Wednesday 24 January 2018

Manifesto realistik!

… ciri utama Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini.

“Realistik, yang boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan apa yang kita boleh capai (laksanakan),” tegas Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri.  

BERMOTOSIKAL DALAM KAWASAN KAMPUNG... Kaedah pengangkutan yang paling praktikal dalam kawasan kampung. Sebagai Menteri Besar yang sentiasa berjiwa kampung, beliau tidak kekok untuk menunggang motosikal milik Penghulu Mukim Pahang Tua, Encik Rohaizad (tak kelihatan, tapi yang membonceng) ini. 


PADANG AWAM, KAMPUNG PAHANG TUA, PEKAN – Dalam pada usaha me‘refine-tune’kan lagi penyediaan dan penyiapan Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa ciri utama Manifesto ini kelak ialah yang realistik, yang mampu dilaksanakan oleh Kerajaan BN demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Realistik, yang boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan apa yang kita boleh capai (laksanakan),” katanya pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Jelapang Padi IADA Pekan tengah hari Rabu, 24 Januari di sini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengenai persiapan BN Negeri bagi menghadapi PRU berkenaan, termasuk tentang manifesto serta calon-calon yang bakal diketengahkan.                  

“Manifesto ini sebenarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… kita siap sudah lama tapi saya minta – ada satu pasukan saya, untuk menyusun dengan lebih kemas lagi.

MELAYANI SOALAN-SOALAN WARTAWAN KHUSUSNYA TENTANG PERSIAPAN BN NEGERI BAGI HADAPI PRU-14... 


TAK JANJI APA YANG TAK BOLEH TUNAIKAN

“Sebab kitapun tak boleh hendak tawarkan banyak… Kalau tawar banyak nanti susahlah. Katalah saya tawarkan, air percuma… Tanah duduklah tak payah bayar (premium tanah)… ‘Assessment’, ‘free’…

“Memang (boleh) menang pilihanraya tapi nak memerintah macam mana? Duit tak ada (yang boleh dikutip daripada pengenaan kadar-kadar tertentu daripada perkhidmatan pembekalan air dan tanah tersebut). Kita kena realistik,” tegasnya.

“Kita kena janji apa yang kita boleh buat, apa yang kita boleh tunaikan. Kalau kita tak boleh tunaikan, kita tak buat janji, walaupun janji itu (yang) cantik(-cantik),” katanya lagi.
Dan manifesto kali ini sepertimana yang sudah-sudah katanya, akan ‘covers all’ atau meliputi semua – tentang hal-hal pelajaran, kebajikan masyarakat, kerajaan tempatan, ugama Islam dan ugama bukan Islam, pertanian dan belia.

Mengenai calon khususnya yang melibatkan dari parti UMNO di negeri ini katanya, senarainya telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

PRESIDEN PARTI BUAT KAJIAN TENTANG CALON

“Presiden parti akan buat kajian melalui berbagai-bagai rangkaian yang beliau ada. Terpulanglah. Tapi saya tak percaya kalau wakil rakyat kerja kuat, boleh menang; akan diketepikan,” katanya.

“Saya telahpun beritahu Presiden MIC, Presiden MCA – kita mesti pilih calon siapa yang orang mahu, bukan kita pilih calon yang Presiden mahu. Kalau kita pilih calon siapa yang orang mahu, insyaAllah kita boleh menang.

“Kalau ibarat kata kampung itu, kawasan itu dia (rakyat/pengundi) nakkan tokoh ugama, kita letak tokoh ugama. Kalau dia nakkan profesional, kita letak profesional (sebagai calon BN untuk bertanding di kawasan berkenaan),” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata betapa pada keseluruhannya, negara ini telah ditadbir dan diurus dengan baik maka rakyat dimintanya, tidak terpengaruh dengan segala dakyah yang disebarkan oleh pihak pembangkang.

“Jangan dengar dakyah-dakyah. Namanya(pun) dakyah, bukan fakta (tetapi) dakyah, propaganda.

BOHONG YANG DIULANG-ULANG, ORANG AKAN AKHIRNYA PERCAYA

“Propaganda dengan dakyah ini tak betul. Itu sebab zaman (Adolf) Hitler dia panggil propaganda. Menteri Propaganda dia, (Joseph) Goebbels yang menyatakan – pembohongan ini kalau diulang banyak-banyak kali orang akan percaya.

“Ha, ini yang dibuat oleh pembangkang ini. Ulang, ulang, ulang, ulang (dakyah-dakyah berkenaan supaya rakyat akhirnya percaya dan terpengaruh),” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberi contoh isu 1MDB yang masih dimainkan oleh pihak pembangkang sedangkan langkah-langkah pembetulan telahpun diambil termasuk dalam menstruktur semula hutang-hutangnya serta mengganti ahli-ahli lembaga pengarahnya.

“Perdana Menteripun,” katanya, “… telah menyatakan ada sikit kelemahan sana-sini. Ini Perdana Menteri yang baik, jujur-ikhlas menerangkan. Jadi, janganlah pula (pihak pembangkang) mengambil kesempatan”. – Khabar