Friday 19 May 2017

Majikan perlu lebih bertanggungjawab, pinta Timbalan Perdana Menteri berkaitan pengeluaran PLKS dan E-Kad kepada pekerja asing


… selepas Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid mempengerusikan bersama dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan, Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands

MEMPENGERUSIKAN BERSAMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memperkatakan sesuatu pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands.


BILIK MESYUARAT, PEJABAT DAERAH DAN TANAH, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta majikan di kawasan tanahtinggi ini supaya lebih bertanggungjawab dalam urusan mereka berkaitan pekerja asing.

Sambil itu beliau mengingatkan mereka supaya tidak menidakkan usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memberikan permit kepada para pekerja mereka termasuk yang telah tamat tempoh atau berada di tanahtinggi itu tanpa permit sah.

Menurut laporan BERNAMA, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid telah menegaskan betapa usaha yang dilakukan Kerajaan termasuk mengeluarkan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan E-Kad kepada para pekerja, adalah bertujuan membantu mereka (majikan).

“Jabatan Imigresen telah diminta mengeluarkan PLKS dan E-Kad kepada pekerja asing di sini. Mereka diminta bekerjasama dengan majikan terlibat untuk mendapatkan dokumen pekerja daripada kedutaan atau pejabat pesuruhjaya di kedutaan negara asal pekerja.

“Kita mengharapkan majikan lebih bertanggungjawab kerana kita berhasrat untuk membantu mereka,”
kata Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid pada persidangan media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang Jumaat, 19 Mei di sini.

MASALAH ORANG ASLI SUNGAI TIANG DIAMBIL BERAT... Sebaik-baik selepas mesyuarat, Dato' Sri Dr Ahmad Zahid yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan telah turun padang termasuk ke Sungai Tiang di Lembah Bertam, bagi meninjau masalah Orang Asli di situ. 


SEMAK SEMULA 600 PERMOHONAN LPS YANG DITOLAK

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mesyuarat turut memutuskan agar semakan dan penilaian semula ke atas lebih 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di tanahtinggi itu dibuat selepas ia ditolak sebelum ini.

Perbincangan lanjut mengenainya menurutnya, akan dilakukan dan diputuskan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan mengambil kira faktor ekonomi serta kemanusiaan terhadap mereka yang terlibat.

Kerajaan Negeri tersebut juga diminta mempertimbangkan pemberian permit penggunaan tanah kepada pengusaha-pengusaha haram yang telah mengusahakan tanah di kawasan hutan simpan kekal seluas 217.3 hektar, sejak 30 tahun lepas.

“Kita juga putuskan untuk memberikan peranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju bagi melakukan pemantauan bersama kerajaan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi yang terlibat secara berkala,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemantauan berkala itu penting untuk menentukan tidak berlaku pencerobohan secara haram atau hakisan yang boleh menyebabkan banjir luar biasa atau permasalahan yang mengakibatkan kerosakan alam sekitar di tanah tinggi itu.

SAMBUTAN MESRA ORANG ASLI SUNGAI TIANG ATAS KEDATANGAN PEMIMPIN-PEMIMPIN UTAMA KITA... 


GOTONG-ROYONG BERSIHKAN SALIRAN BAGI ELAK BANJIR KILAT

Mesyuarat hari ini juga turut memutuskan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan secepat mungkin program gotong-royong bersama jabatan lain, masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan untuk usaha pembersihan semua saliran bagi mengelak kejadian banjir kilat.

“Saya dimaklumkan oleh MB Pahang ada kenderaan pacuan empat roda dibuang ke tempat saluran itu. Saya mahu pengusaha dan majikan lebih bertanggungjawab, jangan mengaut keuntungan dengan meninggalkan masalah,” tegasnya.

Beliau juga berkata, penempatan baharu turut akan dibina di kawasan yang telah dikenal pasti untuk menangani masalah perumahan 28 keluarga Orang Asli di Sungai Tiang dekat sini, selain melaksanakan program integrasi di Sungai Tiang serta baik pulih kawasan lereng bukit.

“Kita juga telah memutuskan agar rumah-rumah kedai yang telah disita untuk dipertimbangkan LPS dengan penggunaan levi dan bayaran tertentu mengikut perundangan negeri Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah.

“Semua langkah yang telah diputuskan ini merupakan langkah proaktif yang diputuskan jawatankuasa ini dan merupakan kerjasama pintar untuk seluruh pengusaha serta penduduk Cameron Highlands,”
katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan; yang turut hadir pada mesyuarat kira-kira sejam itu ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Mohd Ishak Md Napis. – BERNAMA/Khabar