Monday 29 May 2017

“Amat sedih jika kenikmatan yang kita miliki sekian lama musnah berkecai kerana tercetusnya pergolakan yang bertentangan dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri,” titah KDYMM Sultan Pahang


… pada Majlis Pelantikan Menteri Besar, 18 tahun lepas


NOTA EDITOR; 

Berikut disiarkan kembali laporan berita tentang pelantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (ketika itu Dato’) sebagai Menteri Besar Pahang ke-14, sepertimana tersiar dalam Khabar Pahang versi cetak Bil 3 Tahun Pertama Tahun 1999.

Penyiaran semula ini adalah bersempena 18 tahun beliau selaku Menteri Besar, sejak pelantikan ke jawatan tersebut pada 25 Mei 1999.

Sama-samalah kita memanfaatinya.  

SEPERTIMANA LAPORAN BERITA KHABAR PAHANG, HALAMAN 4 DAN 5...


ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – KDYMM Sultan Pahang bertitah, semangat patriotisme dikalangan rakyat-jelata harus didorong melalui motif memantapkan kestabilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. 

Sikap berpuak-puak titah Baginda, boleh mengancam usaha mentadbirkan pembangunan negeri dan menjejaskan kestabilan negeri. 

“Amat sedih jika kenikmatan yang kita miliki sekian lama musnah berkecai kerana tercetusnya pergolakan yang bertentangan dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri,” titah Baginda pada Majlis Pelantikan Dato’ Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar pada 25 Mei, di sini. 

Dato’ Adnan menggantikan Dato’ Sri Mohd Khalil Yaakob yang berpindah ke Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Penerangan berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Dato’ Sri Mohd Khalil juga dilantik sebagai Setiausaha Agong UMNO. 

Dalam menjalan tugas, titah KDYMM Sultan Pahang lagi, bagaimana besar bidang kuasa yang dipegang oleh sesiapapun, keputusan muktamad yang diambil sebaik-baiknya adalah dengan mengambil kira pendapat daripada pelbagai pihak. 

BERMESYUARAH, BERMUAFAKAT

“… bermesyuarah, bermuafakat hingga sampai ke persetujuan yang munasabah, dan kita seharusnyalah selalu menghargai serta berterima kasih atas pendapat dan nasihat antara satu sama lain seperti maksud Al-Hadith Riwayat Ahmad;

“Sesungguhnya sekasih-kasih hamba di sisi Allah ialah orang yang menasihati orang lain kerana mencari keredhaan Allah,” titah Baginda. 

KDYMM Sultan Pahang seterusnya bertitah, Baginda memang sedar betapa beratnya amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas Dato’ Adnan namun bermula dengan keikhlasan hati, InsyaAllah, segala urusan akan mendapat keredhaan Allah SWT. 

Sebagai Raja Pemerintah, Baginda mengharapkan agar paradigm pembangunan negeri dapat dilaksanakan sejajar dengan matlamat untuk merealisasikan negeri ini yang aman-makmur untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Baginda. 

“Saya menaruh penuh kepercayaan kepada Orang Tua Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya mendapat kerjasama daripada semua pihak, wakil rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat-jelata,

BERSATU-PADU GEMBLING TENAGA DAN FIKIRAN 

“Untuk bersatu-padu menggembling tenaga dan fikiran sambal memberi khidmat bakti demi mencapai kemajuan, kejayaan dan kemakmuran untuk sama kita menikmatinya,” titah Baginda lagi. 

Baginda juga bertitah tentang harapan Baginda semoga hubungan rapat antara Kerajaan Negeri dan Istana, juga sesame rakyat; dapat dieratkan dengan mesra, saling hormat-menghormati, faham-memahami yang berkekalan. 

Dalam pada itu, Baginda mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Sri Mohd Khalil kerana jasa perkhidmatannya dengan ikrar taat-setia selama menjalankan tugas dengan cemerlang. 

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas atas pelantikan Tan Sri (Dato’ Sri Mohd Khalil) menganggotai barisan kabinet negara. 

Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata‘ala merestui dan memberi petunjuk serta kekuatan untuk Yang Berhormat menjalankan amanah, tanggungjawab dan perkhidmatan dengan adil dan bijak,” titah Baginda lagi. 

Sebelum persembahan titah ucapan, Dato’ Adnan telah mengangkat sumpah jawatan di depan Baginda. Yang turut berangkat ialah KDYTM Tengku Mahkota Pahang serta YAM Tengku Muda Pahang. – Khabar