Monday 12 February 2018

Sudah ‘long overdue’


… kata Dato’ Sri DiRaja Adnan tentang cadangan Kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengekang gejala penyebaran berita palsu

SATU UNTUK ALBUM... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sudi bersama-sama para peneroka/penerima suratan hakmilik tanah untuk dirakamkan foto secara berkumpulan dengan mereka. 


PERKARANGAN, DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA CHINI 3, PEKAN – Sambil menyambut baik cadangan Kerajaan Pusat untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengekang gejala penyebaran berita palsu terutamanya menerusi media sosial;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditemui wartawan tengah hari Isnin, 12 Februari di sini, menganggap usaha tersebut sebagai sesuatu yang sudah ‘long overdue’, yang sepatutnya diperkenalkan lebih awal lagi.

“… rang undang-undang ini – untuk mengekang berita palsu sebagainya, (sudah) ‘long overdue’. Patut dulu lagi dah buat,” katanya sebagai reaksi kepada soalan wartawan mengenai undang-undang yang hendak dirangkakan itu.

“Sebab, kalau kita tengok, kita perhatikan ‘social media’ (sekarang) ini, macam-macam benda; mengadu domba supaya orang berlainan ugama bergaduh, mengadu domba supaya berbagai-bagai kaum (ber)salah faham satu sama lain, mengadu domba sesama masyarakat sendiri…

“Kita menyokong sangat supaya setiap berita yang ditulis, dipertanggungjawabkan,” katanya lagi pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah bagi peneroka-peneroka Rancangan Tanah Felda 3 dan 5.

SERAHAN KEPADA YANG KURANG UPAYA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Abu Bakar. 


PERTANGGUNGJAWAPAN

“Kalau media ‘mainstream’, media arus perdana – kalau dia orang salah lapor, sesiapa sahaja boleh menyaman – menyaman akhbar, menyaman ‘reporter’, menyaman stesen tv yang mengeluarkan berita tu.

“Tapi kalau media sosial, semua orang boleh menjadi pemberita, macam mana? Jadi, kalau ada undang-undang ini, sekurang-kurangnya kita boleh mengekang, boleh ‘control’, terkawal berita-berita bohong ini,” katanya lagi.

Menurut rekod, undang-undang yang dicadangkan itu mula diperkatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman dengan menyebut tentang penubuhan sebuah jawatankuasa khas mengenainya.

Fungsi jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Cadangan terbaharu Kerajaan Pusat ini tidaklah sesuatu yang janggal memandangkan sekurang-kurangnya dua (2) negara maju – Britain dan Perancis turut mahu melakukan yang sama.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 34-MINIT, DENGAN GAYA BERSAHAJANYA... Yang turut kelihatan dalam foto ini selain Dato' Sri Abu Bakar ialah Dato' Rose Shamsul (kiri sekali, berbaju warna perang); Tan Sri Shahril; Dato' Haniff; dan Dato' Sri Ishak.  


BRITAIN, PERANCIS JUGA MAHU ADAKAN UNDANG-UNDANG BAHARU KAWAL BERITA PALSU

Perdana Menteri Britain, Puan Theresa May ada dilaporkan tentang tindakan Kerajaannya untuk menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum itupun, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron juga dilaporkan yang Kerajaannya akan memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Mengenai majlis pagi Isnin ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, lengkaplah sudah bagi kesemua 927 peneroka di kedua-dua Rancangan Tanah Felda 3 dan 5 memiliki suratan hakmilik tanah masing-masing.

Pada majlis ini, baki 229 peneroka – 80 dari Rancangan Tanah Felda Cini 3 dan lagi 139 dari Rancangan Tanah Felda Chini 5; menerima suratan hakmilik tanah masing-masing. Yang lain telah menerimanya sebelum ini.

“… di Felda Chini 3, Felda Chini 5 ini, lengkaplah, semua peneroka sudah dapat suratan hakmilik (tanah). Maknanya, apabila sampai masanya – syarat-syarat telah dipenuhi sebagai contoh bayaran premium, bayaran kembali telah selesai, maka geran akan diberi.

SIDANG HADIRIN, HADIRAT, PARA PENEROKA SEKELIAN... 


BAYANGKAN, JIKA TIDAK ADA RANCANGAN TANAH FELDA

“Bukan tujuan Kerajaan menyimpan geran ini lama-lama, tak. Boleh bagi terus kita bagi terus,” katanya.

Beliau seterusnya meminta para peneroka supaya sentiasa mengingati jasa dan susah-payah Allahyarham Tun Abdul Razak – Perdan Menteri kedua, mendapatkan idea untuk menubuhkan Rancangan Tanah Felda semata-mata untuk memberi peluang ekonomi kepada rakyat khususnya orang Melayu.

“Kita bayangkan kalau tidak adalah (Rancangan Tanah) Felda sekarang ini; di mana nak letak orang kita?

“Jadi saya merayulah, apapun fitnah yang melanda negara kita yang buruk-buruk, yang memburukkan Kerajaan khususnya Perdana Menteri; kita fikirlah balik apa yang kita nikmati sekarang ini.

“Kalau tidak adalah Kerajaan, kalau tidak adalah Allahyarhan Tun Hj Abdul Razak, tak jadi perkara ini semua. (Allahyarham) Tun pandang jauh. Itu namanya pandangan jauh, ‘vision’. Visi Allahyarham Tun Abdul Razak.

BERPERSIDANGAN MEDIA... Masih tidak menghampakan permintaan wartawan untuk mengadakan persidangan media ini. 


PELBAGAI IKHTIAR PERDANA MENTERI UNTUK TOLONG LAGI RAKYAT

“Sekarang ini Perdana Menteri (Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak), berbagai-bagai ikhtiar, cara untuk menolong, membantu rakyat. Pada ketika yang sama meletakkan negara kita di tempat yang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Barulah negara kita ini seimbang – dalam negara kita membangun (manakala) luar negara kita terserlah. Itu kita hendak,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Selain Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad; antara yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Sri Abu Bakar Harun yang juga wakil rakyat setempat (BN – Chini);

Timbalan Pengarah Besar Felda, Dato’ Haniff Ahmad Norilah; Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; serta, Yang Dipertua, Majlis Daerah Pekan, Dato’ Rose Shamsul Abdul Razak – Khabar