Wednesday 12 April 2017

“… projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang

… sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Rabu, 12 April 2017.

DALAM MENYEMPURNAKAN TITAH DIRAJA...  

 
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah menitahkan agar projek RM55,000 juta bagi pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di negeri ini, hendaklah dimanfaati oleh rakyat Pahang khususnya para kontraktor dan pengusaha berkenaan.

Dalam menyampaikan Titah DiRaja 21-minit sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Rabu, 12 April di sini, Baginda antara lain menegaskan betapa;

“Kegiatan pelaburan yang berterusan penting untuk pembangunan ekonomi negeri kerana ianya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Pahang di negeri Pahang, disamping melahirkan kesan putaran (spin-off effect) ekonomi. Sesungguhnya ini baik untuk negeri Pahang.

“Sehubungan dengan ini – (atas) subjek ECRL, adalah harapan saya projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang”.

Yang segera menyusul ialah pertanyaan; “Betul tak?”, seseperti mahu mengesahkan lagi kebenaran titah-kata Baginda itu, disusuli kedengaran dan kelihatan Baginda sendiri tertawa kecil seketika.

MENYEMBAHKAN TITAH DIRAJA KE SISI KDYMM TUANKU... 
 

SAMBUTLAH CABARAN

“Saya harapkan, menjadi satu cabaran kepada semua kontraktor dan pengusaha di negeri Pahang (untuk merebut peluang tersebut). Sambutlah cabaran ini, Insya-Allah, mudah-mudahan, mereka dapat menikmati rezeki daripada spin-off effect ini secara lebih berkesan,” titah Baginda lagi.

Sebelum daripada itu, Baginda ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang telah berjaya mendapatkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dalam projek pembinaan ECRL sepanjang 620 KM itu.

Berikut ialah teks penuh titah ucapan Baginda;
 
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan i’nayah-Nya, dapat saya melafazkan Titah DiRaja bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang kali ke-13 pada pagi yang berbahagia ini.

Saya berasa amat berbesar hati kerana setiap kali persidangan dewan undangan negeri berlangsung, ianya telah berjalan dengan baik dan lancar. Ini dibantu pula oleh komitmen dan juga rasa tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat yang sentiasa mengambil bahagian dalam perbahasan, dengan memberikan pandangan membina yang boleh meningkatkan kemakmuran negeri Pahang yang tercinta ini.

MENGAMINKAN DOA SELEPAS SELESAI...

 MEMASTIKAN KERAJAAN NEGERI YANG ADIL DAN BERJIWA RAKYAT

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan atas kecekapan mengendalikan persidangan Dewan.

Kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kerana sentiasa komited dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri yang adil dan berjiwa rakyat.

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua jabatan yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat pada setiap kali perbahasan Dewan ini berlangsung.

Saya gembira melihat pertumbuhan ekonomi negeri Pahang Darul Makmur yang terus kukuh ke arah pembangunan positif. Kerajaan Negeri telah mengunjurkan prospek pertumbuhan ekonomi negeri Pahang pada kadar 4.6 peratus bagi tahun 2017 berbanding dengan kadar 4.3 peratus pada tahun 2016.

Saya sedia maklum bahawa, Kerajaan telah meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 mulai tahun 2016.
 

SUASANA CERIA SEBELUM BERMULANYA...


KERAJAAN NEGERI SENTIASA SOKONG USAHA KERAJAAN PERSEKUTUAN

Saya amatlah gembira dengan pelaksanaan sebanyak 141 projek baharu dan 190 projek sambungan dengan kos RM2.4 bilion di negeri saya bagi tahun 2016. Saya berharap Rancangan Malaysia Ke-11 akan diteruskan dengan memberikan keutamaan kepada rakyat dan kemakmuran negara. 

Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa berusaha mengangkat agenda pembangunan rakyat dalam merangka rancangan pembangunan negara kita.

Saya percaya dan yakin bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, akan melaksanakan semua program di bawah Rancangan Malaysia ke-11 ini dengan lebih berkesan. 

Kerajaan Negeri saya akan sentiasa memberikan sokongan atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan berharap ianya akan  meningkatkan  pembangunan ekonomi di negeri saya.

Saya berharap sektor pertanian dan penternakan di negeri ini akan dapat terus diperkasakan bagi menzahirkan hasrat negara memaksimakan pendapatan melalui sektor ini. Saya berharap agar sektor pertanian terus berkembang maju.

