Tuesday 15 May 2018

Junjung kasih, Tuanku!


“Junjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku Sultan, KDYMM Pemangku Raja di atas pelantikan saya sebagai Menteri Besar.

“InsyaAllah, saya akan cuba menggalas tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin dan insyaAllah, Kerajaan Negeri juga akan berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat,” kata Menteri Besar Ke-15, Dato’ Sri Wan Rosdy

ANGKAT SUMPAH JAWATAN... 


BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – Menteri Besar baharu, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan junjungan kasih ke sisi KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.

“Junjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku Sultan, KDYMM Pemangku Raja di atas pelantikan saya sebagai Menteri Besar.

“InsyaAllah, saya akan cuba menggalas tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin dan insyaAllah, Kerajaan Negeri juga akan berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat.

“Kerana saya fikir banyak perkara yang perlu kita bincangkan dengan Kerajaan Pusat,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) petang Selasa, 15 Mei di sini.

Pada Istiadat yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy (BN – Jelai) telah dilantik sebagai Menteri Besar ke-15, mengantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MENERIMA, SURATCARA PELANTIKAN DARIPADA KDYMM PEMANGKU RAJA... 


DEMI KEMBALIKAN KEYAKINAN RAKYAT KEPADA BN

Lapan (8) yang lain pula dilantik sebagai Ahli MMK Negeri yang terdiri daripada Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin (BN – Lanchang); Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul); Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau);

Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman (BN – Guai); Dato’ Sri Johari Hussin (BN – Tioman); Dato’ Nazri Ngah (BN – Pulau Tawar); Encik Abdul Rahim Muda (BN – Lepar) dan, Dato’ Mohd Fakharuddin Arif (BN – Bebar).

Pelantikan-pelantikan ini sepertimana diumumkan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato' Sri Wan Wahid Wan Hassan, ialah bagi tempoh dua (2) tahun atau satu tempoh yang akan ditetapkan oleh Paduka Baginda Tuanku. 
  
Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang langkah dan usahanya selepas ini, dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN yang menduduki tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri.

“Kita akan melihat bagaimana untuk memenangi hati rakyat, memenangi minda rakyat. Ketika ini, terlalu awal untuk saya bercakap mengenai perkara ini.

“Tapi insyaAllah, bagi masa, saya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Exco, bersama-sama dengan ADUN, akan cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, insyaAllah,” katanya. – Khabar