ini menjalani acara berkhatan yang turut dilakukan oleh Dato' Dr Khaled (kiri sekali). 
 

HOSPITAL PAKAR KPJ PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pahang (Teratai) dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Pahang telah menganjurkan Majlis Khatan Beramai-ramai pagi Sabtu, 17 Disember di sini.

Yang Dipertua Teratai, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim yang juga isteri kepada Menteri Besar, hadir ke sini tepat 8.30 pagi bersama-sama beberapa anggotanya, untuk menyempurnakan majlis perasmiannya.

Menyambut ketibaan ialah wakil Pengarah Perubatan hospital ini, Dato’ Dr Khaled Mat Hassan dan Pengurus Operasi, Encik Khairul Hasanain Abdul Hamid yang turut disertai oleh 71 kanak-kanak termasuk 20 anak-anak Rohingya serta ibubapa mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, Datin Sri DiRaja Junaini – selain mengalu-alukan kerjasama Hospital Pakar KPJ Pahang ini; turut menyambut baik penyertaan secara percuma anak-anak berkenaan serta anak-anak Rohingya.

Anak-anak Rohingya ini ialah mereka yang menerima pendidikan di Pusat Pembelajaran Rohingya Kuantan, Indera Mahkota 5, Bandar Indera Mahkota kira-kira 5 KM dari sini. Pusat Pembelajaran ini telah beroperasi dua (2) tahun sejak 2014.
 
DIARAK BAK MEMPELAI... Datin Sri DiRaja Junaini serta Dato' Dr Khaled dan Encik Khairul Hasanain (berbaju Melayu biru); mengiringi kanak-kanak ini yang diarak dengan bunga manggar dan bunga telur untuk acara bersiram. 
 

PENUHI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT  

“… program ini turut membabitkan anak-anak Rohingya di bandar ini untuk melalui pengalaman berkhatan mengikut cara dan tradisi negara ini seperti kanak-kanak lain,” kata Datin Sri DiRaja Junaini sepertimana dilaporkan oleh Berita Harian.

Majlis berkhatan ini turut dimeriahkan dengan acara bersiram oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Jalan Bukit Ubi dekat sini, selepas kanak-kanak ini diarak dari pintu masuk lobi utama ke kawasan parkir diiringi paluan kompang.

Media-massa tempatan turut membuat liputan acara ini termasuk dari stesen-stesen televisyen – Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 yang diwakili kru TV9nya dari Temerloh.

Dalam kenyataan akhbar Hospital Pakar KPJ Pahang yang diedarkan kepada pihak media, ia antara lain menyebut, menjadi tanggungjawap sosial korporat (CSR)nya dengan sokongan padu Teratai untuk sama-sama membantu anak-anak dalam kalangan yang memerlukan, dengan menawarkan perkhidmatan berkhatan tersebut secara percuma.

Bagi melancarkan lagi program menurut kenyataan akhbar sama, seramai 10 orang doctor termasuk Dato’ Dr Khaled, 30 orang jururawat serta 20 orang anggota pekerja sokongan dilibatkan.

SEMBURAN AIR KE ARAH ANAK-ANAK... Dengan bantuan peralatan disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datin Sri Junaini sedang menghalakan semburan air ke arah kana-kanak yang bakal dikhatankan di tingkat bawah bangunan hospital ini. 

LENCUN, BASAH KUYUPLAH MEREKA... 
 

BANGUNAN HOSPITAL 11-TINGKAT, 188 KATIL
 
Hospital Pakar KPJ Pahang ini merupakan hospital ke-26 dalam rangkaian hospital KPJ di negara ini. Beroperasi di bangunan 11-tingkat dengan kapasiti 188 katil, ia mempunyai keseluruhannya 25 orang pakar dan 369 anggota kerja.

Dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang yang diwakili oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini, hospital ini menawarkan perkhidmatan dan kemudahan perubatan yang canggih dan terkini.

Ini termasuklah dalam pemeriksaan jantung oleh pakar perunding jantung dengan sokongan rawatan angiogram dan angioplasty;  dewan pembedahan yang moden, perkhidmatan makmal, farmasi, CT Scan, MRI, dan fisioterapi.

“Selain itu, hospital ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pakar termasuk pakar perunding kanak-kanak, perkhidmatan pakar perunding tulang, pakar perunding sakit puan dan pakar perunding pembedahan,” menurut kenyataan itu lagi. 

SESI FOTO BUAT KENANGAN... Datin Sri DiRaja Junaini bersama-sama anggota-anggota Teratainya. – Khabar