MENUNGGU KEBERANGKATAN TIBA DI LUAR DEWAN...


PENGELUARAN SUSU SEGAR MENINGKAT 18 PERATUS 

Saya gembira dengan peningkatan sebanyak 18 peratus nilai pengeluaran susu segar di negeri ini bagi tahun 2016. Ini menunjukkan industri penternakan mampu menyumbang kepada peningkatan sumber ekonomi yang mampan dalam industri pertanian. 

Saya juga ingin melihat negeri Pahang terus menyumbang kepada usaha untuk negara mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk negara. Ini penting bagi mencapai matlamat ‘food security’ untuk negara yang masih mengimport bahan makanan untuk rakyat.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana nilai pelaburan di negeri Pahang telah meningkat kepada RM5.2 bilion pada tahun 2016 berbanding 3.9 bilion bagi tahun 2015.

Saya yakin peningkatan pelaburan ini mampu memberikan manfaat ekonomi yang berterusan kepada rakyat negeri ini.

Saya turut mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang telah berjaya mendapatkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dalam pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 KM yang bernilai RM55 bilion yang sangat diperlukan bagi pembangunan negeri Pahang.

Kegiatan pelaburan yang berterusan penting untuk pembangunan ekonomi negeri kerana ianya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Pahang di negeri Pahang, disamping melahirkan kesan putaran (spin-off effect) ekonomi. Sesungguhnya ini baik untuk negeri Pahang.

BETUL TAK?

Sehubungan dengan ini – (atas) subjek ECRL, adalah harapan saya projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang. Betul tak?

Ini saya harapkan menjadi satu cabaran kepada semua kontraktor dan pengusaha di negeri Pahang. Sambutlah cabaran ini, insya-allah, mudah-mudahan mereka dapat menikmati rezeki daripada spin-off effect ini secara lebih berkesan.

Pembangunan modal insan penting bagi negeri Pahang untuk terus berkembang dalam semua bidang kehidupan di negeri ini. Saya gembira dengan usaha-usaha Yayasan Pahang dalam peningkatan akses dan kecemerlangan pendidikan di negeri saya. 

Saya dimaklumkan akan pemberian biasiswa kepada mereka yang layak sebanyak RM6.9 juta melalui program Biasiswa Sekolah Rendah, manakala RM19.2 juta melalui program Biasiswa Sekolah Menengah. 

Dan saya turut mengharapkan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja akan terus memainkan peranan proaktif bagi membantu usaha Kerajaan membangun dan memantapkan pembangunan modal insan di negeri ini. 

AKAN BINA 21 KLINIK 1MALAYSIA

Usaha-usaha seperti bantuan pendidikan dan penyediaan kursus-kursus berkaitan hendaklah dilipatgandakan bagi tahun 2017. 

Perkhidmatan kesihatan perlu terus diperkukuhkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Berikutan itu, saya  mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang terus berusaha kuat dalam melanjutkan perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik kesihatan terpilih sehingga 9.30 malam selain meningkatkan bilangan Klinik 1Malaysia ke 21 buah klinik di seluruh negeri Pahang.

Saya juga gembira dengan pendekatan menaiktaraf semua klinik kesihatan desa yang memfokuskan kepada perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak menjadi klinik kesihatan jenis 7 yang akan mempunyai perkhidmatan pesakit luar dan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Saya mengambil maklum bahawa sumber hutan terus menjadi tulang belakang kepada agen pembangunan bagi negeri Pahang Darul Makmur.

Bagi tahun 2016, industri berasas kayu dan eko-pelancongan telah menyumbang kepada hasil kerajaan negeri berjumlah RM96 juta dan dijangka akan terus meningkat bagi tahun 2017.

SOKONG SARANAN MENTERI BESAR SUPAYA TEROKAI SUMBER-SUMBER BAHARU

Walaupun hasil hutan terus meningkat, saya turut menyokong penuh saranan Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, semasa membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur 2017 supaya meneroka sumber-sumber baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil hutan dan bumi bagi meningkatkan hasil pendapatkan negeri demi pembangunan negeri tercinta ini. 

Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua pihak memberi kerjasama dalam meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Negeri Pahang. 

Saya berharap dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, selain dapat memberikan impak positif kepada ekonomi negeri ianya hendaklah turut mengambilkira kepentingan pemuliharaan alam sekitar. 

