Friday 1 December 2017

Peliharalah perpaduan sesama Islam, titah KDYMM Pemangku Raja


“… keunikan Malaysia yang dilambangkan dengan keharmonian kaum, perlu dihargai dan jangan kita mensia-siakan keamanan serta kedamaian yang wujud di negeri ini,” titah Baginda yang teksnya dibacakan oleh Menteri Besar.

BERSAMA-SAMA PENERIMA ANUGERAH... Dato' Sri DiRaja Adnan yang ditemani Dato' Syed Ibrahim dan Dato' Mohd Nor; sedang bersesi foto berkumpulan dengan para penerima anugerah termasuk Dato' Rahimah (duduk).


MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta‘in Billah menitahkan umat Islam di negeri ini supaya terus berusaha memelihara dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Baginda bertitah, usaha itu bukan hanya terletak pada bahu Kerajaan yang memerintah tetapi perlu turut dilaksanakan secara menyeluruh oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta setiap individu.

“Pada masa sama, keunikan Malaysia yang dilambangkan dengan keharmonian kaum perlu dihargai dan jangan kita mensia-siakan keamanan serta kedamaian yang wujud di negeri ini.

“Sama-samalah kita bersatu dalam menjaga negara daripada diceroboh oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri pagi Jumaat, 1 Disember di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang mewakili Baginda pada majlis ini sepertimana Berita Harian melaporkan, telah membacakan teks titah ucapan Baginda itu.  

DUDUK SAMA RENDAH... Bersama-sama para kenamaan dan antara yang turut kelihatan sambil merakamkan suasana majlis dengan 'smartphone'nya (kanan sekali) ialah Tan Sri Abdul Aziz. 


LIMA (5) PENERIMA ANUGERAH

Seramai lima (5) orang dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Negeri ini, dengan setiap seorang menerima trofi, wang tunai serta sijil yang antaranya ialah bekas wakil rakyat negeri (BN – Tahan), Dato’ Rahimah Muhammad Kawi, 80.

Beliau yang ditemui kemudiannya telah menyifatkan penerimaan anugerah kepadanya sebagai satu penghargaan ekoran sumbangannya dalam menganjurkan banyak aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di daerah-daerah Jerantut dan Lipis.

Dato’ Rahimah yang juga antara wanita terawal dipilih sebagai wakil rakyat pada era akhir 1980-an berkata, beliau tidak pernah bermimpi untuk menerima anugerah itu kerana usaha dan sumbangannya selama ini semata-mata mahu membantu orang ramai dan untuk kepuasan sendiri.

“Saya seronok melihat orang bertambah maju dan bijak, pelbagai cara dilakukan seperti mengajar membaca di kelas dewasa selain kelas agama untuk saudara baharu Orang Asli di sekitar daerah Jerantut.

“Jika ada yang susah, kita beri bantuan seikhlas hati. Jika ada anak orang kampung dapat peluang mengaji (belajar) tinggi, kita usahakan dapat biasiswa Yayasan Pahang.

MENYERTAI PERARAKAN... 


ADA YANG DITOLONG, JADI BERJAYA

“Bila mereka ucap terima kasih, kita sudah seronok dan tambah gembira bila berjumpa semula, ada yang masih ingat saya walaupun sudah tua dan mereka telah menjadi orang berjaya,” katanya.

Selain aktif dalam politik, Dato’ Rahimah juga membabitkan diri dalam pelbagai NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita cawangan Kuala Lipis.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; 

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Presiden, Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Roslan Harun; dan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Nor Abdul Rani. – Khabar