Tuesday 22 May 2018

Portfolio-portfolio bagi Ahli-ahli MMK Negeri


“Harapan saya, yang pertama sekali harap mereka fokus, komited, dan mendalami fungsi yang telah mereka diamanahkan. Dan saya yakin mereka boleh melaksanakan…,” kata Menteri Besar

MEMPENGERUSIKAN PERTAMA KALI, MESYUARAT MMK NEGERI... Foto ini dirakam sebelum Dato' Sri Wan Rosdy mula mempengerusikan pertama kali, mesyuarat MMK Negeri kira-kira lapan hari selepas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar pada petang Selasa, 15 Mei. 

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; yang turut kelihatan ialah beberapa Ahli MMK dan Ahli Ex-Officio - Pegawai Undang-undang Negeri, Dato' Sri Shamsulbahri Ibrahim.  


PEJABAT DAERAH DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini, telah mengumumkan senarai portfolio bagi kesemua Ahli MMK.

Pengumuman ini dibuat kepada Ahli-ahli MMK terlebih dahulu semasa peringkat awal permulaan mesyuarat berkenaan, kemudian diulanginya pada persidangan media awal tengah hari Rabu, 23 Mei di sini.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau sendiri akan memegang empat (4) portfolio dengan dua (2) daripadanya akan diserahkan kepada dua (2) Ahli-ahli MMK yang baharu, yang telahpun disembahkan ke sisi KDYMM Pemangku Raja untuk diperkenankan.

Keempat-empat portfolio itu ialah - Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli; dan, Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Peladangan dan Bioteknologi

Portfolio-porfolio bagi meliputi lapan (8) Ahli MMK lain ialah –

DATO' SRI WAN ROSDY, PADA PERSIDANGAN MEDIA... Di sebelah mengiringinya pada persidangan media ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian. 


DATO’ SRI MOHD SHARKAR MASIH PEGANG PELANCONGAN

Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Badan-badan Bukan Kerajaan; Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, bagi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan; Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi.

Dato’ Sri Mohd Johari Husin, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan. Dato’ Nazri Ngah, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna.  

Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff, Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, dan, Encik Abdul Rahim Muda, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Dan sekiranya berlaku pelantikan dua (2) Exco lagi, saya akan lepaskan dua (2) portfolio kepada Exco baharu. Ini kita menunggu perkenan KDYMM Pemangku Raja untuk lantikan dua (2) Exco dalam masa yang terdekat,” katanya.

KITA BERFOTO KUMPULAN DULU... Sebelum bermulanya mesyuarat pagi Rabu, 23 Mei ini. 


AKAN ADA TAMBAHAN DUA (2) LAGI EXCO, JADIKAN 10

“Maknanya, ada cadangan penambahan Exco lagilah?” tanya wartawan BERNAMA dan beliau menjawab, “Ada, ada, ada. Sebab Perlembagaan Negeri (Undang-undang Tubuh Negeri Pahang) mengatakan boleh 10. 10 campur satu (1) MB”.

Menurutnya lagi, cadangan nama bagi tambahan kedua-dua jawatan Ahli MMK itu telahpun beliau sembah ke sisi KDYMM Pemangku Raja untuk mendapat perkenan Baginda.

Beliau juga berkata, portfolio-portfolio yang diberikan itu adalah berdasarkan pengalaman, ‘background’, dan pendedahan mereka sebelum ini dengan mengambil contoh Encik Abdul Rahim yang pernah berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Dato’ (Mohd) Fakharuddin, dia seorang ‘engineer, contohnyalah. Macam Dato’ Sri (Mohd) Sharkar, beliau sebelum ini pernah memegang (Jawatankuasa) Pelancongan cuma kita tambah sikit – Alam Sekitar sebab Pelancongan dengan Alam Sekitar itu dia ‘related’, sinonim,” katanya lagi.

Mengenai harapannya kepada Ahli-ahli MMK yang telah diserahkan portfolio masing-masing pada mesyuarat pertama pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 ini katanya;

AHLI-AHLI MMK ADA KEWIBAWAAN

“Harapan saya, yang pertama sekali harap mereka fokus, komited, dan mendalami fungsi yang telah mereka diamanahkan. Dan saya yakin mereka boleh melaksanakan kerana mereka ini telah dipilih oleh rakyat dan mempunyai kemampuan yang tersendirilah untuk melaksanakan amanah dan tugas-tugas tersebut”.

“(Ahli-ahli MMK ini) ada kewibawaan… Kalau fokus, komited, disiplin… saya ingat tak ada masalah,” katanya lagi. – Khabar