Saya ingin mengingatkan Kerajaan saya semula supaya memberikan keutamaan kepada pemuliharaan alam sekitar dalam melaksanakan semua rancangan pembangunan. Kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti tanahtinggi, punca air dan yang seumpamanya mestilah diambil kira dalam melaksanakan setiap rancangan pembangunan. 

Ini perlu kerana negeri dan isi kandungannya bakal diwarisi oleh generasi yang akan datang. Kita wajib meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada generasi akan datang. 

ALAM SEKITAR SEMPURNA BOLEH GALAKKAN PELANCONGAN 

Keadaan alam sekitar yang baik dan sempurna serta dikawal rapi boleh menggalakkan kegiatan pelancongan di negeri ini. Kegiatan pelancongan yang progresif boleh membantu mewujudkan kegiatan putaran ekonomi yang baik untuk negeri ini.

Semua agensi mestilah berganding bahu dalam perkara ini dan penceroboh tanah-tanah kerajaan mestilah diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan masa depan rakyat akan sentiasa terjamin.

Agama Islam akan terus menjadi teras utama di negeri Pahang ini. Saya berharap semua agensi dan jabatan di negeri Pahang mendokong asas yang sama dalam pengurusan pembangunan Islam di negeri Pahang. 

Ini mampu untuk memberi gambaran yang baik dan membina perpaduan dikalangan rakyat saya. Program-program keagamaan yang dekat di hati rakyat perlu diberi nilai tambah agar ianya dapat melahirkan masyarakat yang besatu padu dan sentiasa berkasih sayang.

Saya difahamkan terdapat pelbagai program seperti program hafazan al-Quran, program tilawah al-Quran, program latihan khas qari dan qariah serta program pembangunan al-quran telah dilaksanakan pada tahun 2016 bagi memantapkan kualiti pembacaan dan penghayatan al-Quran.

RUMAH MAKMUR DAN PR1MA PAHANG

Saya mengucapkan tahniah kepada semua agensi agama Islam yang terlibat didalam program ini semoga usaha murni ini akan  terus berkekalan.

Saya amat memahami dan sangat bersimpati dengan rakyat saya yang sebilangan besarnya masih lagi dihimpit oleh tekanan sara hidup yang semakin meningkat. Kita memahami bahawa ekonomi negeri dan negara kita terkesan oleh keadaan dan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Dalam hal ini saya berharap Kerajaan saya terus memberikan perhatian dan mencari jalan bagaimana golongan rakyat yang terhimpit ini dapat dibantu. Bantuan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan, golongan miskin, mereka yang menghidap penyakit kronik hendaklah dibantu secara berterusan sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan selama ini. 

Bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat, saya sangat berbangga dan mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah mewujudkan program rumah mampu milik iaitu rumah makmur dan rumah PR1MA Pahang. 

Saya difahamkan sehingga kini Kerajaan Negeri telahpun meluluskan sebanyak 102 projek PR1MA Pahang dengan lebih 37,000 unit rumah. Manakala bagi Rumah Makmur yang mensasarkan golongan berpendapatan kurang daripada RM5,000 dan ke bawah, sebanyak lima (5) projek telah diluluskan melibatkan pembinaan sebanyak lebih kurang 1,900 unit rumah. 

LIPUTAN BEKALAN AIR BERSIH 

Saya turut sukacita dengan pencapaian Kerajaan saya yang telah berjaya meningkatkan liputan bekalan air bersih ke 98 peratus di seluruh negeri pahang dan 100 peratus bekalan di kawasan bandar.

Pada tahun 2017, RM89 juta telah diperuntukkan bagi tujuan menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaiktaraf sistem yang sedia ada. Saya berharap dengan peruntukan ini, bekalan air bersih bagi rakyat saya di luar bandar akan dapat dipertingkatkan lagi daripada 96 peratus. 

Di kesempatan ini juga, saya turut ingin mengingatkan semua penjawat awam negeri saya supaya sentiasa memastikan integriti di tahap tertinggi dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai penjawat awam bagi memberikan manfaat terbaik kepada rakyat saya.

Pada pagi yang berbahagia ini, saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia atas segala bantuan dan sokongan yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri saya dalam usaha membangunkan negeri dan membantu rakyat negeri Pahang Darul Makmur.

Saya juga melafazkan ucapan terima kasih kepada Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur untuk kepentingan dan faedah rakyat sekelian.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk, taufik dan hidayahnya dalam apa jua yang kita lakukan untuk kebaikan bersama negeri Pahang ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar